Topik diikuti
Pergi ke BHkuTrump ulang ancaman terhadap Iran – capai perjanjian atau ‘habiskan tugas’
Trump ulang ancaman terhadap Iran – capai perjanjian atau ‘habiskan tugas’
Trump ulang ancaman terhadap Iran – capai perjanjian atau ‘habiskan tugas’
WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, sekali lagi mengancam tindakan ketenteraan terhadap Iran dengan berkata Washington sama ada akan mencapai perjanjian damai dengan Teheran atau “menghabiskan tugas” perang yang tercetus awal 2026 ini.
Kenyataan keras itu dibuat ketika Iran mempamerkan sikap semakin berani dan mencabar susulan pengebumian bekas Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei.
Rundingan tidak langsung antara Amerika dengan Iran yang berlangsung minggu lalu berakhir tanpa sebarang petanda jelas mengenai kemajuan ke arah perdamaian berkekalan.
Ini walaupun kedua-dua pihak masih terikat dengan gencatan senjata selama 60 hari yang bertujuan memberi ruang kepada diplomasi selepas serangan Amerika dan Israel pada 28 Februari lalu.
“Kami sama ada akan mencapai satu perjanjian atau kami akan menghabiskan tugas itu. Dan ia tidak sukar untuk dilakukan.
“Saya lebih suka mencapai perjanjian kerana saya tidak mahu menjejas 91 juta rakyat,” kata Encik Trump kepada wartawan di Pejabat Oval.
Encik Trump turut mendakwa Amerika mampu melumpuhkan prasarana utama Iran dalam tempoh singkat sekiranya konflik kembali tercetus.
“Kami boleh memusnahkan jambatan mereka dalam masa sejam, kami boleh melumpuhkan bekalan tenaga mereka.
“Mereka tidak mempunyai wang sekarang. Kami tidak memberikan mereka sebarang wang,” katanya.
Kenyataan itu segera dibalas Teheran apabila Setiausaha Majlis Keselamatan Nasional Tertinggi Iran, Encik Mohammad Baqer Zolqadr, menyifatkan ancaman itu sebagai “khayalan”.
“Rakyat Iran tidak biasa dengan bahasa ugutan. Jadi bercakaplah dengan rakyat Iran secara hormat, jika tidak kami akan menjawab menggunakan bahasa lain,” katanya seperti dilaporkan media pemerintah Iran.
Kenyataan Encik Trump dibuat hanya beberapa hari selepas jutaan rakyat Iran menghadiri upacara pengebumian Khamenei di Teheran yang bertukar menjadi simbol kebangkitan semangat nasionalisme dan penentangan terhadap tekanan Barat.
Walaupun perang dengan Amerika dan Israel dilihat melemahkan ekonomi Iran, suasana ketika pengebumian menunjukkan ramai rakyat negara itu masih bersatu dan bersedia mempertahankan republik Islam tersebut.
Washington sebelum ini berharap gencatan senjata selama 60 hari mampu membuka laluan kepada rundingan baharu mengenai program nuklear Iran dan usaha menghalang Teheran daripada membangunkan senjata nuklear.
Namun, ketegangan terus memuncak apabila kedua-dua pihak saling mengeluarkan kenyataan keras, sekali gus menimbulkan kebimbangan bahawa konflik boleh kembali meletus pada bila-bila masa.
Pemerhati antarabangsa berkata kenyataan Encik Trump menunjukkan pendekatan tekanan maksimum terhadap Iran masih menjadi strategi utama Rumah Putih walaupun perang besar sebelum ini mencetuskan ketidakstabilan ekonomi global dan lonjakan harga minyak.
Pada masa sama, Iran dilihat cuba menggunakan sentimen nasional selepas kematian Khamenei untuk mengukuhkan kedudukan politik dalaman dan menunjukkan negara itu tidak tunduk kepada tekanan luar.
Setakat ini, tiada pengumuman rasmi dibuat mengenai pusingan rundingan baharu antara kedua-dua negara, namun beberapa negara pengantara dipercayai masih berusaha menghidupkan semula proses diplomasi bagi mengelakkan konflik lebih besar di Timur Tengah. - Agensi berita
