WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, pada 13 Februari telah menandatangani pelan untuk memperkenalkan “tarif timbal balas” yang bakal memberi kesan besar kepada rakan dan pesaing perdagangan negara itu.
Langkah itu dilihat sebagai peningkatan mendadak dalam perang perdagangan antarabangsa yang menurut pakar ekonomi boleh mencetuskan inflasi dalam negara.
Sejak memegang jawatan, Encik Trump telah mengumumkan pelbagai tarif yang menyasarkan beberapa rakan dagangan terbesar Amerika.
Beliau berhujah bahawa langkah itu bertujuan menangani amalan perdagangan yang tidak adil dan kadangkala menggunakan ancaman tersebut untuk mempengaruhi dasar negara lain.
Bercakap di Pejabat Meja Bundar pada 13 Februari, Encik Trump menegaskan bahawa beliau mahu mengenakan tarif yang setara kepada negara lain.
“Apa sahaja yang negara-negara kenakan kepada Amerika Syarikat, kita akan kenakan kepada mereka,” katanya kepada wartawan.
Encik Trump turut menyelar Kesatuan Eropah (EU) sebagai “amat kejam” dalam hubungan perdagangan dengan Washington.
Menurut seorang pegawai Rumah Putih yang enggan dinamakan, tarif tersebut akan disesuaikan mengikut setiap rakan dagangan Amerika.
Ia mengambil kira tarif yang dikenakan pada barangan Amerika serta cukai seperti Cukai Nilai Tambah (VAT) yang dianggap “berat sebelah”.
Dengan memo yang ditandatangani pada 13 Februari, pegawai seperti Wakil Perdagangan Amerika dan Setiausaha Perdagangan akan mencadangkan langkah penyelesaian berdasarkan setiap negara.
Encik Howard Lutnick, calon Setiausaha Perdagangan Encik Trump, berkata kajian berkenaan tarif dijangka selesai menjelang 1 April dan tarif boleh bermula seawal 2 April.
“Ekonomi yang mempunyai defisit terbesar atau isu paling serius dengan Amerika akan menjadi tumpuan pertama,” kata pegawai itu.
Seorang penasihat perdagangan Encik Trump, Encik Peter Navarro, menambah: “Negara pengeksport utama dunia menyerang pasaran kita dengan tarif yang membebankan dan halangan bukan tarif yang lebih membebankan lagi.”
Selain EU, Rumah Putih turut menyebut India dan Brazil berhubung perbezaan dalam kadar tarif tertentu, sementara menyatakan Jepun memiliki “halangan struktur tinggi”.
Langkah Encik Trump itu turut menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pakar ekonomi.
Tarif yang meluas pada barangan import Amerika dijangka menaikkan harga dalam tempoh terdekat, sekali gus memberi tekanan kepada kos sara hidup rakyat.
Encik Trump sendiri mengakui harga di Amerika “mungkin meningkat” disebabkan tarif tersebut, tetapi beliau optimis bahawa ia akhirnya akan membawa kepada penurunan harga.
“Kita telah diperlakukan dengan tidak adil terlalu lama,” kata seorang pegawai Rumah Putih, sambil menyatakan bahawa kekurangan timbal balik merupakan punca kepada defisit perdagangan tahunan Amerika yang mencecah lebih AS$1 trilion ($1.34 trilion) pada 2024.
Satu isu yang diketengahkan ialah tarif 10 peratus EU terhadap kenderaan Amerika, manakala Amerika hanya mengenakan tarif 2.5 peratus terhadap kenderaan dari EU.
Pengarah dasar di Yayasan Cukai Eropah, Encik Sean Bray, menegaskan bahawa Amerika turut mengenakan kadar lebih tinggi terhadap produk tertentu seperti 25 peratus untuk trak ringan.
Encik Trump turut mengkritik “beberapa kawasan di Eropah” kerana memiliki VAT kira-kira 20 peratus, walaupun beberapa penganalisis mempertikaikan bahawa VAT memberikan kelebihan perdagangan yang tidak adil.
Pengumuman Encik Trump itu dibuat sebelum beliau bertemu Perdana Menteri India, Encik Narendra Modi, di Washington.
Encik Trump optimis“perjanjian perdagangan yang hebat” akan dicapai dengan India.
New Delhi pantas menawarkan beberapa konsesi tarif sebelum lawatan Encik Modi, termasuk pengurangan tarif pada motosikal mewah.
Menurut penyelidik kanan di badan pemikir bukan meraih untung yang berorientasi pasaran bebas, Mercatus Center, Cik Christine McDaniel, Encik Trump kelihatan tidak terikat dengan norma Pertubuhan Dagangan Dunia (WTO).
“Memo ini memaksa negara-negara untuk merundingkan semula jadual tarif mereka dengan Washington,” katanya.
Namun, beliau memberi amaran dengan berkata:
“Jika negara-negara enggan, dan Amerika menaikkan tarifnya, ia akan merugikan Amerika sendiri kerana pengimport Amerika bakal berdepan harga yang lebih tinggi.
“Langkah ini boleh berjaya jika negara lain bekerjasama, tetapi ia juga boleh menjadi bencana jika rundingan gagal.” – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg