THAILAND: Seorang lelaki terkejut setelah membuka pembalut aiskrim yang dibelinya, tetapi mendapati seekor ular beku masih utuh di dalam ais krimnya itu.
Mendapati perkata itu agak ganjil, beliau memuat naik gambar aiskrim itu - dengan reptilia itu masih tertanam - di Facebook pada 4 Mac dan hantarannya itu dengan cepat menjadi tular, lapor The Straits Times
Setakat ini pada 6 Mac, hantaran itu telah mendapat 8,600 reaksi, 2,400 komen dan 9,300 perkongsian.
Kepala ular berwarna hitam-kuning itu dapat dilihat dengan jelas dalam foto.
Dalam kapsyen, lelaki itu menyatakan bahawa beliau telah membeli aiskrim kacang hitam itu daripada seorang penjual tepi jalan.
Beberapa komen di bawah catatan asal mempersendakan kejadian itu, dengan seorang dari mereka bertanya sama ada ular itu akan hidup semula di bawah cuaca panas, dan seorang lagi berkata ia “meningkatkan protein”.
Netizen lain meluahkan rasa seram dengan penemuan yang tidak dijangka itu.
Ramai juga membuat spekulasi mengenai spesis ular itu. Beberapa orang membuat andaian ia mungkin ular pokok emas (Chrysopelea ornata).
Bagaimanapun, ada yang menyuarakan kebimbangan mengenai piawaian kebersihan hingga seekor ular boleh terperangkap di dalam aiskrim.
“Nampak kelakar, tapi bila difikirkan tentang aspek kebersihan, memang agak teruk,” tulis seorang netizen.
“Macam mana ular boleh masuk ke situ? Nampak macam anak ular, mesti ada induk, sarang, dan lebih banyak ular di tempat yang berdekatan.”
Menurut laman web Taman Negara Thai, ular pokok emas itu berbisa ringan dan ditemui di banyak negara, termasuk India, Bangladesh, Sri Lanka, Thailand dan Vietnam.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg