Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Ujian awal kepimpinan Gibran sebagai naib presiden

Gibran ambil alih tugas negara sementara Prabowo lawat Amerika, China, United Kingdom, Sidang Apec temu pemimpin antarabangsa
Nov 11, 2024 | 5:30 AM
Gambar yang diambil dan dikeluarkan oleh Istana Presiden Indonesia pada 25 Oktober menunjukkan Naib Presiden,Encik Gibran Rakabuming Raka (tengah), diapit oleh para menteri di akademi tentera semasa rahat Kabinet di Magelang, Jawa Tengah, Indonesia.
Gambar yang diambil dan dikeluarkan oleh Istana Presiden Indonesia pada 25 Oktober menunjukkan Naib Presiden,Encik Gibran Rakabuming Raka (tengah), diapit oleh para menteri di akademi tentera semasa rahat Kabinet di Magelang, Jawa Tengah, Indonesia. - Foto AFP

JAKARTA: Berita bahawa Naib Presiden Indonesia, Encik Gibran Rakabuming Raka, bakal memikul tanggungjawab pemerintahan sementara Presiden Prabowo Subianto memulakan lawatan luar negara selama dua minggu pasti menarik perhatian ramai.

Lawatan itu, yang bermula pada 8 November, melibatkan beberapa negara utama termasuk China, Amerika Syarikat dan United Kingdom.

Pengumuman rasmi mengenai tugas Encik Gibran itu disahkan oleh Setiausaha Negara, Encik Prasetyo Hadi, yang menyatakan bahawa satu dekri dikeluarkan untuk melaksanakan pelantikan tersebut.

Lawatan dua minggu Encik Prabowo ke luar negara mencerminkan komitmennya untuk memperkukuh hubungan diplomatik dan ekonomi Indonesia di peringkat antarabangsa.

Bermula dengan pertemuan dengan Presiden Xi Jinping dan Perdana Menteri Li Qiang di China, ia akan diikuti dengan pertemuan bersama Presiden Joe Biden di Amerika.

Beliau juga dijadual ke Peru untuk menandatangani perjanjian pengecualian visa dan menghadiri Sidang Puncak Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (Apec).

Lawatan itu menunjukkan betapa pentingnya hubungan antarabangsa dalam era kepimpinan Encik Prabowo

Amanah Kepimpinan di Bahu Gibran

Sebagai pemimpin muda berusia 37 tahun, Encik Gibran menghadapi cabaran besar untuk membuktikan dirinya dalam arena politik negara.

Walaupun beliau baru sahaja menyertai Kabinet sebagai naib presiden, langkah awal yang diambilnya, seperti lawatan mengejut bagi memantau pelaksanaan program pemerintah, menyerupai gaya kepimpinan bapanya, mantan presiden, Encik Joko ‘Jokowi’ Widodo.

Langkah itu bukan sahaja menunjukkan kesungguhannya dalam menjalankan tugas, malah membantu mengukuhkan imejnya di mata rakyat.

Sepanjang minggu pertamanya di pejabat selepas pelantikannya pada 20 Oktober, Encik Gibran dilihat giat mengadakan pertemuan dengan menteri serta timbalan menteri bagi membincangkan keutamaan program Kabinet dalam tempoh 100 hari pertama pemerintahan Encik Prabowo.

Antara menteri yang ditemuinya ialah Menteri Komunikasi dan Digital, Cik Meutya Hafid, serta Menteri Pembangunan Penduduk dan Keluarga, Encik Wihaji.

Persepsi Peranan Naib Presiden

Sejarah politik Indonesia menunjukkan kedudukan naib presiden sering dianggap sebagai ‘tayar ganti’, satu istilah yang merujuk kepada peranan mereka yang kebanyakannya bersifat simbolik dan jarang mendapat perhatian utama.

Namun, terdapat beberapa pengecualian apabila naib presiden diberi mandat mengurus sektor tertentu seperti yang dilakukan oleh Encik Ma’ruf Amin dan Encik Boediono dalam pentadbiran sebelum ini.

Persoalan penganalisis kini, adakah Encik Gibran akan diberi ruang yang cukup untuk menyerlahkan kebolehannya atau sekadar menjadi penyokong dari belakang?

Penganalisis politik dari Universiti Al Azhar Indonesia, Dr Ujang Komarudin, menyatakan bahawa meskipun Encik Gibran menduduki kerusi naib presiden, peranan strategiknya masih bergantung kepada kepercayaan dan keputusan Encik Prabowo.

“Gibran pada dasarnya adalah wakil Jokowi dalam pemerintah ini. Oleh itu, Jokowi masih menjadi tokoh utama dalam sebarang keputusan strategik,” katanya.

Sumber pemerintah mendedahkan bahawa terdapat pembahagian tugas yang jelas antara Encik Prabowo dengan Encik Gibran dalam menguruskan hal ehwal negara.

Encik Prabowo akan memberi tumpuan pada sektor utama seperti pertahanan, ekonomi, dan hubungan luar negara, manakala Encik Gibran akan menguruskan isu berkaitan ekonomi kreatif dan pembangunan prasarana, termasuk projek pembangunan Ibu Kota Nusantara (IKN) yang baru.

Tidak dapat dinafikan bahawa penglibatan Encik Gibran dalam politik peringkat tinggi ini membuka ruang kepada kemungkinan beliau mencalonkan diri sebagai presiden dalam pilihan raya 2029.

Langkah itu mungkin sebahagian daripada usaha Encik Jokowi untuk membina dinasti politiknya sendiri.

Namun, seberapa jauh Encik Gibran mampu bergerak dalam tempoh lima tahun ini bergantung kepada hubungan dinamiknya dengan Encik Prabowo.

Walaupun terdapat spekulasi mengenai keretakan hubungan mereka berikutan kontroversi akaun media sosial yang mengaitkan Encik Gibran, penampilan Encik Prabowo yang tenang menghadapi isu tersebut menunjukkan profesionalismenya sebagai pemimpin.

Kepentingan Sokongan dan Pengaruh Jokowi

Pengaruh Encik Jokowi dalam pentadbiran ini tidak dapat dinafikan.

Dengan menguasai parti Golkar dengan menempatkan sekutunya, Encik Bahlil Lahadalia, Encik Jokowi kekal relevan dalam percaturan politik walaupun tidak lagi memegang jawatan presiden.

Walaupun Encik Prabowo dilihat mempunyai sokongan politik yang kukuh, sokongan Encik Jokowi pastinya memberi kelebihan tambahan dalam menstabilkan pentadbiran baru itu.

Walaupun kedudukan naib presiden secara tradisinya kurang menonjol, sejarah telah menunjukkan bahawa jawatan itu mampu menjadi batu loncatan ke kerusi presiden, seperti yang berlaku kepada Encik BJ Habibie dan Cik Megawati Sukarnoputri.

Dengan usia Encik Prabowo yang kini 73 tahun, ada yang mempersoalkan kemampuannya menghadapi tekanan jawatan tersebut dalam tempoh lima tahun mendatang.

Namun, penampilannya yang kelihatan tenang semasa pelantikan menunjukkan bahawa beliau bersedia memikul tanggungjawab besar itu.

Peluang itu adalah masa yang berharga bagi Encik Gibran untuk mengasah kemahiran kepimpinannya dan membina reputasi positif.

Dengan pengaruh bapanya dan peranan baru yang dipegangnya, Encik Gibran berpeluang membentuk legasi tersendiri dalam sejarah politik Indonesia.

Hanya masa yang akan menentukan sejauh mana beliau mampu melangkah. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg