Topik diikuti
Pergi ke BHkuTrump, Xi ikrar perkukuh hubungan AS-China dalam majlis makan malam negara
Trump, Xi ikrar perkukuh hubungan AS-China dalam majlis makan malam negara
WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, dan Presiden China, Encik Xi Jinping, berikrar membuka lembaran baharu dalam hubungan kedua-dua negara ketika menghadiri majlis makan malam negara di Rumah Putih pada 24 September, meskipun beberapa pertikaian utama antara Washington dengan Beijing masih belum diselesaikan.
Majlis yang dihadiri pemimpin korporat, jutawan dan ketua syarikat teknologi terkemuka Amerika itu menjadi kemuncak lawatan negara Encik Xi, yang menyaksikan kedua-dua pemimpin menonjolkan hubungan peribadi mereka serta menekankan kepentingan kerjasama antara dua kuasa ekonomi terbesar dunia.
Dalam ucapannya, Encik Trump memuji hubungan persahabatannya dengan Encik Xi dan menyatakan keyakinan bahawa kedua-dua negara mampu membina masa depan yang lebih stabil.
“Hubungan kami tidak pernah sebaik sekarang,” katanya sambil mengucapkan terima kasih kepada Encik Xi kerana melakukan perjalanan jauh ke Amerika.
Beliau turut menyatakan harapan agar hubungan Amerika-China terus berkembang dalam suasana harmoni, aman dan berjaya, meskipun kedua-dua negara mengamalkan sistem politik dan ekonomi yang berbeza.
Encik Xi pula menggesa kedua-dua negara bertindak sebagai kuasa besar yang bertanggungjawab dan memenuhi harapan rakyat masing-masing.
“China dan Amerika Syarikat mesti bertindak sebagai kuasa besar yang bertanggungjawab bagi memenuhi harapan rakyat kita,” katanya.
Menurutnya, perbincangan bersama Encik Trump telah menghasilkan persefahaman mengenai beberapa perkara dan menyediakan hala tuju strategik baharu bagi hubungan kedua-dua negara.
“Kami bersetuju membina hubungan China-Amerika yang membina dan mempunyai kestabilan strategik,” katanya.
Bagaimanapun, Encik Xi tidak memperincikan persetujuan yang dicapai, manakala pemerhati menyatakan bahawa lawatan tersebut masih belum menghasilkan kemajuan ketara dalam isu perdagangan, Taiwan dan kecerdasan buatan (AI).
Kedua-dua pemimpin turut menekankan sejarah panjang hubungan Amerika-China, termasuk kerjasama ketika Perang Dunia Kedua dan diplomasi pingpong yang membantu membuka jalan kepada pemulihan hubungan diplomatik pada era Presiden Richard Nixon.
Encik Xi berkata hubungan kedua-dua negara mempunyai kepentingan yang saling berkait dan persaingan antara mereka perlu diurus secara membina.
Beliau menggesa Washington dan Beijing meneroka pendekatan baharu bagi membolehkan kuasa besar hidup bersama secara aman, sambil menegaskan bahawa matlamat pembangunan kedua-dua negara boleh saling melengkapi.
Majlis makan malam itu turut memperlihatkan usaha Rumah Putih menggunakan diplomasi dan istiadat rasmi bagi meraikan kunjungan Encik Xi.
Encik Trump menghadiahkan pemimpin China itu sebuah arca helang botak, lambang kebangsaan Amerika, yang menurutnya melambangkan semangat kebebasan negara tersebut.
Beliau berkata beliau dan Wanita Pertama, Cik Melania Trump, turut mengambil bahagian dalam mereka bentuk arca berkenaan.
“Kami berharap ia mendapat tempat yang indah di Beijing,” katanya.
Encik Trump turut mengundang tetamunya melawat tapak pembinaan dewan tari-menari baharu di Rumah Putih, yang dijangka siap tahun 2027.
Encik Xi pula mengucapkan terima kasih atas layanan istimewa yang diberikan kepada beliau dan isterinya, sambil menyatakan bahawa sambutan tersebut membuatkan mereka berasa seperti berada di rumah sendiri.
Antara tetamu yang menghadiri majlis itu ialah Ketua Pegawai Eksekutif Apple, Encik Tim Cook; OpenAI, Encik Sam Altman; Google, Encik Sundar Pichai; dan Nvidia, Encik Jensen Huang.
Pengasas Amazon, Encik Jeff Bezos; ketua Tesla, Encik Elon Musk; serta pengasas bersama Meta, Encik Mark Zuckerberg, turut hadir bersama pegawai kanan pentadbiran Amerika dan anggota keluarga Encik Trump.
Kehadiran pemimpin teknologi itu memperlihatkan kepentingan hubungan ekonomi Amerika-China, khususnya ketika kedua-dua negara bersaing dalam pembangunan AI dan teknologi cip.
Majlis yang dirancang pejabat Cik Melania itu menampilkan hidangan berasaskan bahan makanan Amerika dengan sedikit pengaruh masakan China.
Hidangan utama termasuk ikan siakap bersalut bijan, sayur bok choy dan terung panggang, manakala pencuci mulut disediakan menggunakan madu yang dihasilkan di kawasan Rumah Putih.
Di luar Rumah Putih, sekumpulan penunjuk perasaan melaungkan slogan membantah dasar China terhadap Hong Kong. Beberapa individu dilaporkan ditahan.
Pada 25 September, kedua-dua pemimpin bersama isteri masing-masing dijadualkan menikmati teh sebelum melawat Arkib Negara Amerika, yang menyimpan dokumen bersejarah termasuk Perlembagaan dan Pengisytiharan Kemerdekaan negara itu.
Encik Xi dijadualkan berlepas dari Washington pada hari yang sama, mengakhiri lawatan yang menonjolkan kemesraan diplomatik, meskipun beberapa pertikaian strategik antara kedua-dua negara masih perlu diselesaikan melalui rundingan lanjut. - Agensi berita