ATLANTA: Encik Donald Trump terus mendahului dalam perlumbaan Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat, namun keputusan masih terlalu rapat di beberapa negeri medan tempur yang akan menentukan pemenang.
Berbanding dengan kempen 2020 yang tidak berjaya, Encik Trump kali ini memperoleh lebih banyak sokongan, namun keputusan masih belum jelas di negeri-negeri medan tempur yang akan menentukan pemenang.
Dengan lebih daripada sepertiga undian telah dikira, Encik Trump telah memperoleh 211 undi daripada 538 undi dalam Kolej Elektoral, berbanding 145 undi yang diperoleh oleh pencabarnya, Naib Presiden Cik amala Harris dari Parti Demokrat.
Encik Trump, yang berusaha untuk menjadi bekas Presiden pertama dalam lebih 100 tahun yang kembali ke Rumah Putih, kini mendahului di beberapa negeri medan tempur utama, termasuk Georgia dan Carolina Utara.
Bagaimanapun, peluang terbaik Harris untuk menang masih terletak di “Dinding Biru” yang merangkumi Michigan, Pennsylvania, dan Wisconsin.
Untuk memenangi jawatan Presiden, calon memerlukan sekurang-kurangnya 270 undi dalam Kolej Elektoral, yang terdiri daripada 538 ahli yang dipilih mengikut negeri masing-masing.
Menurut pengiraan awal, hanya Decision Desk HQ meramalkan Encik Trump akan memenangi Georgia dan Carolina Utara. Media lain dan Edison masih belum membuat pengumuman rasmi tentang dua negeri ini.
Salah satu faktor utama yang membantu Encik Trump mendahului dalam undian kali ini adalah sokongan yang lebih tinggi daripada pengundi Hispanik, yang biasanya menyokong Demokrat, serta pengundi dari golongan isi rumah berpendapatan rendah yang merasakan kesan peningkatan kos hidup sejak pilihan raya 2020.
Encik Trump kini meraih 45 peratus sokongan daripada pengundi Hispanik di seluruh negara, meskipun masih ketinggalan di belakang Harris yang memperoleh 53 peratus. Namun, ini adalah peningkatan sebanyak 13 peratusan mata berbanding dengan keputusan 2020, menurut tinjauan awal.
Sementara itu, pasaran mata wang dan bon seolah-olah meramalkan kembalinya Encik Trump ke tampuk pemerintahan.
Perlumbaan ini dijangka akan berterusan dengan sengit, terutama di tujuh negeri medan tempur utama, termasuk Arizona, Georgia, Michigan, Nevada, Carolina Utara, Pennsylvania, dan Wisconsin yang menjadi penentu kemenangan. - Reuters


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg