Topik diikuti
Pergi ke BHkuTinjauan BT: Asean kini pangkalan utama fasa baru pertumbuhan perniagaan
Tinjauan BT: Asean kini pangkalan utama fasa baru pertumbuhan perniagaan
Pemimpin niaga serantau digesa kemudi ketidakstabilan sebagai norma operasi baru
Tinjauan BT: Asean kini pangkalan utama fasa baru pertumbuhan perniagaan
Asean bukan lagi sekadar rancangan sandaran, sebaliknya, menjadi pangkalan utama bagi fasa pertumbuhan perniagaan seterusnya.
Menjelaskan demikian pada 17 Jun semasa melancarkan laporan sulung Asean Intelligence 2026 di Jakarta, Indonesia, Editor The Business Times (BT), Cik Chen Huifen, berkata:
“Kelebihan seterusnya di Asean tidak akan berpihak kepada mereka yang terbesar atau terpantas.
“Ia akan memihak kepada mereka yang tahu bagaimana membina kepercayaan, bagaimana melaksanakan penyepaduan, serta bertindak atas pengetahuan tersebut dengan penuh keyakinan dan kesabaran.”
Asean Intelligence merupakan tinjauan serantau mengenai masa depan dan peluang di rantau Asia Tenggara.
Memetik data daripada laporan itu, Cik Chen menarik perhatian bahawa perniagaan di Asia Tenggara mungkin paling optimis tentang tawaran ekonomi di rantau ini dan di negara sendiri, namun pasaran inilah yang turut menyaksikan jurang terbesar antara peluang dengan kepercayaan.
Ketidaksepadanan ini berpunca daripada ketidaktentuan kawal selia, penguatkuasaan yang tidak sekata, perpecahan dalam sistem tadbir urus, peningkatan kos, serta persaingan sengit.
Bagaimanapun, di sinilah letaknya kelebihan mampan bagi perniagaan serantau, kata beliau, sambil menambah bahawa daya saing pemimpin perniagaan di Asia Tenggara bukan semata-mata pada modal atau teknologi, tetapi pada keupayaan mereka beroperasi dalam persekitaran yang dianggap kabur oleh pihak lain.
“Perniagaan yang akan menang bukanlah mereka yang menunggu hingga dunia menjadi stabil, (tetapi) mereka yang memahami bahawa ketidakstabilan adalah keadaan operasi baharu, dan mereka membina perniagaan berlandaskan hakikat itu,” tambahnya.
Tahun ini (2026), BT melantik firma tinjauan pasaran Kantar untuk menjalankan kajian serantau sulung itu yang meninjau, dalam dua fasa, lebih daripada 500 eksekutif peringkat C (C-suites) dan pemimpin perniagaan kanan di seluruh enam ekonomi utama Asean (Asean-6): Indonesia, Malaysia, Filipina, Singapura, Thailand, dan Vietnam.
Kajian itu merupakan yang pertama di bawah siri Insights BT, yang menerbitkan laporan sedemikian sehingga empat kali setahun bagi menyampaikan risikan pasaran eksklusif dan analisis data yang mendalam untuk membantu perniagaan kekal di hadapan trend pasaran.
Kajian serantau utama itu dilancarkan pada edisi kedua Sidang Puncak Ekonomi Asia, yang dianjurkan syarikat media teknologi berbahasa Inggeris, Tech in Asia.
Berlangsung di Fairmont Jakarta, sidang tahun itu bertemakan ‘Where Southeast Asia’s Economic Decisions Take Shape’ (Di Mana Keputusan Ekonomi Asia Tenggara Dibentuk).
Perhimpunan tertutup selama sehari yang dihadiri sekitar 250 penggubal dasar serantau, pemimpin perniagaan, pelabur, dan pihak berkepentingan teknologi itu bertujuan menyelaraskan hasrat dasar dengan keutamaan pelaburan serta laluan pelaksanaan di seluruh Asia Tenggara.
Acara itu menampilkan dua ucaptama peringkat menteri, di mana salah satunya disampaikan oleh Menteri Penerangan dan Pembangunan Digital, Cik Josephine Teo, yang juga Menteri Bertanggungjawab bagi Keselamatan Siber dan Kumpulan Negara Bijak.
Menteri Komunikasi dan Hal Ehwal Digital Indonesia, Cik Meutya Hafid, turut menyampaikan ucaptama, manakala Menteri Ekonomi Kreatif Indonesia, Encik Teuku Riefky Harsya, berucap dalam sesi panel sebelah petang.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SPH Media, Encik Chan Yeng Kit, dalam ucapan alu-aluannya berkata Asia Tenggara berada di tengah-tengah beberapa peralihan dalam susunan ekonomi sejagat hari ini, termasuk penyusunan semula rantaian bekalan dan kembalinya fahaman perlindungan pasaran.
“Persoalannya bukan sama ada perubahan itu akan datang; ia sememangnya telah pun berlaku.
“Persoalannya adalah sama ada kita mengemudi perubahan ini secara aktif atau sekadar menjadi penumpang,” kata Cik Meutya.
Mengenai peranan SPH Media dalam era yang dicorakkan oleh peralihan pesat dalam perdagangan, teknologi, dan geopolitik, beliau menyatakan bahawa keupayaan perniagaan, pelabur, dan pemerintah untuk membuat keputusan yang tepat bukan sahaja bergantung kepada akses maklumat, tetapi juga pada maklumat yang betul, ditafsirkan mengikut konteks, dan disampaikan dengan kewibawaan.
“Apabila dunia bergerak sepantas ini, media bukan sekadar pencatat peristiwa. Ia adalah sebuah kompas,” katanya.
Tinjauan tersebut turut meninjau pandangan pemimpin perniagaan mengenai peranan kecerdasan buatan (AI), yang menjadi tema pelaburan utama di seluruh Asia Tenggara.
Cik Chen mendedahkan, sekitar 45 peratus responden merupakan “penggerak pertama” (’first-movers’) yang bertindak pantas, melabur secara meluas, dan sanggup mengambil risiko untuk mendapatkan kelebihan daya saing.
Kira-kira 42 peratus daripada mereka yang ditinjau pula merupakan “pengoptimum pragmatik” (’pragmatic optimisers’): bersikap memilih, tertumpu kepada pulangan pelaburan, dan mengelakkan kerumitan.
Kumpulan yang lebih kecil, iaitu sekitar 13 peratus responden, merupakan “tradisionalis yang berhati-hati”, yang lebih mengutamakan kestabilan dan peningkatan secara beransur-ansur.
Firma Indonesia sebahagian besarnya menganggap diri mereka sebagai penggerak pertama, dengan 70 peratus daripada mereka yang ditinjau menyatakan mereka berada di bawah tekanan untuk melakukan perubahan.
Sebaliknya, firma Singapura lebih berhati-hati dan terukur, kata beliau, dengan hampir separuh melihat diri mereka sebagai pengoptimum pragmatik, mencerminkan asas kos lebih tinggi dan sistem lebih mantap di negara tersebut.
Hambatan terbesar kepada penggunaan AI adalah kosnya.
Separuh perniagaan yang ditinjau menandakan kos tinggi bagi alatan, prasarana, dan pelaksanaan sebagai halangan utama, diikuti oleh penyepaduan sistem warisan serta kekurangan keupayaan dalaman.
Namun, mereka yang akan terus bertahan menjelang 2028 adalah mereka yang melabur hari ini dalam prasarana data, kesediaan tenaga kerja, dan kes penggunaan yang jelas, kata Cik Chen.
Satu lagi sorotan penting dalam tinjauan itu adalah sebahagian besar perniagaan yang ditinjau merancang untuk memperuntukkan modal baharu di Asia, khususnya dalam Asean dan pasaran domestik mereka.
Khususnya, perniagaan Indonesia adalah antara yang paling komited terhadap penempatan modal serantau, kata Cik Chen.
Sementara itu, kajian itu turut mendapati minat terhadap Amerika Syarikat (AS) dan Eropah telah jatuh dalam senarai keutamaan.
China menduduki tempat ketiga sebagai destinasi pilihan, terutamanya dalam kalangan perniagaan Malaysia dan Vietnam.
Formula penyejagatan lama yang menumpukan pengembangan di Barat dan mengejar pengguna Amerika Syarikat kini diketepikan secara senyap, kata Cik Chen, dengan trend baharu beralih lebih dekat dengan rantau sendiri.
“Jika anda memperuntukkan modal di luar Asia sekarang, anda sebenarnya sedang berenang melawan arus serantau yang sangat kuat,” rumusnya.
“Persoalannya bukan lagi sama ada mahu melangkah ke peringkat serantau – tetapi berapa cepat anda boleh berbuat demikian.”
SEKILAS DAPATAN TINJAUAN
Peluang lawan Kepercayaan
- Pasaran domestik dan Asean dilihat sebagai menawarkan peluang paling besar.
- Tahap kepercayaan paling tinggi di rantau sendiri, namun merosot sebaik sahaja melangkah ke luar negara.
- Ketidaktentuan kawal selia, kebimbangan mengenai tadbir urus, dan penyepaduan serantau yang tidak sekata menjejas keyakinan.
Geopolitik
- 41% rancang perdalam hubungan dengan kedua-dua Amerika dan China.
- 63% lihat perjanjian perdagangan serantau seperti Perjanjian Kerjasama Ekonomi Menyeluruh Serantau (RCEP) dan Perjanjian Menyeluruh dan Progresif bagi Kerjasama Rentas Pasifik (CPTPP) sebagai lebih penting bagi jaminan rantaian bekalan.
Kecerdasan Buatan (AI)
- Automasi dan AI merupakan tumpuan pelaburan utama bagi 2026.
- 45% merupakan ‘penggerak pertama’ yang bertindak pantas, melabur secara meluas, dan sanggup ambil risiko.
- 42% merupakan ‘pengoptimum pragmatik’: bersikap memilih, tertumpu kepada pulangan pelaburan.
- 13% merupakan ‘tradisionalis yang berhati-hati’, yang lebih mengutamakan kestabilan dan peningkatan secara beransur-ansur.
