Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Tylenol (paracetamol) jadi perhatian: Selamatkah untuk ibu hamil dan kaitannya dengan autisme?

Sep 23, 2025 | 4:38 PM
Dalam ilustrasi foto ini, bungkusan dan tablet Tylenol dipamerkan di Los Angeles, California, pada 22 September 2025. Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, pada tarikh sama menggesa wanita hamil supaya tidak mengambil Tylenol berikutan dakwaan kaitan dengan autisme yang belum terbukti, sambil turut menggesa perubahan besar terhadap vaksin standard yang diberikan kepada bayi. Pengumuman itu dibuat ketika Rumah Putih berjanji untuk merevolusikan sektor kesihatan di Amerika Syarikat, meskipun pakar perubatan dan saintis menyuarakan kebimbangan meluas.
Dalam ilustrasi foto ini, bungkusan dan tablet Tylenol dipamerkan di Los Angeles, California, pada 22 September 2025. Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, pada tarikh sama menggesa wanita hamil supaya tidak mengambil Tylenol berikutan dakwaan kaitan dengan autisme yang belum terbukti, sambil turut menggesa perubahan besar terhadap vaksin standard yang diberikan kepada bayi. Pengumuman itu dibuat ketika Rumah Putih berjanji untuk merevolusikan sektor kesihatan di Amerika Syarikat, meskipun pakar perubatan dan saintis menyuarakan kebimbangan meluas. - Foto AFP

WASHINGTON: Pentadbiran Presiden Donald Trump dijangka membuat pengumuman pada Isnin mengenai penyelidikan berhubung peningkatan kadar autisme di Amerika Syarikat, dengan menyentuh kaitan ubat tahan sakit dan demam Tylenol.

Tylenol, yang dijual sebagai acetaminophen di Amerika dan dikenali sebagai paracetamol di United Kingdom, telah lama digunakan secara meluas. Namun, beberapa kajian cuba mengaitkan penggunaannya dengan risiko autisme, terutama apabila diambil semasa kehamilan.

Setakat ini, tiada bukti kukuh menunjukkan ubat ini menyebabkan autisme. Beberapa penyelidikan terkini menunjukkan keputusan bercampur-campur.

Satu kajian besar pada 2024 melibatkan hampir 2.5 juta kanak-kanak di Sweden mendapati tiada kaitan kausal antara pendedahan acetaminophen ketika dalam kandungan dengan gangguan neuro-perkembangan seperti autisme atau Gangguan Hiperaktif Kurang Tumpuan (ADHD).

Namun, satu ulasan sistematik pada 2025 ke atas 46 kajian terdahulu mencadangkan terdapat potensi kaitan. Penyelidik dari Sekolah Perubatan Icahn di Mount Sinai; Universiti Harvard dan institusi lain menegaskan hasil itu tidak membuktikan acetaminophen sebagai punca. Mereka mengesyorkan wanita hamil tetap boleh menggunakan ubat ini “pada dos terendah dan untuk tempoh yang sesingkat mungkin.”

Kajian dari Eropah dan Jepun pada tahun sama pula menunjukkan bahawa hubungan kecil yang dilihat antara penggunaan acetaminophen dengan gangguan neuro-perkembangan mungkin sebenarnya berpunca daripada faktor lain seperti persekitaran, kesihatan ibu bapa, genetik, ubat-ubatan lain yang diambil ibu, atau penyakit semasa kehamilan.

Badan perubatan utama, termasuk Kolej Obstetrik dan Ginekologi Amerika (ACOG) dan Kolej Diraja Obstetrik dan Ginekologi (UK) masih menyenaraikan acetaminophen/paracetamol sebagai ubat pilihan pertama untuk mengawal sakit dan demam ketika hamil.

Sebaliknya, ubat anti-radang bukan steroid (NSAIDs) seperti ibuprofen dan naproxen boleh meningkatkan risiko kecacatan kelahiran jika diambil pada trimester ketiga.
“Wanita hamil perlu berbincang dengan doktor sebelum mengambil sebarang ubat,” menurut nasihat rasmi ACOG.

Pakar memberi amaran bahawa demam dan kesakitan yang tidak dirawat ketika hamil boleh membawa risiko besar kepada bayi, termasuk kecacatan jantung, masalah pada dinding abdomen dan kecacatan tiub saraf yang menjejaskan otak dan saraf tunjang.

Selain itu, ia turut dikaitkan dengan kelahiran pramatang, berat badan rendah dan keguguran.
Bagi ibu, demam yang tidak dirawat boleh menyebabkan tekanan darah tinggi, dehidrasi, kemurungan, keresahan dan komplikasi kesihatan lain.

Di Amerika, dakwaan kaitan Tylenol dengan autisme menjadi asas ratusan saman oleh ibu bapa dan aktivis terhadap pengeluar serta peruncit, termasuk syarikat Kenvue. Mereka menuduh syarikat gagal memberi amaran bahawa produk berkenaan boleh menyebabkan ADHD atau autisme.

Namun, pada Disember 2023, seorang hakim persekutuan menolak keterangan pakar dalam kes tersebut selepas mendapati tiada asas saintifik kukuh. Pada Ogos 2024, semua kes di mahkamah persekutuan akhirnya digugurkan. Mahkamah rayuan dijangka mendengar hujah berhubung keputusan itu bulan Oktober depan.

Organisasi kesihatan menegaskan bahawa perbincangan saintifik perlu berasaskan bukti. “Walaupun ada kajian menunjukkan potensi kaitan, ia tidak membuktikan sebab-akibat. Penting untuk ibu hamil terus merujuk kepada garis panduan perubatan rasmi,” kata seorang pakar kesihatan ibu dan anak dari Harvard.

Badan pemantau hak asasi manusia Human Rights Watch turut menekankan bahawa isu kesihatan awam tidak wajar dipolitikkan. “Fokus perlu diberi kepada keselamatan pesakit dan akses maklumat tepat, bukan pada sensasi atau tuntutan undang-undang semata-mata,” kata penyelidiknya. - Agensi berita

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg