Kesihatan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kaum hawa lebih berisiko hidap aneurisme otak

Aug 19, 2024 | 5:30 AM
Dr Teo Kejia, Konsultan Kanan, Pembedahan Saraf Jitu, Pusat Perubatan Mount Elizabeth.
Dr Teo Kejia, Konsultan Kanan, Pembedahan Saraf Jitu, Pusat Perubatan Mount Elizabeth. -  Foto ihsan DR TEO KE JIA

Apakah aneurisme otak dan bagaimana ia berkembang?

Aneurisme otak (brain aneurysm), juga dikenali sebagai aneurisme serebrum. Ia berkembang apabila terdapat saluran darah yang lemah atau nipis di otak yang membonjol atau menggelembung keluar.

Titik lemah yang membonjol itu boleh menjadi semakin nipis dari masa ke masa.

Benjolan tersebut boleh menekan saraf atau tisu otak di sekitarnya.

Jika aneurisme otak pecah, darah akan ‘membanjiri’ otak di kawasan tersebut dan ia juga dikenali sebagai strok pendarahan.

Sesetengah aneurisme serebrum, terutamanya yang sangat kecil, tidak menyebabkan pendarahan atau masalah lain.

Aneurisme serebrum boleh berlaku di mana-mana bahagian otak, tetapi kebanyakannya terbentuk di arteri utama di sepanjang dasar tengkorak.

Semua aneurisme serebrum mempunyai potensi untuk pecah dan menyebabkan pendarahan di dalam otak atau kawasan sekitarnya.

Apakah kadar kes aneurisme otak di Singapura?

Dianggarkan bahawa kira-kira 120 orang mengalami aneurisme yang pecah di Singapura setiap tahun.

Berdasarkan pengalaman saya, peningkatan kejadian dalam kalangan golongan muda di Singapura mungkin disebabkan oleh kesedaran yang semakin tinggi terhadap kesihatan dan ketekunan dalam menjalani ujian saringan kesihatan, yang membolehkan masalah ini dikesan lebih awal.

Peningkatan perlindungan insurans juga telah menyumbang kepada lebih ramai orang mempunyai akses dan menjalani angiografi magnetik resonans (MRA), yang lebih sensitif dalam mengesan aneurisme kecil.

Beberapa aneurisme otak dalam kalangan golongan muda adalah penemuan secara kebetulan, yang bermaksud bahawa aneurisme tersebut ditemui melalui imbasan yang dilakukan untuk gejala atau sebab lain.

Apakah faktor risiko pembentukan aneurisme otak?

Aneurisme otak lebih kerap didiagnosis dalam kalangan wanita berbanding lelaki, disebabkan oleh beberapa faktor:

Tekanan darah tinggi: Tekanan darah tinggi meningkatkan risiko pembentukan aneurisme kerana ia memberi tekanan tambahan pada dinding saluran darah.

Kecenderungan genetik: Individu yang mempunyai sejarah keluarga dengan aneurisme otak atau keadaan vaskular lain mempunyai risiko lebih tinggi. Faktor genetik yang mempengaruhi struktur dan keutuhan saluran darah boleh diwarisi, meningkatkan kerentanan. Beberapa keadaan baka tertentu, seperti penyakit buah pinggang polisistik, lebih lazim dalam kalangan wanita dan dikaitkan dengan peningkatan risiko aneurisme otak.

Gaya hidup: Merokok adalah faktor risiko yang signifikan untuk aneurisme otak, dan penyelidikan menunjukkan bahawa wanita yang merokok berisiko lebih tinggi berbanding lelaki yang merokok. Merokok merosakkan dinding saluran darah dan meningkatkan kemungkinan pembentukan aneurisme.

Perbezaan hormon: Estrogen dipercayai memainkan peranan pelindung dalam mengekalkan keutuhan dinding saluran darah. Selepas putus haid, wanita mengalami penurunan yang ketara dalam paras estrogen, dan ini disyaki melemahkan saluran darah serta meningkatkan risiko aneurisme.

Lebih berusia: Orang dewasa yang berusia antara 30 dengan 60 tahun lebih cenderung membentuk aneurisme.

Penggunaan alkohol: Pengambilan yang berlebihan juga boleh meningkatkan tekanan darah.

Bagaimana gaya hidup menyumbang risiko dalam kalangan wanita?

Faktor-faktor berikut antara punca:

Perbezaan anatomi saluran darah serebrum: Wanita mempunyai perbezaan dalam diameter dan keanjalan dinding saluran darah berbanding lelaki. Perbezaan ini boleh menjejas daya tahan pembuluh darah terhadap perubahan tekanan dan tekanan hemodinamik, yang berpotensi menjadikan ia lebih mudah terdedah kepada aneurisme.

Perubahan hormon: Estrogen diketahui membantu mengekalkan keutuhan dinding saluran darah. Semasa tahun-tahun reproduktif, paras estrogen yang lebih tinggi memberikan perlindungan terhadap pembentukan aneurisme. Penurunan paras estrogen selepas putus haid dipercayai menyumbang kepada peningkatan risiko pembentukan aneurisme dalam kalangan wanita lebih berusia.

Perubahan berkaitan kehamilan: Semasa hamil, tubuh mengalami perubahan ketara, termasuk peningkatan jumlah darah dan output jantung. Perubahan ini boleh memberi tekanan tambahan pada saluran darah, terutamanya pada trimester ketiga, yang berpotensi menyumbang kepada pembentukan aneurisme.

Faktor gaya hidup: Faktor seperti merokok, alkohol, kurang bersenam, dan diet yang tidak sihat boleh meningkatkan risiko aneurisme otak dalam kalangan wanita.

Bagaimana aneurisme otak didiagnosis?

Mengesan dan mendiagnosis aneurisme otak melibatkan gabungan penilaian klinikal, teknik pengimejan, dan prosedur invasif jika diperlukan. Kaedah utama yang digunakan termasuk:

Penilaian Klinikal

Sejarah perubatan dan gejala pesakit: Doktor akan meneliti sejarah perubatan dan gejala pesakit.

Gejala aneurisme yang pecah mungkin termasuk sakit kepala yang menyerang secara tiba-tiba dan teruk, rasa loya, muntah, leher kaku, penglihatan kabur, sensitif terhadap cahaya, dan tidak sedar diri.

Aneurisme yang belum pecah mungkin ditemui secara kebetulan atau boleh menyebabkan gejala seperti sakit kepala, masalah penglihatan, atau sakit mata.

Teknik Pengimejan

Imbasan CT (Tomografi Berkomputer): Imbasan CT sering menjadi ujian pertama yang dilakukan jika disyaki aneurisme otak yang pecah. Ia boleh menunjukkan dengan cepat pendarahan di dalam otak (pendarahan subaraknoid atau pendarahan intrakranium) yang sering disebabkan oleh aneurisme yang pecah.

Angiografi CT (CTA): CTA melibatkan suntikan pewarna kontras ke dalam aliran darah untuk memetakan rangkaian saluran darah di otak. Ia boleh mengesan aneurisme dan memberikan imej terperinci mengenai saiz dan bentuknya.

Angiografi Resonans Magnetik (MRA) adalah serupa dengan CTA tetapi ia menggunakan teknologi pengimejan resonans magnetik (MRI) untuk memetakan rangkaian saluran darah. Ia berguna untuk mengesan aneurisme yang pecah, tidak pecah, serta aneurisme kecil.

Angiografi Serebrum (DSA) dianggap sebagai standard emas untuk mengesan aneurisme. Ia melibatkan penyisipan kateter ke dalam arteri (biasanya di pangkal paha) dan mengarahkannya ke otak. Pewarna kontras kemudian disuntik, dan imej X-ray diambil untuk memetakan rangkaian saluran darah dengan terperinci. Ujian ini lebih invasif tetapi memberikan maklumat paling tepat mengenai lokasi, saiz, dan bentuk aneurisme.

Pesakit yang didiagnosis dengan aneurisme yang tidak pecah mungkin disyorkan agar menjalani imbasan susulan secara kerap untuk memantau perubahan saiz atau bentuk aneurisme.

Diagnosis aneurisme otak boleh berlaku sama ada pada peringkat awal atau lanjutan, dan ini bergantung kepada beberapa faktor.

Pada peringkat awal, aneurisme otak sering ditemui secara kebetulan semasa ujian imbasan yang dilakukan atas sebab-sebab lain, seperti sakit kepala, kecederaan kepala, atau gejala neurologi lain.

Banyak aneurisme otak tidak menyebabkan gejala sehinggalah ia pecah, atau tumbuh besar sehingga menekan pada struktur sekeliling.

Diagnosis pada peringkat lanjut sering disebabkan oleh bermulanya gejala seperti sakit kepala yang berlaku secara tiba-tiba dan teruk atau masalah penglihatan.

Gejala itu sering mendorong penilaian perubatan dan diagnosis seterusnya.

Sebilangan besar aneurisme hanya didiagnosis selepas ia pecah, menyebabkan pendarahan subaraknoid.

Gejala aneurisme yang pecah secara tiba-tiba dan teruk, termasuk sakit kepala secara tiba-tiba dan amat teruk (“sering dikenali sebagai sakit kepala terburuk dalam hidup saya”), rasa mual, muntah, dan tidak sedar diri.

Penggunaan rutin MRI atau imbasan CT boleh mendedahkan aneurisme yang mungkin tidak disedari.

Individu dengan sejarah keluarga aneurisme otak atau keadaan genetik yang menyebabkan mereka lebih cenderung mengalami aneurisme (contohnya, penyakit ginjal polisistik) mungkin menjalani saringan berkala, yang boleh membawa kepada pengesanan awal.

Mereka yang mempunyai keadaan genetik yang diketahui dikaitkan dengan aneurisme mungkin dipantau dengan lebih teliti, juga menyebabkan diagnosis awal.

Tidak semua aneurisme otak memerlukan rawatan. Aneurisme yang dianggap berisiko tinggi dinilai menggunakan parameter berikut:

Saiz: Aneurisme yang lebih besar daripada tujuh milimeter lebih cenderung untuk pecah.

Lokasi: Aneurisme di bahagian belakang otak (peredaran posterior) mempunyai risiko lebih tinggi.

Bentuk: Aneurisme yang berbentuk tidak teratur lebih cenderung untuk pecah.

Pertumbuhan: Aneurisme yang menunjukkan pertumbuhan dalam kajian pengimejan bersiri menimbulkan kebimbangan.

Sejarah perubatan: Individu dengan sejarah peribadi aneurisme yang pecah atau sejarah keluarga yang mempunyai risiko yang lebih tinggi.

Matlamat utama rawatan adalah untuk menghalang aliran darah ke dalam aneurisme, dengan itu meminimumkan kemungkinan pecah yang boleh mempunyai implikasi lebih serius.

Terdapat dua pendekatan utama untuk menghalangnya:

Pembedahan: Prosedur apabila seorang pakar bedah saraf membuat bukaan kecil di tengkorak dan meletakkan klip di dasar aneurisme, menyekatnya secara kekal daripada aliran darah.

Ini adalah kaedah yang paling bertahan lama dengan risiko berulang yang rendah.

Biasanya, pesakit tinggal di hospital selama beberapa hari dan dapat meneruskan kegiatan seperti biasa dalam masa sebulan (untuk kes elektif). Dalam aneurisme yang berisiko tinggi, pembedahan adalah pilihan yang lebih disukai.

Rawatan Endovaskular: Teknik invasif minimum ini melibatkan kateter dimasukkan melalui pangkal paha.

Pelbagai bentuk rawatan endovaskular termasuk lingkaran, sten dan alat pengalihan aliran. Alat-alat ini menghalang darah daripada mengalir ke dalam aneurisme.

Terdapat banyak nuansa yang perlu dipertimbangkan oleh doktor sebelum memutuskan sama ada pesakit harus menjalani pembedahan atau rawatan endovaskular, seperti ciri-ciri aneurisme dan keadaan perubatan pesakit.

Apakah langkah kurangkan risiko?

Walaupun aneurisme otak biasanya tidak dapat dicegah, wanita boleh menguruskan faktor risiko dan mengamalkan tahap kesihatan vaskular keseluruhan dengan cara berikut bagi mengurangkan risiko mereka menghidapinya:

Berhenti merokok: Berhenti merokok adalah cara lain untuk mengurangkan risiko aneurisme, kerana asap rokok boleh mempengaruhi kesihatan saluran darah. Mengurangkan pendedahan pada asap rokok sekunder juga membantu.

Urus tekanan darah tinggi: Pemantauan dan pengurusan tekanan darah secara kerap melalui perubahan gaya hidup dan ubat-ubatan, seperti mengamalkan diet rendah garam dan kaya dengan buah-buahan, sayur-sayuran, dan bijirin penuh, boleh membantu mengekalkan paras tekanan darah yang sihat.

Kurangkan pengambilan alkohol: Pengambilan alkohol yang berlebihan boleh meningkatkan tekanan darah dan melemahkan dinding saluran darah.

Kerap bersenam: Melakukan kegiatan fizikal secara teratur seperti berjalan pantas, berenang, atau berbasikal boleh membantu meningkatkan kesihatan kardiovaskular dan mengekalkan tekanan darah yang sihat.

Jaga berat badan yang sihat: Diet yang seimbang dan senaman secara kerap boleh membantu mengurangkan tekanan pada sistem kardiovaskular.

Kaunseling genetik: Bagi individu yang mempunyai sejarah keluarga dengan penyakit ini, kaunseling genetik boleh membantu menilai faktor risiko, memberikan nasihat tentang pemeriksaan dan membimbing bagi mengambil langkah pencegahan.

Penulis Konsultan Kanan, Pembedahan Saraf Jitu, Pusat Perubatan Mount Elizabeth.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg