Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Trump yakin pelan damai Gaza buka jalan kemajuan Asia Barat

Netanyahu: Israel sedang rangka gencatan senjata baru bersama Rumah Putih
Sep 29, 2025 | 11:27 AM
bandar gaza, jaluran gaza
Penduduk Palestin melarikan diri dari utara Gaza akibat operasi ketenteraan Israel, bergerak ke arah selatan selepas tentera Israel mengarahkan penduduk Bandar Gaza berpindah ke bahagian selatan Jaluran Gaza pada 28 September. - Foto REUTERS

NEW YORK: Presiden Amerika Syarikat Donald Trump mengumumkan hasrat memuktamadkan cadangan pelan damai Gaza dalam pertemuannya dengan Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, pada 29 September.

Langkah itu dibuat ketika tekanan antarabangsa meningkat terhadap Israel agar menghentikan perang yang sudah hampir dua tahun melanda Gaza.

“Kami berada di ambang sesuatu yang istimewa. Semua pihak bersama untuk satu penyelesaian yang belum pernah berlaku sebelum ini,” tulis Encik Trump di wadah Truth Social, pada 28 September.

“Kami akan melaksanakannya,” tambah beliau.

Encik Trump sebelum itu mempengerusikan mesyuarat khas bersama pemimpin negara Islam di luar sidang ke-80 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York.

Antara yang hadir ialah pemimpin Turkey, Qatar, Arab Saudi, Indonesia, Pakistan, Mesir, Amiriah Arab Bersatu (UAE) dan Jordan.

Perbincangan tertumpu kepada usaha damai Gaza, pembebasan tebusan, serta hala tuju pascakonflik.

Menurut sumber Arab News, pelan 21 perkara Encik Trump merangkumi gencatan senjata segera, pembebasan semua tebusan dalam tempoh 48 jam, pengunduran berperingkat tentera Israel dari Gaza, serta pemulihan semula wilayah itu tanpa penguasaan Hamas.

Israel turut diminta membenarkan bantuan kemanusiaan besar-besaran dan membebaskan tahanan Palestin.

Encik Trump dalam temu bual telefon bersama agensi berita, Reuters berkata, cadangan itu “mendapat respons yang sangat baik” daripada pemimpin Arab dan Israel.

“Semua orang mahu capai persetujuan,” tegasnya.

Namun, Hamas menafikan menerima sebarang cadangan rasmi sama ada daripada Encik Trump mahupun perantara Qatar dan Mesir.

“Kami belum menerima sebarang pelan secara rasmi,” kata anggota Biro Politik Hamas, Encik Hossam Badran.

Encik Netanyahu pula mengakui sedang berunding dengan pentadbiran Encik Trump tetapi menekankan keutamaan menghancurkan Hamas.

“Kami sedang bekerjasama dengan pasukan Presiden Trump, namun saya perlu pastikan keselamatan Israel terjamin,” katanya dalam temu bual bersama Fox News Sunday.

Encik Netanyahu turut mengulangi tawaran lama bahawa pejuang Hamas boleh meninggalkan Gaza jika semua tebusan dibebaskan dan perang dihentikan.

Namun beliau tidak berganjak daripada matlamat “menamatkan ancaman Hamas sepenuhnya”.

Sayap tentera Hamas, Briged Al-Qassam, mendakwa telah kehilangan hubungan dengan dua tebusan akibat pertempuran sengit di Bandar Gaza.

Mereka meminta tentera Israel berundur dan menghentikan serangan udara selama 24 jam bagi menyelamatkan tebusan yang terperangkap.

Tentera Israel bagaimanapun tidak memberi jaminan, malah mengarahkan penduduk kawasan Sabra dan Tel Al-Hawa supaya berpindah kerana operasi ketenteraan akan diteruskan.

Kereta kebal Israel dilaporkan mara lebih dalam ke kawasan barat dan tengah bandar, menyebabkan ramai penduduk terperangkap.

Tekanan terhadap Encik Netanyahu semakin kuat, bukan sahaja daripada masyarakat antarabangsa malah dalam negara.

Puluhan ribu rakyat Israel turun ke jalan raya menuntut gencatan senjata dan pembebasan tebusan.

“Satu-satunya cara menyelamatkan nyawa ialah perjanjian menyeluruh yang menamatkan perang dan membawa pulang semua tebusan,” kata Cik Lishay Miran-Lavi, isteri salah seorang tebusan, sambil merayu Encik Trump menggunakan pengaruhnya.

Kedudukan Israel semakin terasing apabila beberapa sekutu Barat seperti Britain, Perancis, Canada dan Australia mengiktiraf Negara Palestin.

Kesatuan Eropah juga sedang menimbangkan sekatan ekonomi serta boikot budaya dan sukan terhadap Israel.

Penganalisis politik Israel-Amerika, Profesor Eytan Gilboa, dari Universiti Bar-Ilan, menyatakan Encik Netanyahu kini berada dalam keadaan tersepit.

“Beliau hampir tiada pilihan selain menerima rancangan Encik Trump kerana Amerika kini satu-satunya sekutu kuat yang masih berdiri bersamanya,” jelas Profesor Gilboa.

Bagaimanapun, pelan damai itu berdepan tentangan dalaman pemerintah Israel.

Antara perkara paling sensitif ialah cadangan mengembalikan sebahagian pentadbiran Gaza kepada Penguasa Palestin (PA) di Ramallah, yang dianggap ‘garisan merah’ oleh sekutu kanan Encik Netanyahu.

Encik Trump mahu PA melaksanakan pembaharuan besar-besaran, namun proses itu mungkin mengambil masa bertahun-tahun.

Walaupun Encik Trump sebelum ini tekal menyokong Israel, laporan terkini menunjukkan beliau mula menunjukkan tanda tidak sabar, terutama selepas Israel menyerang ibu pejabat kepimpinan politik Hamas di Doha, Qatar awal September – tindakan yang mengakibatkan rundingan gencatan senjata tergendala.

Dalam ucapan di Perhimpunan Agung PBB pada 26 September, Encik Netanyahu, tetap bertegas bahawa Israel “mesti menyelesaikan misi” menentang Hamas, sambil menegaskan 48 tebusan masih ditahan di Gaza dengan sekitar 20 daripadanya dipercayai masih hidup. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg