Topik diikuti
Pergi ke BHkuTrump umum buka fail terakhir pembunuhan JFK
Trump umum buka fail terakhir pembunuhan JFK
Trump umum buka fail terakhir pembunuhan JFK
WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, mengumumkan bahawa pentadbirannya akan mendedahkan baki dokumen pemerintah berkaitan kes pembunuhan Presiden John F. Kennedy (JFK), yang terus menimbulkan pelbagai teori konspirasi meskipun lebih enam dekad telah berlalu sejak kejadian itu.
Encik Trump membuat pengumuman tersebut semasa lawatannya ke Kennedy Center, sebuah pusat seni persembahan di Washington yang dinamakan sempena presiden ke-35 Amerika itu.
“Sementara kita berada di sini, saya fikir ini waktu yang sesuai, esok (18 Mac) kami akan mengumumkan dan menyerahkan semua fail Kennedy,” kata Encik Trump kepada media pada 17 Mac.
Encik Trump sebelum ini telah menandatangani satu Perintah Eksekutif pada 23 Januari yang mengarahkan agar fail-fail berkaitan pembunuhan JFK dinyahklasifikasikan sepenuhnya.
Turut termasuk dalam perintah itu adalah dokumen berhubung pembunuhan Robert F. Kennedy, adik kepada JFK, dan Martin Luther King Jr., pemimpin gerakan hak sivil terkenal Amerika Syarikat.
“Orang ramai telah menunggu selama beberapa dekad untuk ini, dan saya telah arahkan pasukan saya, yang diketuai oleh Tulsi Gabbard, untuk melaksanakannya,” ujar Encik Trump, merujuk kepada Pengarah Risikan Negara dalam pentadbirannya.
Walaupun beliau tidak menyatakan secara terperinci kandungan dokumen yang akan didedahkan, Encik Trump memberi gambaran bahawa jumlah fail sangat besar.
“Kami ada jumlah dokumen yang sangat banyak, anda akan ada banyak untuk dibaca,” katanya.
“Saya tidak fikir kami akan tapis apa-apa pun,” tambah beliau, merujuk kepada kebiasaan kerajaan menyembunyikan maklumat atas alasan keselamatan.
Arkib Negara Amerika Syarikat sebelum ini telah mendedahkan puluhan ribu dokumen berkaitan pembunuhan JFK yang berlaku pada 22 November 1963, namun ribuan lagi masih dirahsiakan atas alasan keselamatan negara.
Dalam pelepasan besar terakhir pada Disember 2022, pihak arkib menyatakan bahawa 97 peratus daripada rekod berkaitan kes JFK—yang merangkumi sekitar lima juta halaman—telah pun didedahkan.
Siasatan rasmi oleh Suruhanjaya Warren menyimpulkan bahawa pembunuhan tersebut dilakukan secara bersendirian oleh Lee Harvey Oswald, seorang bekas anggota marin dan penembak tepat. Namun, kesimpulan itu tidak pernah benar-benar diterima sepenuhnya oleh masyarakat umum.
Pembukaan dokumen secara berperingkat dan berlarutan selama beberapa dekad hanya menyemarakkan spekulasi wujudnya komplot lebih besar di sebalik pembunuhan presiden yang ketika itu berusia 46 tahun di Dallas, Texas.
“Apa yang kami lakukan ini adalah untuk ketelusan dan keadilan sejarah,” kata Encik Trump. Agensi berita
