Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Biden tekankan pada Netanyahu peri perlu capai gencatan senjata Gaza

Aug 22, 2024 | 1:05 PM
Penduduk Palestin di barat Khan Younis diarah tentera Israel supaya berpindah lagi ke tempat lebih selamat di tengah-tengah pertempuran berterusan antara Israel dan Hamas di tengah Gaza pada 21 Ogos.
Penduduk Palestin di barat Khan Younis diarah tentera Israel supaya berpindah lagi ke tempat lebih selamat di tengah-tengah pertempuran berterusan antara Israel dan Hamas di tengah Gaza pada 21 Ogos. - Foto REUTERS

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat, Encik Joe Biden, pada 21 Ogos mendesak Perdana Menteri Israel, Emcik Benjamin Netanyahu, supaya memeterai perjanjian gencatan senjata di Gaza, kata Rumah Putih, tetapi Israel dan Hamas berpegang teguh pada tuntutan masing-masing.

Panggilan telefon para pemimpin itu, yang turut disertai Naib Presiden Kamala Harris, datang selepas pegawai kesihatan Palestin melaporkan sekurang-kurangnya 50 rakyat Palestin terbunuh dalam serangan udara Israel dalam tempoh 24 jam di Gaza.

Encik Biden menegaskan kepada Encik Netanyahu “peri perlu membawa mencapai perjanjian gencatan senjata dan pembebasan tebusan dan membincangkan rundingan akan datang di Kahirah untuk melenyapkan sebarang halangan yang masih ada,” kata satu kenyataan Rumah Putih.

Perunding Amerika, Israel, Mesir dan Qatar, yang dijangka bertemu lagi di Kahirah hujung minggu ini, telah berbulan-bulan bertungkus lumus untuk merapatkan jurang perbezaan antara Israel dan Hamas.

Tetapi Israel dan Hamas pada 21 Ogos tetap mengekalkan tuntutan mereka.

“Israel akan berkeras untuk mencapai semua matlamat perangnya, sebagaimana ia telah ditakrifkan oleh Kabinet Keselamatan, termasuk bahawa Gaza tidak akan menjadi ancaman keselamatan kepada Israel,” kata pejabat Encik Netanyahu dalam satu kenyataan.

Menafikan laporan televisyen Israel, ia berkata Israel tidak bersetuju untuk menggugurkan tuntutannya untuk mengekalkan tentera di Koridor Philadelphi, jalur sempadan antara Gaza dengan Mesir, yang menjadi satu isu perbalahan.

Kenyataan Hamas berkata pegawainya, dalam pertemuan dengan ketua Jihad Islam Palestin, mengulangi tuntutan utamanya – penamatan operasi Israel di Gaza, pengunduran penuh tentera Israel dan perjanjian untuk menukar tebusan Israel dengan tahanan Palestin di penjara Israel.

Panggilan telefon antara Encik Biden dan Encik Netanyahu dilakukan menyusuli lawatan Setiausaha Negara Amerika, Encik Antony Blinken, yang berakhir pada 20 Ogos tanpa menghasilkan perjanjian gencatan senjata bagi perang yang telah berlanjutan selama 10 bulan itu.

Di Gaza, tentera Israel berkata jet pejuangnya mengebom sekitar 30 sasaran dan membunuh berpuluh-puluh pejuang bersenjata Hamas dan merampas senjata, termasuk bahan letupan, bom tangan dan senapang automatik.

Tentera Israel menyerang sebuah sekolah dan rumah berdekatan Bandar Gaza, membunuh sekurang-kurangnya empat orang dan mencederakan 15 yang lain, kata Perkhidmatan Kecemasan Awam Gaza.

Tentera Israel menuduh Hamas terus beroperasi dari kemudahan dan kawasan awam, satu dakwaan yang dinafikan Hamas.

Kempen tentera Israel telah membunuh lebih 40,000 orang di Gaza sejak perang meletus pada 7 Oktober, menurut pihak berkuasa kesihatan Palestin. – Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg