Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Trump tingkat perang dagang dengan Canada selepas sokong Palestin

Jul 31, 2025 | 4:32 PM
Perdana Menteri Canada, Mark Carney (kiri) dan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump tiba untuk sesi bergambar sempena Sidang Kemuncak Kumpulan Tujuh (G7) di Padang Golf Kananaskis Country, Alberta, Canada pada 16 Jun 2025. Pada 30 Julai, Trump berkata adalah “amat sukar” untuk mencapai perjanjian perdagangan dengan Canada selepas negara itu menyatakan sokongan terhadap penubuhan negara Palestin.
Perdana Menteri Canada, Mark Carney (kiri) dan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump tiba untuk sesi bergambar sempena Sidang Kemuncak Kumpulan Tujuh (G7) di Padang Golf Kananaskis Country, Alberta, Canada pada 16 Jun 2025. Pada 30 Julai, Trump berkata adalah “amat sukar” untuk mencapai perjanjian perdagangan dengan Canada selepas negara itu menyatakan sokongan terhadap penubuhan negara Palestin. - Foto AFP

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, telah memperhebat perang perdagangan dengan Canada sehari sebelum tarikh akhir rundingan tarif pada 1 Ogos, dengan menyatakan bahawa adalah “amat sukar” untuk mencapai perjanjian dengan Canada selepas negara itu menyatakan sokongan terhadap penubuhan negara Palestin.

Encik Trump dijangka mengenakan tarif sebanyak 35 peratus ke atas semua barangan Canada yang tidak dilindungi oleh perjanjian perdagangan Amerika Syarikat–Mexico–Canada (USMCA) jika kedua-dua negara gagal mencapai perjanjian sebelum tarikh akhir.

“Wow! Canada baru sahaja mengumumkan bahawa mereka menyokong penubuhan negara Palestin. Ini akan menjadikan usaha untuk membuat perjanjian perdagangan dengan mereka menjadi sangat sukar,” kata Encik Trump di platform Truth Social.

Perdana Menteri Canada, Encik Mark Carney sebelum ini berkata rundingan tarif dengan Washington berlangsung dalam suasana konstruktif, namun mungkin tidak akan selesai sebelum tarikh akhir.

Beliau menambah bahawa rundingan antara kedua-dua negara kini berada dalam fasa yang sangat intensif tetapi satu perjanjian yang akan menghapuskan semua tarif AS dilihat tidak mungkin tercapai.

Canada merupakan rakan dagang kedua terbesar bagi Amerika Syarikat selepas Mexico, dan pembeli terbesar bagi eksport Amerika. Menurut data Biro Banci Amerika, Canada membeli barangan Amerika bernilai AS$349.4 bilion (S$451.9 bilion) pada tahun 2024 dan mengeksport AS$412.7 bilion ke Amerika Syarikat.

Canada juga merupakan pembekal utama keluli dan aluminium kepada Amerika Syarikat, dan kini berdepan tarif ke atas kedua-dua logam tersebut serta eksport kenderaan.

Pada bulan Jun, pentadbiran Carney membatalkan rancangan untuk melaksanakan cukai perkhidmatan digital yang menyasarkan syarikat teknologi Amerika selepas Encik Trump secara tiba-tiba menarik diri daripada rundingan perdagangan, menyifatkan cukai tersebut sebagai “serangan terang-terangan”.

Encik Carney, mengikuti jejak langkah Perancis dan Britain, berkata pada 30 Julai bahawa negaranya merancang untuk mengiktiraf Negara Palestin dalam satu mesyuarat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada bulan September.

Semasa mengumumkan keputusan itu, Encik Carney merujuk kepada realiti di lapangan termasuk kebuluran yang sedang berlaku di Gaza. “Canada mengecam fakta bahawa pemerintah Israel membiarkan bencana berlaku di Gaza,” katanya.

Israel dan Amerika Syarikat, sekutu rapat Israel, menolak kenyataan Encik Carney.
Pejabat Carney belum memberikan sebarang komen terhadap kenyataan Encik Trump ketika laporan ini disiarkan. - REUTERS

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg