Topik diikuti
Pergi ke BHkuTrump tonjol hubungan akrab, Xi utamakan kepentingan Beijing
Trump tonjol hubungan akrab, Xi utamakan kepentingan Beijing
WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, berusaha memperlihatkan hubungan peribadinya yang akrab dengan Presiden China, Encik Xi Jinping, sepanjang lawatan negara pemimpin itu ke Rumah Putih pada 24 September, tetapi kedua-duanya menunjukkan pendekatan berbeza dalam mengurus hubungan antara dua kuasa besar dunia itu.
Daripada menyambut sendiri ketibaan Encik Xi di lapangan terbang hingga membawanya melawat helikopter rasmi Presiden Amerika, Marine One, Encik Trump menggunakan pelbagai kesempatan untuk menonjolkan apa yang disifatkannya sebagai persahabatan yang amat erat.
Bagaimanapun, di sebalik suasana mesra itu, Encik Xi lebih menekankan kepentingan hubungan antara kedua-dua negara serta tanggungjawab bersama untuk mengekalkan keamanan dan kestabilan antarabangsa.
Antara detik yang menarik perhatian ialah ketika Encik Trump membawa Encik Xi melawat deretan potret presiden Amerika di Rumah Putih.
Beliau bergurau mengenai potret pendahulunya, Encik Joe Biden, yang digantikan dengan gambar alat penandatangan automatik, atau autopen, sambil menepuk lengan Encik Xi.
Pemimpin China itu dilihat ketawa mendengar gurauan berkenaan, menurut rakaman video yang dikongsi seorang pembantu Encik Trump.
Dalam satu lagi rakaman, Encik Trump menunjukkan gambar pertemuan terdahulu mereka yang dipamerkan di sayap barat Rumah Putih.
“Siapa itu? Saya tidak kenal beliau!” gurau Encik Trump sambil menunjuk ke arah gambar Encik Xi.
Beliau kemudian menepuk lengan pemimpin China itu sekali lagi sebelum menyatakan bahawa Amerika amat menghormatinya.
Layanan istimewa tersebut bermula sehari sebelumnya apabila Encik Trump sendiri menyambut ketibaan Encik Xi di lapangan terbang, satu langkah yang memperlihatkan kepentingan yang diberikan Washington kepada lawatan berkenaan.
Kemuncak lawatan itu menyaksikan Encik Trump membawa tetamunya melihat tapak pendaratan helikopter baharu yang dibina menggunakan batu granit di kawasan selatan Rumah Putih.
Beliau turut membawa Encik Xi memasuki Marine One, helikopter rasmi yang digunakan untuk membawa presiden Amerika.
Rakaman Rumah Putih mengesahkan lawatan kedua-dua pemimpin ke tapak pendaratan baharu dan helikopter tersebut.
Ketika wartawan cuba mendapatkan penjelasan mengenai isu penting seperti Iran, Taiwan dan kecerdasan buatan (AI), Encik Trump sebaliknya memilih untuk bercakap mengenai batu granit.
“Beliau suka granit. Beliau pakar mengenai batu, selain banyak perkara lain, dan beliau menyukai granit yang berkualiti,” katanya sambil menunjuk ke arah Encik Xi.
Pemimpin China itu, yang sebelum itu kelihatan serius sepanjang sebahagian besar acara rasmi, tersenyum mendengar pujian berkenaan.
Bagaimanapun, layanan mesra tersebut tidak dapat menyembunyikan perbezaan pendekatan antara kedua-dua pemimpin.
Encik Trump berulang kali menekankan hubungan peribadi dan persahabatannya dengan Encik Xi, manakala pemimpin China itu lebih berhati-hati dalam kenyataan rasminya.
Encik Xi menekankan tanggungjawab kedua-dua negara untuk hidup bersama secara aman, selain menggariskan pendirian Beijing mengenai beberapa isu utama, termasuk Taiwan, Iran dan AI.
Isu berkenaan merupakan antara perkara penting dalam hubungan Amerika-China, selain pertikaian perdagangan dan sekatan teknologi yang masih belum diselesaikan.
Bekas penasihat utama China kepada Presiden Barack Obama, Encik Ryan Hass, yang kini berkhidmat di Institusi Brookings, menyifatkan perbezaan pendekatan itu sebagai sesuatu yang ketara.
Menurutnya, Encik Xi melihat hubungan Amerika-China dari sudut kepentingan negara dan keseimbangan kuasa, manakala Encik Trump lebih menekankan keserasian peribadi antara pemimpin.
Beliau turut mempersoalkan keputusan memperuntukkan masa bagi lawatan ke tapak pendaratan helikopter ketika jadual pertemuan kedua-dua pemimpin sudah pun terhad.
Penganalisis berpandangan bahawa Beijing mungkin melihat hubungan peribadi yang baik dengan Encik Trump sebagai peluang untuk mengurus pertikaian dua hala, tanpa perlu mengubah pendiriannya mengenai kepentingan strategik China.
Pakar China dari Universiti Amerika, Cik Judith Shapiro, pula berkata lawatan negara tersebut turut membawa makna simbolik kepada Beijing kerana ia mencerminkan pengiktirafan Washington terhadap kedudukan China.
Menurutnya, bagi Encik Xi, menerima layanan rasmi di Rumah Putih merupakan sekurang-kurangnya penghormatan yang dijangkakan daripada Amerika.
Lawatan itu berlangsung ketika kedua-dua negara berusaha mengurus persaingan ekonomi dan strategik, termasuk masa depan hubungan perdagangan serta perkembangan konflik di Timur Tengah.
Pertemuan tersebut turut memperlihatkan perubahan pendekatan Encik Trump berbanding penggal pertamanya, ketika beliau sering mengkritik China berhubung perdagangan dan pandemik Covid-19.
Walaupun kedua-dua pemimpin memperlihatkan kemesraan sepanjang lawatan, persoalan utama ialah sejauh mana hubungan peribadi itu dapat diterjemahkan kepada persetujuan mengenai isu yang masih memisahkan Washington dengan Beijing. - Agensi berita