WASHINGTON: Encik Donald Trump yang berjaya meraih kemenangan besar dalam pilihan raya Presiden Amerika Syarikat 2024, mengatasi calon Demokrat, Cik Kamala Harris, bersiap sedia kembali ke Rumah Putih sebagai Presiden buat kali kedua dengan peralihan kuasa secara aman.
Ini sedang berpuluh-puluh juta rakyat Amerika mengabaikan sabitan jenayah dan retorik yang memecahbelahkan negara untuk menyambut seorang pemimpin yang, jika beliau laksanakan janji-janji kempen pilihan rayanya, akan menguji had bidang kuasa Presiden.
Jurucakap kempen Encik Trump, Encik Steven Cheung, mengesahkan bahawa Presiden Joe Biden telah menghubungi Encik Trump untuk mengucapkan tahniah dan menjemputnya ke Rumah Putih sebagai persiapan peralihan kuasa yang lancar.
“Biden menghormati pilihan rakyat dan mahukan proses peralihan yang teratur,” kata Encik Cheung.
Kemenangan Encik Trump jauh berbeza daripada tinjauan pendapat yang meramalkan persaingan sengit antara beliau dan Cik Harris.
Dalam ucapan kekalahannya pada 6 November, Cik Harris menenangkan para penyokongnya dan berkata: “Kita harus terus berjuang untuk masa depan yang lebih baik. Ini bukan masanya untuk berputus asa.”
Cik Harris turut menghubungi Encik Trump dan mengucapkan tahniah atas kejayaannya serta berjanji untuk terbabit dalam peralihan kuasa secara aman.
Kejayaan Encik Trump menandakan kemunculan semula bersejarah dan tidak diduga setelah beliau gagal dipilih semula untuk penggal kedua berturut-turut pada 2020 dan dijangka mengangkat sumpah sebagai Presiden pada 20 Januari 2025.
Reaksi positif terhadap kemenangan Encik Trump turut dirasai di pasaran saham, dengan indeks utama Amerika seperti Dow Jones melonjak lebih 1,500 mata pada 6 November.
Penganalisis ekonomi berpendapat bahawa sokongan yang diperoleh Encik Trump dalam pilihan raya kali ini akan memberi keyakinan baru dalam sektor perniagaan dan pelabur.
Encik Trump menjanjikan CEO Tesla Encik Elon Musk, orang terkaya di dunia, dan mantan calon presiden Robert F Kennedy Jr peranan dalam pentadbirannya.
Selain menguruskan isu ekonomi, Encik Trump kini menghadapi dilema undang-undang. Sepanjang 2024, beliau terlibat dalam empat kes jenayah besar, termasuk dakwaan cuba mempengaruhi keputusan pilihan raya 2020.
Namun, kemenangan Encik Trump dijangka menghentikan sebahagian besar pendakwaan ke atasnya berikutan dasar undang-undang yang melarang Presiden yang sedang berkhidmat daripada didakwa.
Encik Trump turut meraih sokongan daripada masyarakat Muslim di Dearborn, Michigan, hasil daripada janji beraninya untuk menghentikan konflik di Timur Tengah.
“Trump membawa suara yang lantang dalam memperjuangkan keamanan Timur Tengah, walaupun beliau rapat dengan Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu,” kata seorang penduduk Dearborn.
Di beberapa lokasi seperti Chicago, sekumpulan penunjuk perasaan berhimpun membantah kemenangan Encik Trump sambil mengangkat sepanduk “Trump Out!” Mereka turut menyeru penamatan tindakan Israel di Gaza.
Kemenangan Encik Trump turut menimbulkan keraguan terhadap Ukraine dalam perjuangannya menentang Russia. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg