ABU DHABI: Bank pusat Amiriah Arab Bersatu (UAE) akan menjalankan pemeriksaan khas dan segera terhadap Banque Misr selepas Amerika Syarikat mendakwa cawangan bank Mesir itu di UAE membantu Iran mengelakkan sekatan ekonomi.

Langkah itu menjadi perkembangan terbaru dalam usaha pemerintahan Presiden Donald Trump meningkatkan tekanan kewangan terhadap Teheran, selepas Washington mengumumkan akan beralih daripada serangan ketenteraan berskala besar kepada kempen untuk mengasingkan ekonomi Iran.

Jabatan Perbendaharaan Amerika mendakwa Banque Misr, bank milik pemerintah Mesir dan bank kedua terbesar negara itu, memainkan peranan penting dalam membolehkan Iran mendapatkan akses kepada dolar AS.

Menurut jabatan itu, antara Januari 2024 dengan Jun 2026, cawangan Banque Misr di UAE memproses transaksi bernilai kira-kira AS$1.8 bilion (S$2.29 bilion) yang berpotensi mempunyai kaitan dengan rangkaian perbankan rahsia Iran.

Rangkaian itu didakwa digunakan Teheran untuk mengelakkan sekatan AS.

Jabatan Perbendaharaan turut mendakwa Banque Misr memudahkan transaksi bagi beberapa syarikat yang berpangkalan di UAE tetapi dipercayai bertindak sebagai syarikat hadapan.

Sebahagian daripada syarikat itu didakwa terlibat dalam penyaluran wang kepada Kementerian Pertahanan Iran dan Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC).

Washington kini mencadangkan peraturan yang, jika dilaksanakan, akan menghalang cawangan Banque Misr di UAE daripada menjalankan urus niaga dengan institusi kewangan Amerika.

Langkah itu bagaimanapun tidak akan menjejas operasi Banque Misr di Mesir atau cawangannya di negara lain.

Bank Pusat UAE berkata ia sedang meneliti pilihan yang ada berhubung kedudukan Banque Misr sekiranya Washington meneruskan tindakan tersebut.

Banque Misr pula berkata ia memandang dakwaan Amerikaa dengan “amat serius” dan akan bekerjasama dengan Jabatan Perbendaharaan.

Bank itu menegaskan operasinya mematuhi semua undang-undang, peraturan dan syarat penyeliaan yang berkuat kuasa.

Perkembangan itu berlaku ketika Washington bersiap mengenakan tindakan terhadap sebuah lagi bank pada 30 Ogos ebagai sebahagian daripada kempen untuk meningkatkan tekanan terhadap Teheran.

Setiausaha Perbendaharaan Amerika, Encik Scott Bessent, berkata Washington bersedia mengambil langkah kewangan lebih keras jika Iran dan pihak yang membantu Tehran mengelakkan sekatan tidak mengubah tindakan mereka.

“Ini akan menjadi keganasan kewangan jika itu yang perlu kami lakukan,” katanya kepada Associated Press (AP).

“Kami menunjukkan kepada mereka bahawa kami tahu siapa anda, anda tahu siapa anda, dan perkara ini mesti dihentikan.”

Encik Bessent dijadual menghadiri mesyuarat Kumpulan 20 (G20) di Asheville, North Carolina, dan akan mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatannya dari beberapa ekonomi utama dunia bagi mendapatkan kerjasama dalam meningkatkan tekanan terhadap Iran.

China dijangka menjadi antara tumpuan utama kerana ia merupakan rakan dagang terbesar Iran dan pembeli utama minyak negara itu.

Encik Bessent berkata beliau akan membincangkan perkara tersebut dengan pegawai China dan menegaskan “semua pilihan masih terbuka”, termasuk kemungkinan tindakan sekatan berkaitan pembelian minyak Iran.

Beliau bagaimanapun berkata Washington dan Beijing mempunyai kepentingan bersama dalam memastikan Selat Hormuz dibuka semula serta menghalang Iran daripada membangunkan senjata nuklear.

Kempen tekanan ekonomi terbaru Amerika dimulakan secara rasmi pada 28 Ogos apabila Jabatan Perbendaharaan mencadangkan tindakan terhadap cawangan Banque Misr di UAE.

Washington turut mengenakan sekatan terhadap pengurus sebuah cawangan Bank Melli, bank terbesar Iran, di UAE serta sebuah syarikat yang berpangkalan di Hong Kong yang didakwa membantu memindahkan dana bagi sebuah pusat pertukaran wang Iran yang dikenakan sekatan.

UAE mendapat perhatian khusus kerana kedudukannya hanya sekitar 80 kilometer dari Iran merentasi Teluk Parsi dan mempunyai hubungan perdagangan serta masyarakat yang telah lama terjalin dengan negara itu.

Dubai khususnya sejak sekian lama menjadi pusat penting bagi perdagangan Iran dengan dunia luar.

Pihak berkuasa Amerika sebelum ini berulang kali menyuarakan kebimbangan bahawa rangkaian perdagangan dan kewangan di UAE boleh digunakan oleh syarikat Iran untuk mengelakkan sekatan.

UAE menegaskan ia mengambil tindakan terhadap sebarang pelanggaran sekatan yang dikesan.

Awal bulan Ogos ini, kerajaan UAE mengumumkan penghentian semua perdagangan dan transaksi kewangan dengan Iran, sehari sebelum pemerintahan Trump mengumumkan kempen tekanan ekonomi terbarunya terhadap Tehran.

Tindakan ekonomi itu berlaku ketika perang Amerika-Iran memasuki bulan keenam.

Walaupun Washington sejak beberapa minggu lalu memberi keutamaan kepada tekanan ekonomi berbanding serangan ketenteraan, ketegangan kembali meningkat pada 30 Ogos apabila tentera Amerika menyerang dua pelancar Iran di Pulau Larak, Selat Hormuz.

Serangan itu, yang pertama dilakukan Amerika terhadap Iran dalam tempoh sebulan, disusuli tindakan balas Tehran terhadap sasaran tentera Amerika di Jordan.

Perkembangan terbaru menunjukkan Washington kini menggunakan tekanan kewangan dan tindakan ketenteraan secara terbatas untuk menekan Teheran, ketika usaha diplomatik bagi mencapai penyelesaian berkekalan masih belum membuahkan hasil. - Agensi berita