Pilihan raya pertengahan penggal Amerika Syarikat pada 3 November bakal menjadi ujian penting terhadap kepimpinan Presiden Donald Trump, ketika perang dengan Iran, kenaikan harga tenaga dan tekanan kos sara hidup semakin membebankan rakyat negara itu.

Namun, kepentingan pilihan raya tersebut jauh melangkaui politik domestik Amerika.

Keputusannya berpotensi menentukan sama ada Encik Trump mempunyai kebebasan lebih besar untuk meneruskan operasi ketenteraan terhadap Iran atau berdepan tentangan Kongres yang boleh menyekat perbelanjaan perang dan meningkatkan tekanan supaya Washington kembali ke meja rundingan.

Pada masa sama, negara Timur Tengah, khususnya Israel, Iran dan negara Teluk, sedang menilai kemungkinan perubahan dasar Washington selepas pilihan raya itu.

Parti Republikan kini menguasai Dewan Perwakilan dengan 218 kerusi berbanding 214 kerusi Demokrat, selain seorang anggota bebas dan dua kekosongan.

Di Dewan Senat pula, Republikan mempunyai majoriti 53 kerusi berbanding 47 kerusi yang dipegang Demokrat dan anggota bebas yang bersama mereka.

Majoriti tipis itu bermakna perubahan beberapa kerusi sahaja boleh menentukan sama ada Encik Trump dapat terus sokongan Kongres atau terpaksa berhadapan dengan pembangkang yang mempunyai kuasa menjalankan siasatan terhadap pentadbirannya.

Enam penganalisis yang ditemu bual Berita Harian (BH) berpandangan bahawa keputusan pilihan raya itu mungkin tidak mengubah sepenuhnya dasar luar Encik Trump, tetapi boleh mempengaruhi tahap pengawasan Kongres, keberanian beliau mengambil tindakan ketenteraan dan kesan ekonomi terhadap dunia.

Tekanan ekonomi boleh hukum Trump

Penganalisis Kanan Ehwal Antarabangsa di Solaris Strategies Singapore, Dr Mustafa Izzuddin, menjangkakan Parti Republikan berdepan kemungkinan kehilangan penguasaan kedua-dua dewan Kongres berikutan kemarahan pengundi terhadap kesan perang Iran dan sokongan berterusan Washington kepada Israel.

Menurut beliau, kenaikan kos sara hidup akibat perang, ditambah rasa tidak puas hati terhadap perbelanjaan besar Amerika untuk Israel ketika rakyat sendiri menghadapi tekanan ekonomi, boleh mendorong pengundi bebas dan penyokong sederhana Republikan beralih kepada Demokrat.

Beliau turut mengaitkan perubahan sentimen itu dengan kemarahan terhadap tindakan Israel ke atas rakyat Palestin di Gaza.

“Akibat buruk perang Iran yang menjejas kehidupan harian rakyat Amerika, bersama rasa tidak puas hati terhadap wang yang terus disalurkan kepada Israel berkemungkinan menyebabkan Republikan kehilangan kedua-dua Dewan Perwakilan dan Senat,” katanya.

Dr Mustafa berpendapat usaha Encik Trump membangkitkan pertikaian mengenai isu budaya dan identiti mungkin tidak mencukupi untuk menghalang gelombang sokongan kepada Demokrat.

Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa kekalahan Republikan tidak semestinya mengubah pendekatan Encik Trump terhadap Timur Tengah kerana presiden masih mempunyai kuasa besar dalam menentukan dasar luar.

Kongres yang dikuasai Demokrat, katanya, boleh menggunakan pelbagai saluran, termasuk tekanan politik, tindakan undang-undang dan pendapat awam, untuk membendung tindakan ketenteraan presiden.

Sebaliknya, kemenangan Republikan mungkin menggalakkan Encik Trump meneruskan perang Iran, sekali gus meningkatkan risiko kemerosotan ekonomi global.

Ketua Eksekutif firma perunding geopolitik APAC, Encik Steven Okun, turut melihat ekonomi sebagai faktor utama yang boleh menentukan keputusan pilihan raya.

Beliau berkata kemampuan rakyat membeli barangan keperluan dan tekanan kewangan isi rumah kini menjadi kebimbangan utama pengundi Amerika.

Menurutnya, Moody’s menganggarkan perang Iran menambah kira-kira AS$2,000 ($2,600) kepada perbelanjaan setiap isi rumah Amerika.

Apabila kesan perang digabungkan dengan dasar tarif perdagangan Encik Trump, tekanan terhadap pentadbirannya menjadi semakin ketara.

“Perang Iran dan kesan ekonominya pasti mempengaruhi pilihan raya pertengahan penggal, walaupun sejauh mana kesannya masih belum diketahui,” katanya.

Kuasa presiden sukar disekat Kongres

Walaupun Demokrat dijangka memperoleh kelebihan di Dewan Perwakilan, beberapa penganalisis meragui kemampuan mereka menghalang Encik Trump daripada meneruskan tindakan ketenteraan.

Profesor Madya Chong Ja Ian daripada Universiti Nasional Singapura (NUS) berkata presiden Amerika mempunyai kuasa yang luas dalam penggunaan kekuatan tentera.

Menurut beliau, Kongres secara teori boleh menggunakan Akta Kuasa Perang 1973 untuk menyekat operasi ketenteraan yang tidak mendapat kelulusan sewajarnya.

Namun, langkah itu sukar dilaksanakan kerana anggota Kongres mungkin dituduh tidak menyokong anggota tentera Amerika yang sedang bertugas.

“Kongres boleh mengurangkan atau mengehadkan pembiayaan operasi ketenteraan terhadap Iran, tetapi konflik masih boleh berlarutan secara berselang-seli,” katanya.

Profesor Madya Chong menjelaskan bahawa keputusan buruk bagi Republikan juga boleh membawa dua kemungkinan yang bertentangan.

Jika pengundi memberikan mesej jelas bahawa mereka menolak perang, pentadbiran Encik Trump mungkin mengurangkan tindakan ketenteraan.

Namun, jika kekalahan Republikan berpunca daripada pelbagai isu lain, Encik Trump mungkin meningkatkan serangan terhadap Iran untuk mengalihkan perhatian rakyat daripada masalah domestik.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan Washington memperhebat tekanan ketenteraan sebelum memulakan rundingan bagi mendapatkan penyelesaian yang dianggap menguntungkan Amerika.

Zamil Kanan Geopolitik di Observer Research Foundation Middle East, Dr Clemens Chay, pula berpandangan bahawa keputusan pilihan raya tidak mungkin mengubah secara asas pendekatan Encik Trump terhadap Timur Tengah.

Menurutnya, presiden itu kini memasuki dua tahun terakhir penggal pentadbirannya dan semakin memberi tumpuan kepada legasi politiknya.

Encik Trump mungkin mahu dikenang sebagai pemimpin yang berjaya melemahkan musuh Amerika, khususnya Iran, meskipun pernah berkempen dengan janji mengelakkan peperangan baharu.

Dr Chay berkata sejarah menunjukkan presiden Amerika masih boleh meneruskan operasi ketenteraan walaupun menghadapi tentangan Kongres.

Beliau merujuk campur tangan Presiden Barack Obama di Libya pada 2011 dan peningkatan penempatan tentera oleh Presiden George W. Bush di Iraq pada 2007.

Menurutnya, Demokrat juga belum mengemukakan alternatif dasar Timur Tengah yang benar-benar jelas dan praktikal.

Keadaan itu mengehadkan keupayaan mereka mempengaruhi keputusan pentadbiran Trump.

Ancaman serangan baharu terhadap Iran

Persoalan paling mendesak selepas pilihan raya ialah sama ada Encik Trump akan mengarahkan serangan ketenteraan baharu terhadap Iran.

Dr Chay berkata pilihan raya Amerika dan pilihan raya Israel yang baru selesai telah menyebabkan kedua-dua pemerintah menangguhkan kemungkinan tindakan ketenteraan.

Menurut beliau, Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, dilaporkan mendesak serangan besar-besaran terhadap Iran sebelum pilihan raya, tetapi cadangan itu ditolak Encik Trump.

Beliau berkata Pentagon dilaporkan menyediakan rancangan serangan intensif selama tiga hari, walaupun Washington masih menyatakan bahawa penyelesaian diplomatik belum diketepikan.

“Persiapan ketenteraan itu sendiri merupakan satu bentuk tekanan,” katanya.

Penganalisis pertahanan utama dan penulis di firma perisikan pertahanan global Janes, Encik Ridzwan Rahmat, berkata tentera Amerika mempunyai keupayaan melancarkan serangan udara besar-besaran dalam tempoh singkat.

Washington sudah menempatkan kumpulan kapal pengangkut pesawat dan memperkukuh sistem pertahanan udara di Timur Tengah.

Namun, beliau memberi amaran bahawa bekalan peluru berpandu tepat dan peluru pemintas sistem Patriot semakin terhad akibat penglibatan Amerika dalam beberapa konflik.

“Amerika mampu melancarkan kempen serangan udara secara mendadak dan besar-besaran, tetapi perang berpanjangan akan menguji kemampuan logistik tenteranya sehingga ke tahap maksimum,” katanya.

Menurut Encik Ridzwan, jika serangan disambung, sasaran utama Amerika berkemungkinan bukan untuk menawan wilayah Iran, sebaliknya melumpuhkan kemampuan strategik negara itu.

Antara sasaran yang mungkin diberi keutamaan ialah kemudahan nuklear bawah tanah di Natanz dan Fordow, pusat pemerintahan tentera, kilang pengeluaran dron dan peluru berpandu serta kemudahan Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC).

Amerika juga mungkin menyerang sistem peluru berpandu antikapal Iran di sepanjang Teluk Parsi bagi menghalang Teheran daripada mengganggu laluan perkapalan.

Iran masih mampu balas serangan

Walaupun Iran mengalami kerosakan ketenteraan akibat serangan terdahulu, Encik Ridzwan menegaskan bahawa negara itu masih mempunyai kemampuan untuk bertindak balas.

Menurutnya, Iran telah membangunkan keupayaan peperangan tidak konvensional selama beberapa dekad bagi menghadapi musuh yang jauh lebih kuat.

Teheran masih memiliki ribuan peluru berpandu balistik dan dron serangan yang boleh dilancarkan secara besar-besaran.

Serangan serentak itu berpotensi membebankan sistem pertahanan udara Israel dan pangkalan tentera Amerika di Iraq, Syria serta negara Teluk.

Iran juga mungkin melancarkan serangan siber terhadap infrastruktur penting dan rangkaian kewangan Amerika.

Bagaimanapun, risiko paling besar ialah gangguan terhadap Selat Hormuz, laluan perdagangan tenaga antarabangsa yang amat penting.

Encik Ridzwan berkata Iran mungkin memasang periuk api laut atau meningkatkan serangan terhadap kapal tangki minyak sekiranya berdepan ancaman ketenteraan yang serius.

Tindakan sedemikian boleh mencetuskan lonjakan harga tenaga dan memaksa campur tangan tentera antarabangsa.

Konflik juga boleh merebak sekiranya Teheran menganggap Arab Saudi atau Amiriah Arab Bersatu (UAE) membenarkan Amerika menggunakan ruang udara atau pangkalan mereka untuk menyerang Iran.

Sementara itu, Zamil Kanan Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura, Dr Oh Ei Sun, menjangkakan Encik Trump mengambil pendekatan lebih keras terhadap Iran selepas pilihan raya.

Ini kerana beliau tidak perlu menghadapi satu lagi pilihan raya Kongres sehingga dua tahun berikutnya.

Namun, Dr Oh berpendapat tekanan ketenteraan dan ancaman politik setakat ini gagal mengubah pendirian Teheran.

“Nampaknya, baik kata-kata mahupun tindakan dalam bentuk pengeboman tidak mampu memujuk Iran supaya mengambil pendirian yang berbeza atau lebih lembut. Justeru, kebuntuan berterusan,” katanya.

Masa depan Israel dan hubungan negara Arab

Selain Iran, keputusan pilihan raya Amerika juga mempunyai implikasi terhadap Israel, Gaza dan hubungan Washington dengan negara Arab.

Dr Oh berkata masa depan hubungan Amerika-Israel masih bergantung pada pembentukan pemerintah baharu Israel selepas pilihan raya negara itu.

Menurutnya, Encik Trump mungkin lebih selesa jika Encik Netanyahu terus memimpin kerana pemimpin yang lebih berhaluan kanan boleh menimbulkan kesukaran politik kepada Washington.

Pada masa sama, beliau menjangkakan usaha membangunkan semula Gaza diteruskan dengan penglibatan beberapa negara Arab dan Teluk.

Encik Trump juga berkemungkinan meneruskan usaha memperluas Perjanjian Abraham bagi mengukuhkan hubungan Israel dengan negara Arab tanpa mengira keputusan pilihan raya Kongres.

Dr Chay pula berkata kemenangan Republikan akan memberikan lebih banyak ruang kepada Encik Trump untuk meneruskan dasar sedia ada tanpa tekanan besar supaya mengekang tindakan Israel.

Kesan ke atas Asia Tenggara, S’pura

Bagi Singapura dan Asia Tenggara, kesan pilihan raya Amerika tidak terhad kepada kenaikan harga minyak dan gas.

Profesor Madya Chong memberi amaran bahawa perang berpanjangan di Timur Tengah boleh mengurangkan keupayaan Washington mengekalkan kehadiran ketenteraan yang kukuh di Indo-Pasifik.

Sekiranya Amerika terus memindahkan aset tentera ke Timur Tengah tanpa menggantikan bekalan senjata yang digunakan, keyakinan sekutunya terhadap kemampuan Washington mempertahankan rantau Asia mungkin terjejas.

Keadaan itu berpotensi membuka peluang kepada China memperluas pengaruh ketenteraannya, khususnya di Laut China Selatan dan sekitar Taiwan.

Encik Okun pula menjangkakan gangguan bekalan tenaga dan harga tinggi berterusan selagi konflik Iran tidak menemui penyelesaian.

Beliau berkata Singapura perlu bersedia menghadapi kesan terhadap harga serta ketersediaan tenaga untuk tempoh yang belum dapat dipastikan.

Dr Mustafa menegaskan bahawa pilihan raya Amerika mempunyai kepentingan tambahan kepada Singapura yang bakal mempengerusikan Asean 2027.

Menurutnya, Singapura perlu memainkan peranan kepimpinan serantau dalam mengurus kesan ekonomi konflik sambil memastikan Amerika terus terlibat dalam keselamatan dan perdagangan Asia Tenggara.

Beliau berkata langkah pemerintah membantu rakyat menghadapi tekanan ekonomi, bersama hubungan kukuh antara pemerintah dan masyarakat, penting untuk memastikan Singapura mampu bertahan.

Pada akhirnya, keputusan pilihan raya 3 November mungkin tidak menentukan secara langsung sama ada perang Iran berakhir atau berterusan.

Namun, ia akan menentukan sejauh mana Encik Trump menghadapi tekanan politik ketika membuat keputusan yang boleh membawa kesan besar terhadap keamanan Timur Tengah dan ekonomi antarabangsa.

Bagi Dr Mustafa, kepentingan pilihan raya itu tidak boleh dipandang ringan.

“Jika Parti Republikan berjaya mengekalkan penguasaan Kongres dan kedudukan politik Encik Trump tidak terjejas selepas pilihan raya pertengahan penggal ini, Singapura perlu bersedia menghadapi cabaran lebih besar kerana keadaan ekonomi global mungkin semakin buruk,” katanya.