WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, berkata beliau sedang menimbangkan serangan darat menyasarkan kartel Venezuela, selepas beberapa siri serangan maut di laut terhadap bot yang didakwa membawa dadah.
“Kami sudah tentu melihat (serangan) darat sekarang kerana kami telah mengawal laut dengan sangat baik,” kata Encik Trump kepada pemberita di Pejabat Oval pada 15 Oktober apabila ditanya sama ada beliau menimbangkan serangan di darat.
Encik Trump mengesahkan laporan pada 15 Oktober beliau telah memberi kuasa kepada Agensi Risik Pusat (CIA) untuk melakukan tindakan rahsia di Venezuela terhadap pentadbiran Presiden Nicolas Maduro.
Ditanya sama ada beliau telah memberi kuasa kepada CIA untuk “menyingkirkan” Encik Maduro, Encik Trump menjawab: “Itu soalan yang tidak masuk akal untuk saya jawab?”
Pengawal Pantai Amerika sudah mempunyai kuasa undang-undang untuk menghentikan dan menaiki kapal yang disyaki membawa dadah ke Amerika.
Ditanya mengapa beliau tidak bergantung kepada Pengawal Pantai untuk meneruskan operasi sedemikian, Encik Trump berkata “kerana kami telah melakukan itu selama 30 tahun dan ia tidak berkesan sama sekali.
“Mereka mempunyai bot yang lebih laju tetapi tidak lebih pantas daripada peluru berpandu”.
Encik Trump mendakwa serangan tentera telah mengurangkan bilangan penyeludupan dadah yang cuba dibawa masuk ke Amerika melalui laut.
Venezuela memandang serius ancaman – terbuka atau rahsia – oleh Amerika itu.
Pada 14 Oktober, di bawah arahan Encik Maduro, latihan telah dijalankan di seluruh pantai Atlantik Caribbean di Venezuela, dan kegiatan ketenteraan lain dirancang di wilayah sempadan dengan Colombia.
Dalam mesej di rangkaian sosial Telegram, Encik Maduro berkata beliau telah menggerakkan tentera, polis dan militia awam untuk mempertahankan “gunung, pantai, sekolah, hospital, kilang dan pasar” Venezuela.
Encik Trump berkata pada 14 Oktober bahawa satu lagi serangan ke atas bot yang didakwa mengangkut dadah dari Venezuela telah membunuh enam “pengganas narkotik”.
Sekurang-kurangnya 27 orang terbunuh setakat ini dalam operasi penguatkuasaan Amerika itu.
Pakar mempersoalkan kesahihan menggunakan kekerasan di perairan asing atau antarabangsa terhadap suspek yang tidak dipintas atau disoal siasat.
Presiden Colombia, Encik Gustavo Petro, berkata beliau percaya sebahagian daripada mereka yang terbunuh adalah warga Colombia.
Encik Trump menuduh Encik Maduro mengetuai kartel dadah – tuduhan yang dinafikan oleh Presiden Venezuela itu. – AFP.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg