WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat Donald Trump, mengumumkan pada 20 Oktober beliau akan melakukan lawatan ke Malaysia, Jepun dan Korea Selatan dalam tempoh terdekat, sambil menyatakan hasrat mengekalkan hubungan baik dengan China dan mencapai apa yang digambarkannya sebagai “perjanjian hebat” untuk kedua-dua negara.
Pengumuman itu dibuat ketika hubungan dagang antara Washington dengan Beijing kembali tegang, namun Encik Trump tampil dengan nada optimis menjelang kemungkinan pertemuan dengan Presiden China, Encik Xi Jinping, yang dijangka berlangsung di Korea Selatan sempena Sidang Puncak Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik.
“Kita akan dapatkan perjanjian yang adil. Saya mahu berlaku adil kepada China.
“Saya menghargai hubungan saya dengan Presiden Xi,” kata Encik Trump dalam sidang media di Rumah Putih ketika menerima lawatan Perdana Menteri Australia, Encik Anthony Albanese.
Menurut Encik Trump, beliau akan menghadiri beberapa mesyuarat penting di rantau Asia, termasuk satu persidangan serantau Asean di Malaysia yang melibatkan negara Asia Tenggara dan rakan kongsi antarabangsa.
Selepas itu, beliau akan berkunjung ke Jepun dan Korea Selatan.
Sumber kerajaan Jepun memaklumkan kepada Kyodo News bahawa lawatan tiga hari ke Jepun dijadual bermula 27 Oktober, selepas menghadiri mesyuarat di Malaysia.
“Kami fikir ia tempat yang sesuai untuk bertemu. Saya akan berada di Malaysia, di Jepun, dan di Korea Selatan,” kata Encik Trump kepada wartawan, tanpa memperincikan butiran lanjut.
Lawatan itu akan menjadi yang pertama ke rantau Asia sejak Encik Trump memulakan penggal keduanya sebagai presiden pada Januari lalu.
Di Jepun, beliau dijangka menekankan kepentingan pelaburan Jepun di Amerika dan menyeru peranan lebih besar Tokyo dalam mengekalkan kestabilan keselamatan Indo-Pasifik.
Jadual lawatannya turut termasuk pertemuan dengan Maharaja Naruhito dan Perdana Menteri baru Jepun, Cik Sanae Takaichi, serta lawatan ke pangkalan tentera laut Amerika berhampiran Tokyo – satu langkah simbolik kepada kekuatan pakatan keselamatan dua hala yang terjalin selama beberapa dekad.
Hubungan dagang Amerika-China dijangka menjadi tumpuan utama sepanjang lawatan itu.
Encik Trump berkata rundingan dengan Encik Xi di Korea Selatan akan memberi ruang bagi membentuk semula hubungan ekonomi dua hala yang sering tegang.
“Saya mahu China terus maju, tetapi hubungan ini mesti bersifat dua hala.
“Mereka perlu membeli semula kacang soya seperti dahulu sebelum perang perdagangan memuncak,” tegas Encik Trump.
Encik Trump turut mengesahkan beliau telah menerima jemputan untuk melawat China “pada awal tahun depan (2026),” sebagai sebahagian daripada usaha membina semula saluran diplomatik antara kedua-dua kuasa besar dunia itu.
Setiausaha Perbendaharaan Amerika, Encik Scott Bessent, mengesahkan beliau dan Naib Perdana Menteri China, Encik He Lifeng, akan mengadakan mesyuarat di Malaysia bagi menyediakan asas kepada pertemuan antara Encik Trump dengan Encik Xi.
“Saya percaya selepas pertemuan kami di Korea Selatan, Amerika dan China akan mencapai satu perjanjian perdagangan yang adil dan menguntungkan kedua-dua pihak,” ujar Encik Trump.
Penganalisis melihat lawatan itu sebagai strategi diplomasi ekonomi yang lebih luas bukan sahaja untuk menstabilkan hubungan dengan China, malah memperkukuh kedudukan Amerika di Asia selepas tempoh ketidaktentuan sejagat.
Profesor Raymond Tan dari Universiti Georgetown berkata:
“Trump cuba menampilkan dirinya bukan bersifat konfrontasi, tetapi sebagai penggerak perimbangan kuasa baru di Asia. Malaysia, Jepun dan Korea Selatan menjadi tiga tapak penting dalam strategi itu.”
Dengan nada yang lebih lunak terhadap China dan penekanan terhadap hubungan sekutu di Asia Timur, lawatan kali ini dilihat sebagai percubaan Encik Trump untuk mengembalikan imejnya sebagai perunding sejagat yang pragmatik, satu imej yang pernah membantu membentuk dasar luar Amerika semasa penggal pertamanya, ujar Profesor Tan. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg