Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Turkey tahan 115 anggota ISIS didakwa rancang serangan sempena Krismas

Dec 26, 2025 | 11:26 AM
krismas, istanbul, turkey, gereja roman katolik santa maria draperis
Penganut Kristian menghadiri upacara Malam Krismas di Gereja Roman Katolik Santa Maria Draperis di Istanbul, Turkey, pada 24 Disember 2025. - Foto REUTERS

ISTANBUL: Pihak berkuasa Turkey menggagalkan rancangan serangan sempena sambutan Krismas dan Tahun Baru selepas menahan lebih 100 individu yang disyaki mempunyai kaitan dengan kumpulan pengganas ISIS.

Operasi besar-besaran itu dilaksanakan menerusi serbuan serentak di ratusan lokasi di Istanbul, dalam usaha mencegah ancaman terhadap orang awam, khususnya golongan bukan Islam.

Ketua Pendakwa Raya Istanbul pada 25 Disember memaklumkan bahawa serbuan dilakukan di 124 alamat di seluruh bandar itu, dengan pihak polis merampas senjata api, peluru serta dokumen yang dipercayai berkaitan dengan aktiviti organisasi pengganas.

“Maklumat risikan menunjukkan penyokong ISIS sedang aktif merancang serangan di Turkey minggu ini, khususnya menyasarkan acara Krismas dan Tahun Baru,” menurut kenyataan pejabat pendakwa raya yang dimuat naik di platform X.

Dalam operasi tersebut, polis berjaya menahan 115 daripada 137 suspek yang dikehendaki, manakala usaha mengesan baki 22 individu masih diteruskan.

Pihak berkuasa berkata kebanyakan suspek dipercayai mempunyai hubungan langsung dengan anggota ISIS di luar Turkey.

“Suspek-suspek ini didapati berhubung dengan elemen ISIS di luar negara dan terlibat dalam perancangan serangan terhadap orang awam,” menurut kenyataan rasmi itu.

Pengumuman itu dibuat hanya dua hari selepas agensi perisikan Turkey melancarkan operasi berasingan di kawasan sempadan Afghanistan-Pakistan, yang membawa kepada penahanan seorang warga Turkey yang didakwa memegang peranan kanan dalam rangkaian ISIS di rantau berkenaan.

Individu tersebut, Mehmet Goren, kini telah dibawa pulang ke Turkey dan dituduh merancang serangan bunuh diri terhadap orang awam di Afghanistan, Pakistan, Turkey serta beberapa negara Eropah.

“Suspek dipercayai terlibat secara langsung dalam penyelarasan serangan terhadap sasaran awam di beberapa negara,” menurut sumber keselamatan Turkey.

Operasi itu menggariskan kebimbangan berterusan Ankara terhadap rangkaian ISIS yang masih aktif merentasi sempadan antarabangsa.

Turkey secara konsisten melancarkan operasi keselamatan terhadap individu dan kumpulan yang disyaki mempunyai kaitan dengan ISIS.

Negara itu berkongsi sempadan sepanjang kira-kira 900 kilometer dengan Syria, di mana kumpulan jihad masih beroperasi di beberapa wilayah, meskipun mengalami kekalahan ketenteraan besar sejak beberapa tahun lalu.

Perkembangan ini turut berlaku ketika Syria dan sekutu antarabangsanya meningkatkan tindakan terhadap baki kepimpinan ISIS.

Pihak berkuasa Syria pada 25 Disember mengumumkan pembunuhan seorang pemimpin kanan ISIS dalam satu operasi keselamatan yang diselaraskan bersama gabungan antarabangsa pimpinan Amerika Syarikat.

Kementerian Dalam Negeri Syria menyifatkan operasi itu sebagai “tepat dan berkesan”.

“Operasi ini berjaya meneutralkan pengganas Mohammad Shahada, dikenali sebagai Abu Omar Shaddad, yang dianggap antara pemimpin utama ISIS di Syria,” menurut kenyataan kementerian itu.

Ia menegaskan bahawa tindakan tersebut membuktikan keberkesanan kerjasama antara agensi keselamatan negara dan rakan antarabangsa.

Beberapa jam sebelum itu, pihak berkuasa Syria turut menahan seorang lagi pemimpin ISIS, Taha al-Zoubi atau Abu Omar Tabiya, bersama beberapa anggotanya di Damsyik.

Penahanan itu dilakukan ketika tekanan antarabangsa terhadap ISIS semakin meningkat susulan beberapa serangan maut terhadap warga asing.

Pada 13 Disember lalu, dua anggota tentera Amerika Syarikat dan seorang penterjemah awam terbunuh dalam satu serangan hendap di Palmyra, Syria. Washington menyalahkan seorang penyerang tunggal ISIS atas kejadian tersebut.

Sebagai tindak balas, Amerika melancarkan siri serangan udara ke atas puluhan sasaran ISIS di Syria, yang menurut Pemantau Hak Asasi Manusia Syria mengorbankan sekurang-kurangnya lima anggota kumpulan itu.

Dalam perkembangan berkaitan, Presiden Syria, Encik Ahmed al-Sharaa, yang mempunyai hubungan rapat dengan pmerintah Turkey, berikrar untuk bekerjasama dengan Amerika Syarikat dan Eropah bagi membanteras baki elemen ISIS.

Pada November lalu, Syria secara rasmi menyertai gabungan pimpinan Amerika Syarikat menentang ISIS, menandakan peralihan penting dalam pendekatan keselamatan serantau terhadap ancaman keganasan. – Agensi berita

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg