DOHA: Percanggahan pendapat mengenai kehadiran tentera Israel pada masa depan di Gaza dan pembebasan tahanan Palestin menghambat perjanjian gencatan senjata dan tebusan.
Demikian menurut 10 sumber yang biasa dengan pusingan rundingan yang dikendalikan pengantara Amerika Syarikat yang berakhir minggu lalu.
Sumber itu, termasuk dua pegawai Hamas dan tiga diplomat Barat, memberitahu Reuters perselisihan itu berpunca daripada tuntutan baru Israel selepas Hamas menerima versi satu saranan gencatan senjata yang diumumkan Presiden Joe Biden pada Mei.
Semua sumber berkata Hamas amat mengambil berat tentang permintaan terkini Israel untuk mengekalkan tenteranya di sepanjang Koridor Netzarim.
Ia adalah sebuah kawasan di jalur timur, yang akan menghalang pergerakan bebas antara utara dan selatan Gaza, serta sebuah jalur sempit di sempadan antara Gaza dan Mesir, yang dikenali sebagai Koridor Philadelphi.
Penguasaan Israel di Koridor Philadelphi membolehkannya mengawal sempadan Gaza dengan Mesir, satu-satunya lintasan enklaf yang tidak bersempadan dengan Israel.
Hamas melihat Israel telah menukar syarat dan parameternya pada “saat-saat akhir,” dan bimbang sebarang konsesi yang diberinya akan mendatangkan lebih banyak tuntutan, kata salah seorang sumber itu, yang rapat dengan rundingan tersebut, ujar Reuters.
Pejabat media kumpulan Palestin itu tidak menjawab permintaan untuknya mengulas perkara itu. Pejabat Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, juga tidak menjawab soalan mengenai rundingan tersebut.
Dalam satu kenyataan akhbar pada 18 Ogos, Hamas berkata cadangan yang timbul daripada rundingan minggu lalu terlalu hampir dengan pendirian Encik Netanyahu, yang menetapkan syarat baru.
Ia menggesa pengantara supaya berpegang pada pelaksanaan versi Julai perjanjian rangka kerja, dan bukannya memulakan rundingan baru.
Dalam satu kenyataan sebelum rundingan minggu lalu, pejabat Encik Netanyahu menafikan membuat tuntutan baru, dan berkata pendiriannya berdasarkan cadangan sebelumnya.
Cadangan Israel yang kali pertama dibentang pada mesyuarat pengantara di Rome pada 27 Julai ialah mekanisme yang dipersetujui harus diwujudkan untuk memastikan kehadiran tentera Israel di Netzarim – walaupun ini tidak disebut secara langsung. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg