WASHINGTON: Pasukan bakal Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, sedang berbincang untuk mengadakan rundingan langsung dengan pemimpin Korea Utara, Encik Kim Jong Un, dengan harapan usaha diplomatik baru boleh mengurangkan risiko konflik bersenjata, menurut dua orang yang mengetahui perkara itu.
Beberapa anggota dalam pasukan Encik Trump kini melihat pendekatan langsung itu dapat membina hubungan yang sudah wujud dan berkemungkinan besar memulihkan hubungan dengan Encik Kim.
Perbincangan dasar berkaitan Korea Utara lancar namun tiada keputusan muktamad dibuat oleh bakal presiden itu, kata sumber tersebut.
Pasukan peralihan Encik Trump tidak menjawab permintaan untuk mengulas perkembangan terbaru itu.
Apa yang akan diberikan oleh Encik Kim kepada Encik Trump sebagai balasan masih tidak jelas.
Namun, Korea Utara sebelum ini tidak mengendahkan usaha selama empat tahun oleh Presiden Joe Biden untuk memulakan rundingan tanpa prasyarat.
Malah, Encik Kim semakin berani dengan memperluas persenjataan peluru berpandunya dan menjalin hubungan lebih rapat dengan Russia.
“Kami sudah sampai sejauh mungkin dalam perundingan dengan Amerika,” kata Encik Kim awal sebelum ini dalam satu ucapan di pameran ketenteraan Pyongyang, menurut media pemerintah Korea Utara.
Semasa menjadi presiden dari 2017 hingga 2021, Encik Trump mengadakan tiga pertemuan dengan Encik Kim, di Singapura, di Hanoi, dan di sempadan Korea, kali pertama seorang presiden Amerika menjejakkan kaki di negara itu.
Diplomasi mereka tidak membuahkan hasil konkrit, walaupun Encik Trump menggambarkan perbincangan mereka sebagai “jatuh cinta”.
Amerika menggesa Korea Utara supaya meninggalkan senjata nuklearnya, manakala Encik Kim menuntut pelepasan sekatan penuh tetapi kemudian mengeluarkan ancaman baru.
Tidak jelas sama ada usaha diplomatik baru itu akan membuahkan hasil.
Matlamat awal Encik Trump ialah mewujudkan semula pelibatan asas tetapi matlamat dasar lanjut atau jadual waktu yang tepat belum ditetapkan, kata sumber itu.
Namun, isu itu mungkin diketepikan buat sementara waktu kerana kebimbangan dasar luar yang lebih mendesak di Timur Tengah dan Ukraine, menurut seorang yang diberi taklimat mengenai pemikiran peralihan itu.
Pada 22 November, Encik Trump menamakan salah seorang yang melaksanakan strategi awal Korea Utara itu, iaitu mantan pegawai Jabatan Negara, Encik Alex Wong, sebagai timbalan penasihat keselamatan negaranya.
“Sebagai Timbalan Wakil Khas Korea Utara, beliau membantu merundingkan Sidang Puncak saya dengan Pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un,” kata Encik Trump dalam satu kenyataan. – Reuters.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg