Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Trump umum potongan tarif selepas rundingan dengan Xi di Korea S

China setuju beli kacang soya dari Amerika, kekal eksport nadir bumi ke pasaran global, serta banteras perdagangan fentanyl
Oct 30, 2025 | 2:34 PM
Presiden Amerika Syarikat Encik Donald Trump dan Presiden China Xi Jinping berbual ketika mereka beredar selepas mesyuarat dua hala di Lapangan Terbang Antarabangsa Gimhae, bersempena sidang puncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) di Busan, Korea Selatan, pada 30 Oktober.
Presiden Amerika Syarikat Encik Donald Trump dan Presiden China Xi Jinping berbual ketika mereka beredar selepas mesyuarat dua hala di Lapangan Terbang Antarabangsa Gimhae, bersempena sidang puncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) di Busan, Korea Selatan, pada 30 Oktober. - Foto EPA

BUSAN: Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, pada 30 Oktober mengumumkan bahawa beliau bersetuju mengurangkan tarif ke atas barangan import dari China kepada 47 peratus, sebagai pertukaran untuk beberapa komitmen penting Beijing.

Ini termasuk menyambung semula pembelian kacang soya dari Amerika, mengekalkan eksport nadir bumi ke pasaran global, serta membanteras perdagangan haram bahan kimia fentanyl.

Pengumuman itu dibuat selepas pertemuan antara Encik Trump dan Presiden China Xi Jinping di bandar pelabuhan Busan, Korea Selatan, pertemuan pertama mereka sejak 2019, sekali gus menandakan kemuncak lawatan singkat Encik Trump ke Asia yang turut meliputi Jepun, Malaysia dan Korea Selatan.

“Saya fikir pertemuan itu luar biasa,” kata Encik Trump kepada wartawan dalam pesawat Air Force One sejurus meninggalkan Busan.

“Kami telah bersetuju untuk mengurangkan tarif daripada 57 peratus kepada 47 peratus, ia adalah langkah besar.”

Encik Trump berkata China bersetuju mengekalkan eksport nadir bumi selama tempoh satu tahun, yang dijangka dilanjutkan selepas itu. Beliau menyifatkan perjanjian itu sebagai “penyelesaian global” terhadap isu yang telah lama menjadi punca ketegangan perdagangan antara kedua-dua negara.

“Semua isu nadir bumi kini telah diselesaikan,” tegas Encik Trump. “Tiada lagi halangan, isu ini tidak lagi akan menjadi masalah untuk seketika.”

Nadir bumi merupakan bahan penting dalam pengeluaran peralatan pertahanan, semikonduktor serta elektronik dan kawalan eksport bahan ini oleh China sebelum ini mencetuskan kemarahan Washington.

Encik Trump juga memaklumkan bahawa China akan segera menyambung pembelian kacang soya Amerika, manakala Amerika akan mengurangkan tarif ke atas bahan kimia berkaitan fentanyl kepada 10 peratus daripada 20 peratus sebelumnya.

“Presiden Xi berjanji akan bekerja keras menghentikan aliran fentanyl ke Amerika,” kata Encik Trump. “Saya yakin mereka benar-benar mengambil tindakan tegas.”

Pertemuan dua jam antara Encik Trump dan Encik Xi berlangsung di luar sidang puncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (Apec). Encik Trump menyifatkan rundingan itu sebagai “amat luar biasa”, malah memberi penilaian “12 daripada 10” bagi menggambarkan tahap kejayaannya.

“Kami berjaya mencapai banyak keputusan muktamad,” katanya. “Presiden Xi seorang pemimpin yang hebat dan mengetuai negara yang amat berkuasa.”

Encik Trump turut mengesahkan bahawa isu Taiwan tidak dibincangkan dalam pertemuan itu. “Taiwan tidak dibangkitkan sama sekali,” katanya. Sebaliknya, perbincangan tertumpu kepada isu perdagangan, keselamatan, dan aliran teknologi strategik.

Encik Trump turut mendedahkan bahawa beliau akan melawat China pada April 2026, sementara Encik Xi akan membuat lawatan balas ke Amerika selepas itu. “Kami akan terus berbincang sama ada di Florida, Palm Beach, atau Washington,” katanya.

Sumber Bloomberg melaporkan bahawa Encik Trump turut membincangkan isu penjualan cip kecerdasan buatan (AI) Nvidia kepada China.

Encik Trump menyatakan bahawa isu itu kini “terserah kepada Beijing” untuk berunding terus dengan syarikat tersebut bagi mengekalkan akses kepada pasaran semikonduktor terbesar di dunia.

Encik Trump juga berharap China akan membenarkan penjualan saham majoriti ByteDance dalam aplikasi TikTok, yang popular dalam kalangan anak muda Amerika, sebagai sebahagian daripada pakej rundingan yang lebih luas.

“Kami sedang berusaha mencapai sesuatu yang akan memberi manfaat kepada kedua-dua negara,” kata Encik Trump. “Saya mahu perdagangan yang adil, bukan hanya perdagangan bebas.”

Beijing belum mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai hasil pertemuan itu, namun kenyataan awal Kementerian Luar China menyebut bahawa kedua-dua pemimpin telah mengadakan “perbincangan mendalam mengenai isu strategik dan jangka panjang dalam hubungan dua hala”.

Penganalisis melihat rundingan ini sebagai titik tolak penting dalam hubungan ekonomi global, terutama bagi negara-negara Asia Tenggara. Potongan tarif Amerika terhadap China dijangka meningkatkan daya saing eksport China ke pasaran Amerika, sekali gus memberi tekanan kepada pengeksport lain di rantau ini.

“Jika rundingan itu gagal, perang perdagangan akan kembali dan merencatkan pertumbuhan ekonomi global,” kata Encik Gregory Poling, Pengarah Program Asia Tenggara di Pusat Kajian Strategik dan Antarabangsa (CSIS). “Tetapi jika Trump dan Xi mencapai perjanjian besar, ia mungkin menguntungkan eksport China dan menjejas kepentingan ekonomi serantau.”
Negara seperti Vietnam, Thailand, dan Indonesia, yang sebelum ini mendapat manfaat daripada perang tarif antara Washington dan Beijing, kini berisiko kehilangan kelebihan daya saing mereka.

Pertemuan Trump-Xi ini juga dilihat penting menjelang pilihan raya separuh penggal Amerika 2026, di mana kejayaan mencapai “perjanjian besar” dengan China berpotensi meningkatkan sokongan kepada Parti Republikan.

“Tindakan Trump ini berani dan berisiko,” kata Encik Han Lin, Pengarah Urusan China bagi The Asia Group. “Jika ia membawa kemenangan perdagangan, beliau akan dilihat sebagai perancang strategik yang bijak. Jika gagal, hubungan Amerika-China akan menjadi semakin dingin.”

Penganalisis di Beijing menilai pertemuan ini sebagai peluang bagi Encik Xi menunjukkan kestabilan kepimpinannya di tengah-tengah tekanan ekonomi domestik dan aliran keluar modal.

Encik Trump menutup lawatan Asia lima harinya dengan keyakinan tinggi bahawa “era baru perdagangan Amerika-China” sedang bermula.

“Kami akan memastikan hubungan ini terus di landasan yang betul,” kata Encik Trump sebelum berlepas dari Busan.

“Kedua-dua negara kita besar, kuat, dan saling memerlukan dan hari ini, kita buktikan bahawa kerjasama masih boleh berlaku.” – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg