DAMSYIK: Sekurang-kurangnya 20 orang terbunuh dan 52 yang lain cedera apabila seorang pengebom meletupkan dirinya di Gereja Mar Elias di kejiranan Dweila di ibu negara Syria, Damsyik, pada 22 Jun, kata pihak berkuasa kesihatan dan sumber keselamatan.
Kejadian itu menandakan kes pengeboman bunuh diri pertama di Damsyik sejak rejim Presiden Bashar al-Assad digulingkan dalam pemberontakan pada Disember 2024.
Kementerian Dalam Negeri Syria berkata pengebom itu merupakan anggota kumpulan pengganas ISIS.
Penyerang memasuki gereja, melepaskan tembakan dan kemudian meledakkan jaket letupannya, tambah kementerian itu dalam satu kenyataan.
Sumber keselamatan, yang enggan dikenali, berkata dua lelaki terlibat dalam serangan itu, termasuk yang meletupkan dirinya.
ISIS berada di belakang beberapa percubaan serangan ke atas gereja di Syria sejak kejatuhan Encik Assad, tetapi ini adalah yang pertama berjaya dilaksanakan, satu lagi sumber keselamatan memberitahu agensi berita, Reuters.
Agensi berita negara Syria memetik Kementerian Kesihatan sebagai berkata 52 orang turut cedera dalam letupan itu.
Penstriman langsung dari tempat kejadian oleh pasukan pertahanan awam Syria, menunjukkan kesan kemusnahan di dalam gereja, termasuk lantai berlumuran darah dan bangku yang hancur dan batu bertaburan.
Presiden Syria, Encik Ahmed al-Sharaa, yang mengetuai serangan terhadap Encik Assad sebelum mengambil alih pucuk pimpinan pada Januari semasa fasa peralihan, telah berulang kali berkata beliau akan melindungi golongan minoriti.
Kementerian Luar Greece berkata dalam satu kenyataan berkata: “Kami dengan tegas mengutuk pengeboman bunuh diri pengganas yang menjijikkan di Gereja Ortodoks Greek Mar Elias di Damsyik, Syria.
“Kami menuntut pihak berkuasa peralihan Syria mengambil tindakan segera menahan mereka yang terlibat dan melaksanakan langkah demi menjamin keselamatan masyarakat
“Kristian dan semua kumpulan agama, membolehkan mereka hidup tanpa rasa takut,” tambah kenyataan itu.
Kumpulan ISIS sebelum ini menyasarkan minoriti agama, termasuk serangan besar ke atas jemaah Syiah di Sayeda Zainab pada 2016 – salah satu pengeboman dalam zaman pemerintahan Encik Assad. – Reuters.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg