Topik diikuti
Pergi ke BHkuTrump umum perjanjian lebih AS$17b libatkan syarikat AS di Asia Tenggara
Rangkumi penjualan 20 pesawat Boeing 787 kepada syarikat penerbangan Philippine Airlines
Trump umum perjanjian lebih AS$17b libatkan syarikat AS di Asia Tenggara
KUALA LUMPUR: Presiden Amerika Syarikat Donald Trump mengumumkan perjanjian komersial dan pelaburan strategik bernilai lebih AS$17bilion ($21.9 bilion) melibatkan syarikat Amerika di Asia Tenggara.
Menurut Rumah Putih, pengumuman itu menyusuli lawatan kerja dua hari Encik Trump ke Filipina sempena Sidang Kemuncak Asean.
Perjanjian tersebut merangkumi penjualan 20 pesawat Boeing 787 bernilai AS$12 bilion oleh Boeing dan GE Aerospace kepada syarikat penerbangan Philippine Airlines, kata Rumah Putih dalam satu kenyataan pada lewat 18 November.
Washington dan Manila juga akan mengusahakan pembiayaan bernilai lebih AS$2 bilion untuk pembelian pertahanan Filipina, dengan Amerika menyediakan menyediakan AS$400 juta bagi menyokong operasi ketenteraan di Laut China Selatan, katanya.
Syarikat Subic Grain akan membina depoh bahan api bernilai AS$40 juta di Teluk Subic, manakala Filipina akan memodenkan Lapangan Terbang Basco bagi meningkatkan akses ketenteraan, tindak balas bencana dan rantaian bekalan.
Thailand merancang untuk membelanjakan sehingga AS$123 juta bagi Sistem Roket Artileri Mobiliti Tinggi buatan Amerika, yang berpotensi menjadi perjanjian pertama seumpamanya di Asia Tenggara, menurut kenyataan itu.
Di Indonesia, syarikat Latitude Energy dan dana kekayaan berdaulat Danantara sedang merundingkan projek arang batu bernilai AS$2 bilion dengan menggunakan teknologi Amerika, tambah kenyataan itu.
Navajo Transitional Energy Company pula menandatangani perjanjian tiga tahun bernilai AS$100 juta untuk membekalkan arang batu kepada sebuah unit syarikat utiliti elektrik nasional Malaysia, Tenaga Nasional Berhad, kata Rumah Putih.
Amerika juga berikrar untuk menyokong program pembangunan kecerdasan buatan (AI) di Malaysia dan Brunei.
Syarikat Unified National Networks Brunei pula merancang menganugerahkan tender pusat data kepada firma Amerika, Vertiv, dengan perbelanjaan hampir AS$1 bilion yang diperoleh daripada vendor Amerika.
Dalam pada itu, Malaysia dan Amerika berhasrat memperkukuh kerjasama dalam membangunkan Awan AI Berdaulat Malaysia, dengan Washington menyediakan dana berjumlah AS$50 juta bagi menyokong inisiatif itu, tertakluk kepada persetujuan antara kedua-dua pemerintah berhubung terma serta skop bantuan berkenaan.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Trump mengumumkan hasrat kedua-dua negara untuk menjalin kerjasama bagi menyokong inisiatif Malaysia itu, termasuk melalui penyertaan syarikat teknologi Amerika
Menurut MCMC, Malaysia akan menentukan reka bentuk, kaedah perolehan dan pengaturan operasi bagi kemudahan Awan AI Berdaulat itu.
“Infrastruktur dan data yang dihoskan akan ditempatkan di Malaysia, tertakluk kepada undang-undang negara serta kekal dalam pemilikan, jagaan dan kawalan Malaysia,” menurut kenyataan itu. – Agensi berita.