Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Mark Carney menang pilihan raya Canada, janji hadapi ancaman Trump

Apr 29, 2025 | 11:29 AM
Perdana Menteri Canada dan pemimpin Parti Liberal, Mark Carney, bersama isterinya Diana Fox Carney, memberikan isyarat sebagai tanda keyakinan selepas selesai mengundi di pusat pengundian sempena pilihan raya persekutuan di Ottawa, Kanada pada 28 April 2025.
Pada hari pengundian yang penting ini, Canada memilih pemerintah baru di tengah-tengah ketegangan akibat perang perdagangan dan ancaman aneksasi oleh Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.
Perdana Menteri Canada dan pemimpin Parti Liberal, Mark Carney, bersama isterinya Diana Fox Carney, memberikan isyarat sebagai tanda keyakinan selepas selesai mengundi di pusat pengundian sempena pilihan raya persekutuan di Ottawa, Kanada pada 28 April 2025. Pada hari pengundian yang penting ini, Canada memilih pemerintah baru di tengah-tengah ketegangan akibat perang perdagangan dan ancaman aneksasi oleh Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump. - Foto AFP

OTTAWA – Perdana Menteri Mark Carney berjaya memimpin Parti Liberal meraih kemenangan dalam pilihan raya Canada pada 28 April, menurut unjuran media tempatan. Walaupun belum dapat dipastikan sama ada beliau akan memperoleh majoriti di Parlimen, kemenangan ini menandakan permulaan penggal baharu bagi Parti Liberal.

Saluran penyiaran CBC dan CTV News kedua-duanya meramalkan bahawa Parti Liberal akan membentuk pemerintah seterusnya. Namun, ia masih belum jelas sama ada Carney berjaya menguasai sekurang-kurangnya 172 kerusi yang diperlukan untuk membentuk majoriti.

Isu hubungan dengan Amerika Syarikat menjadi tema utama kempen selepas Presiden Amerika Syarikat Donald Trump melancarkan perang perdagangan dan sekali lagi mengancam untuk “mengambil alih” Canada menerusi kenyataan di media sosial pada hari pengundian. Ancaman ini menimbulkan kemarahan ramai rakyat Canada.

“Kita perlu tanya diri kita: siapa yang kita percayai untuk mempertahankan negara kita?” kata Encik Carney dalam ucapannya semasa kempen. “Donald Trump mahu memecahbelahkan kita supaya Amerika dapat memiliki kita. Mereka mahu sumber kita, tanah kita, air kita, negara kita. Mereka tidak akan mendapatnya.”

Kemenangan ini turut memperlihatkan perubahan dramatik dalam landskap politik Canada. Pada awal Januari, Parti Konservatif mendahului Parti Liberal dengan lebih 20 mata dalam kebanyakan tinjauan pendapat. Ketidakpuasan rakyat terhadap kos sara hidup yang melambung tinggi menyebabkan populariti bekas Perdana Menteri Encik Justin Trudeau merosot dengan ketara.

Namun, selepas Encik Trudeau mengumumkan perletakan jawatannya pada 6 Januari, Carney mengambil alih kepimpinan dan segera mengubah arah kempen. Dengan pengalaman sebagai bekas gabenor bank pusat Canada dan Britain, Encik Carney berjaya meyakinkan pengundi bahawa beliau adalah pemimpin terbaik untuk menavigasi Kanada melalui perang perdagangan dengan Amerika Syarikat.

“Saya membawa pengalaman dunia sebenar dalam menguruskan krisis kewangan global, bukan sekadar janji kosong,” katanya semasa berkempen.

Encik Carney, 60 tahun, juga menjarakkan dirinya daripada warisan Trudeau dengan menekankan pendekatan baru terhadap ekonomi, termasuk membatalkan cukai karbon kontroversi yang pernah diperkenalkan oleh Trudeau.

Setakat laporan ini ditulis, Parti Liberal mendahului atau telah memenangi 133 kerusi, manakala Parti Konservatif memperoleh 93 kerusi. Walaupun kemenangan diumumkan, bentuk sebenar pemerintah sama ada majoriti atau minoriti masih belum dipastikan kerana pengiraan di British Columbia – wilayah paling barat – masih berlangsung.

Jika Encik Carney gagal memperoleh majoriti, beliau perlu membentuk pemerintah minoriti dan bekerjasama dengan parti lain untuk meneruskan pentadbiran. Secara tradisinya, pemerintah minoriti di Canada tidak bertahan lebih daripada dua setengah tahun.

Sepanjang kempen, Encik Carney menjanjikan pendekatan keras terhadap tarif yang dikenakan oleh Trump. Beliau juga menyatakan keperluan Canada untuk melabur berbilion dolar bagi mengurangkan kebergantungan ekonomi terhadap Amerika Syarikat.

“Saya tahu tugas ini bukan mudah. Tapi dengan mandat kukuh daripada rakyat, kita boleh berdiri teguh berhadapan sesiapa sahaja,” tegas Encik Carney.

Sementara itu, kempen Parti Konservatif yang dipimpin oleh Encik Pierre Poilievre, yang banyak menumpukan kepada isu-isu domestik seperti pembaharuan ekonomi dan ketidakpuasan terhadap pemerintahan Liberal, dilihat gagal menarik sokongan besar pengundi.

Pilihan raya ini menandakan satu kemenangan penting buat Parti Liberal, yang bangkit daripada kedudukan tercorot dalam tinjauan awal tahun 2025 ini kepada menguasai pilihan raya negara yang mempunyai lebih 41 juta penduduk ini.

“Kita sedang membuka lembaran baharu untuk Canada – lebih berani, lebih berdikari, dan lebih bersatu,” kata Encik Carney dalam ucapan awalnya selepas unjuran kemenangan diumumkan.- Agensi berita

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg