Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

AS akan umum tarif 25% ke atas import keluli, aluminium

Feb 10, 2025 | 1:19 PM
Presiden Amerika Syarikat Encik Donald Trump, berkata beliau akan mengumumkan tarif timbal balik pada 11 Februari atau 12 Februari – berkuat kuasa hampir serta-merta.
Presiden Amerika Syarikat Encik Donald Trump, berkata beliau akan mengumumkan tarif timbal balik pada 11 Februari atau 12 Februari – berkuat kuasa hampir serta-merta. - Foto AFP

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, berkata beliau akan mengumumkan pada 19 Februari mengenai tarif 25 peratus ke atas semua import keluli dan aluminium ke negaranya.

Tarif baru itu adalah tambahan kepada cukai logam sedia ada dalam satu lagi peningkatan besar rombakan dasar perdagangannya.

Encik Trump, yang bercakap kepada pemberita di dalam pesawat presiden Air Force One pada 9 Februari, juga berkata beliau akan mengumumkan tarif timbal balik pada 11 Februari atau 12 Februari – berkuat kuasa hampir serta-merta.

Menurutnya, Amerika akan memadankan kadar tarif yang dikenakan oleh negara lain dan ini akan terpakai ke atas semua negara

“Ringkasnya, jika mereka mengenakan bayaran kepada kami, kami juga akan mengenakan bayaran kepada mereka,” katanya mengenai pelan tarif timbal balik itu.

Menurut data pemerintah dan Institut Besi dan Keluli Amerika, sumber terbesar import keluli Amerika adalah Canada, Brazil dan Mexico, diikuti oleh Korea Selatan dan Vietnam.

Canada pembekal terbesar logam aluminium ke Amerika, menyumbang 79 peratus daripada jumlah import dalam 11 bulan pertama 2024.

Mexico pula pembekal utama sekerap aluminium dan aloi aluminium.

“Keluli dan aluminium Canada menyokong industri utama di Amerika – daripada pertahanan, pembinaan kapal kepada kereta,” kata Menteri Inovasi Canada, Encik Francois-Philippe Champagne, dalam satu hantaran ke laman X.

“Kami akan terus mempertahankan Canada, pekerja kami, dan industri kami,” tegasnya tanpa memberikan butiran lanjut.

Encik Trump turut berkata meskipun negaranya akan membenarkan Nippon Steel Jepun melabur dalam syarikat United State Steel, ia tidak akan membenarkan mereka menjadi pegangan majoriti.

Nippon Steel enggan mengulas mengenai pengumuman terkini Encik Trump itu.

Semasa penggal pertamanya, Encik Trump mengenakan tarif 25 peratus ke atas keluli dan 10 peratus ke atas aluminium, tetapi kemudiannya memberikan beberapa kuota bebas cukai kepada rakan perdagangan, termasuk Canada, Mexico dan Brazil.

Mantan presiden Amerika, Encik Joe Biden, melanjutkan kuota itu kepada Britain, Jepun dan Kesatuan Eropah.

Ekorannya, penggunaan kapasiti kilang keluli Amerika berkurangan dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

Penggunaan kapasiti kilang keluli melonjak ke paras lebih 80 peratus pada 2019 selepas tarif awal Encik Trump, tetapi telah jatuh sejak itu apabila penguasaan China di peringkat sejagat dalam sektor itu menurunkan harga keluli. – Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg