Topik diikuti
Pergi ke BHkuTrump, Xi tonjol hubungan mesra namun belum capai kemajuan besar isu utama
AS, China tekankan kerjasama meski perbezaan mengenai Taiwan, perdagangan, AI dan perang Iran masih belum diselesaikan
Trump, Xi tonjol hubungan mesra namun belum capai kemajuan besar isu utama
WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, menyambut Presiden China, Encik Xi Jinping, dengan penuh istiadat di Rumah Putih pada 24 September, dalam pertemuan yang menonjolkan hubungan mesra kedua-dua pemimpin itu tetapi belum menghasilkan kemajuan besar dalam beberapa isu utama yang memisahkan Washington dengan Beijing.
Sidang kemuncak itu berlangsung ketika kedua-dua kuasa ekonomi terbesar dunia itu saling bersaing sengit dalam bidang perdagangan dan teknologi, selain perbezaan pendirian mengenai Taiwan serta peperangan Amerika dengan Iran.
Encik Trump berulang kali menekankan hubungan peribadinya dengan Encik Xi yang disifatkannya sebagai persahabatan yang benar-benar erat, sambil menyatakan kedua-dua negara itu telah mencapai kemajuan dalam hubungan perdagangan sejak lawatannya ke China pada Mei lalu.
“Kami berdua memahami bahawa kami mewakili sistem yang berbeza, tetapi hubungan antara rakyat kedua-dua negara tetap kukuh dan hubungan kami tidak pernah sebaik sekarang,” kata Encik Trump ketika menyampaikan ucapan pada majlis makan malam negara.
Encik Xi pula mengambil pendekatan lebih berhati-hati dengan menekankan tanggungjawab kedua-dua negara untuk mengurus persaingan secara membina dan mengekalkan hubungan yang stabil.
Beliau berkata perbincangan bersama Encik Trump telah menghasilkan persefahaman mengenai pelbagai perkara dan menyediakan hala tuju strategik baharu bagi hubungan Amerika-China.
“China dan Amerika mesti bertindak sebagai kuasa besar yang bertanggungjawab,” katanya sambil menggesa pendekatan baharu dalam hubungan antara kedua-dua negara.
Bagaimanapun, Encik Xi tidak memberikan butiran lanjut mengenai persetujuan yang dicapai.
Lawatan itu merupakan kunjungan pertama Encik Xi ke Washington dalam tempoh lebih sedekad dan pertemuan kedua antara kedua-dua pemimpin pada tahun ini.
Antara isu utama yang dibincangkan ialah Taiwan, dengan Encik Xi menggesa Washington menentang sebarang usaha ke arah kemerdekaan pulau itu, menurut laporan agensi berita rasmi China, Xinhua.
Beijing menganggap Taiwan sebagai sebahagian daripada wilayahnya dan tidak menolak penggunaan kekerasan untuk mengambil alih pulau yang ditadbir secara demokratik itu.
Sebelum pertemuan tersebut, Encik Xi dijangka mendesak Washington menghentikan penjualan senjata kepada Taiwan.
Selepas lawatannya ke China pada Mei lalu, Encik Trump mengumumkan penangguhan pakej penjualan senjata bernilai kira-kira AS$14 bilion ($17.9 bilion) kepada Taiwan, yang disifatkannya sebagai kelebihan dalam rundingan dengan Beijing.
Keputusan itu menimbulkan kebimbangan dalam kalangan sekutu Amerika di Asia serta sebahagian anggota Parti Republikan mengenai kemungkinan Washington mengubah pendiriannya terhadap Taiwan sebagai pertukaran untuk mendapatkan persetujuan ekonomi dengan China.
Dalam bidang perdagangan, kedua-dua negara bersetuju melanjutkan gencatan perdagangan selama dua bulan bagi membolehkan rundingan diteruskan.
Setiausaha Perbendaharaan Amerika, Encik Scott Bessent, berkata lanjutan itu memberi kedua-dua pihak lebih banyak masa untuk mencari penyelesaian terhadap pertikaian ekonomi yang masih berlarutan.
Bagaimanapun, isu utama termasuk tarif, pembelian barangan Amerika oleh China, bekalan mineral nadir bumi dan sekatan teknologi masih belum diselesaikan.
Persaingan dalam bidang kecerdasan buatan (AI) turut menjadi tumpuan. Encik Xi menegaskan bahawa pembangunan AI mesti sentiasa berada di bawah kawalan manusia dan digunakan secara bertanggungjawab.
Beliau turut menggesa angkatan tentera kedua-dua negara mengekalkan komunikasi secara berkala bagi mengurangkan risiko salah perhitungan yang boleh mencetuskan krisis.
Mengenai Iran, Encik Xi menyuarakan sokongan terhadap usaha mengembalikan gencatan senjata antara Washington dengan Teheran serta menyambung rundingan damai.
Bagaimanapun, tiada petunjuk bahawa Beijing bersedia menggunakan pengaruhnya untuk mendesak Iran menerima tuntutan Amerika.
Penganalisis Pusat Kajian Strategik dan Antarabangsa (CSIS), Encik Edgard Kagan, berkata pertemuan itu memperlihatkan perbezaan pendekatan kedua-dua pemimpin.
Menurutnya, Encik Trump menekankan hubungan peribadinya dengan Encik Xi, sedangkan pemimpin China itu lebih berhati-hati dan memberikan tumpuan kepada hubungan antara kedua-dua negara.
Lawatan tersebut turut diserikan dengan majlis makan malam negara yang dihadiri pemimpin industri teknologi, termasuk Ketua Pegawai Eksekutif Apple, Encik Tim Cook; Nvidia, Encik Jensen Huang; dan OpenAI, Encik Sam Altman.
Di luar Rumah Putih, penunjuk perasaan melaungkan slogan membantah dasar Beijing terhadap Hong Kong ketika kedua-dua pemimpin bergambar bersama.
Walaupun pertemuan itu memperlihatkan usaha Washington dan Beijing mengekalkan hubungan diplomatik yang stabil, hasil utamanya setakat ini ialah lanjutan sementara gencatan perdagangan.
Persetujuan mengenai Taiwan, kawalan eksport teknologi dan konflik Iran masih memerlukan rundingan lanjut, sekali gus memperlihatkan jurang antara kemesraan diplomatik dengan penyelesaian pertikaian strategik kedua-dua negara. - Agensi berita