Trump usul bayaran AS$1b untuk anggotai lembaga keamanan Gaza
Trump usul bayaran AS$1b untuk anggotai lembaga keamanan Gaza
Cadangan itu cetuskan persoalan baru tentang hala tuju, pengaruh Amerika dalam struktur keamanan sejagat
WASHINGTON: Pentadbiran Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, dilaporkan mencadangkan agar negara-negara yang ingin mengekalkan keanggotaan kekal dalam Lembaga Keamanan (BoP) membayar sumbangan sebanyak AS$1 bilion ($1.28 bilion), menurut laporan Bloomberg pada 17 Januari malam yang memetik draf piagam badan antarabangsa itu.
BoP merupakan sebuah badan antarabangsa yang mendapat pengiktirafan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada November 2025 dan ditubuhkan bagi menyelia pelaksanaan gencatan senjata antara Israel dan Hamas.
Namun, cadangan kewangan tersebut kini menimbulkan persoalan baru tentang hala tuju, mandat sebenar serta pengaruh Amerika dalam struktur keamanan sejagat.
Menurut draf piagam yang dilihat Bloomberg, Presiden Trump akan menjadi pengerusi sulung BoP dan diberi kuasa memilih negara-negara yang akan dijemput menyertai badan itu.
Walaupun keputusan rasmi dibuat melalui undian majoriti, pengerusi mempunyai kuasa kelulusan muktamad.
Menurut salinan surat dan draf piagam yang dilihat Reuters, lembaga itu akan dipengerusikan seumur hidup oleh Encik Trump dan akan bermula dengan menangani konflik Gaza sebelum diperluaskan untuk menangani konflik lain.
Keanggotaan BoP, menurut draf tersebut, adalah untuk tempoh tiga tahun.
Namun, negara yang sanggup membayar AS$1 bilion secara tunai dalam tahun pertama piagam berkuat kuasa boleh memperoleh kerusi keanggotaan kekal.
Seorang pegawai Amerika memberitahu CNBC bahawa tiada bayaran dikenakan untuk menyertai BoP sebagai anggota biasa.
Namun, sumbangan AS$1 bilion akan melayakkan sesebuah negara memperoleh status keanggotaan kekal.
“Mandat utama Lembaga Keamanan adalah untuk membina semula seluruh Gaza, dan hampir setiap dolar yang dikumpulkan akan digunakan untuk tujuan tersebut,” kata pegawai itu.
Beliau turut menegaskan bahawa badan berkenaan akan beroperasi tanpa gaji atau struktur pentadbiran yang membebankan.
Namun begitu, setakat ini tiada penjelasan diberikan mengenai lokasi penyimpanan dana yang dikumpulkan daripada negara anggota, mahupun bagaimana proses pengawasan kewangan akan dilaksanakan.
Ketiadaan rujukan langsung kepada Gaza dalam piagam itu mencetuskan spekulasi bahawa BoP mungkin mempunyai mandat lebih luas, termasuk berpotensi berfungsi sebagai badan pengaman antarabangsa baharu yang didominasi Amerika Syarikat, sekali gus menjadi alternatif kepada Majlis Keselamatan PBB.
Resolusi Majlis Keselamatan PBB yang diluluskan pada November 2025 menyokong pelan Encik Trump bagi menamatkan perang Israel-Hamas dan mengalu-alukan penubuhan BoP sebagai pentadbiran peralihan untuk menyelaras pembiayaan serta rangka kerja pembangunan semula Gaza.
Wilayah Gaza mengalami kemusnahan besar sepanjang dua tahun peperangan, dengan PBB menganggarkan kira-kira 80 peratus bangunan rosak atau musnah.
Hampir dua juta penduduk masih tinggal di khemah sementara, dikelilingi runtuhan bertan-tan serpihan.
Piagam BoP telah diedarkan bersama jemputan kepada negara-negara berpotensi menyertai badan itu hujung minggu lalu.
Seorang pegawai mengesahkan kesahihan dokumen tersebut kepada agensi berita Amerika, dengan syarat identitinya dirahsiakan kerana sensitiviti diplomatik.
Pada 16 Januari, Rumah Putih mengumumkan bahawa keanggotaan BoP termasuk Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Encik Marco Rubio; menantu Presiden Trump, Encik Jared Kushner; Presiden Bank Dunia, Encik Ajay Banga; serta mantan Perdana Menteri Britain, Encik Tony Blair.
Beberapa negara mengesahkan telah menerima jemputan, termasuk Argentina, Canada, Mesir dan Turkey.
Kementerian Luar Jordan turut memaklumkan bahawa Raja Abdullah II dijemput menyertai lembaga tersebut.
Pemimpin dunia was-was terhadap jemputan Encik Trump untuk menyertai inisiatif BoP yang disyorkannya bagi menyelesaikan konflik peringkat sejagat.
Ramai antara mereka bimbang usul itu berpotensi menjejaskan peranan PBB sekarang.
Menurut diplomat, hanya Hungary yang pemimpinnya sekutu rapat Encik Trump menyatakan persetujuan secara mutlak terhadap jemputan yang dihantar kepada kira-kira 60 negara dan mula diterima di ibu kota Eropah pada 16 Januari.
Pemerintah lain dilihat enggan mengeluarkan kenyataan terbuka, menyebabkan pegawai menyuarakan kebimbangan secara rahsia mengenai kesan inisiatif itu terhadap peranan PBB.
Terdahulu dalam satu hantaran di Truth Social, Encik Trump menyifatkan BoP sebagai “lembaga terbesar dan paling berprestij pernah ditubuhkan pada bila-bila masa dan di mana-mana tempat”, walaupun banyak aspek mengenai peranannya masih belum diperincikan.
Menurut piagam tersebut, misi BoP adalah untuk “menggalakkan kestabilan, memulihkan tadbir urus yang sah dan boleh dipercayai, serta menjamin keamanan berkekalan di kawasan yang terjejas atau terancam oleh konflik”.
Piagam itu turut menekankan keperluan sebuah badan keamanan antarabangsa yang “lebih tangkas dan berkesan”, sambil mengkritik pendekatan pembinaan keamanan sedia ada yang dikatakan “menginstitusikan krisis dan kebergantungan berterusan”.
Seiring penubuhan BoP, Rumah Putih turut mengumumkan penubuhan sebuah Lembaga Eksekutif Gaza bagi menyelaras hubungan dengan jawatankuasa teknokratik Palestin yang mentadbir kehidupan harian di Gaza.
Namun, komposisi lembaga eksekutif itu mencetuskan bantahan terbuka daripada pejabat Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, yang menyatakan bahawa langkah tersebut tidak diselaraskan dengan Israel dan bercanggah dengan dasarnya.
Menteri Israel daripada Parti Likud, Cik Miri Regev, berkata Israel membantah penyertaan Qatar dan Turkey, sambil menegaskan bahawa Encik Netanyahu akan berusaha mengubah keputusan itu.
Hubungan Israel dengan Turkey merosot ketara sejak perang Gaza tercetus pada Oktober 2023, dengan Presiden Turkey, Encik Recep Tayyip Erdogan, berulang kali mengkritik kepimpinan Israel dan menunjukkan sokongan terbuka terhadap Hamas.
Israel menegaskan keutamaan utamanya adalah melucutkan ketenteraan Gaza, namun setakat ini Hamas enggan melucutkan senjata, sekali gus menjadikan peranan dan masa depan BoP semakin kompleks dan penuh tanda tanya. – Agensi berita.

