Beberapa minit menjelang tengah malam, dua jurugambar amatur yang sedang berjalan-jalan berhampiran antara anak sungai semula jadi yang masih wujud di Singapura menemui seekor spesies ular yang tidak pernah mereka lihat sebelum ini.
Anak sungai dalam hutan seperti di Lorong Banir berdekatan Mandai, semakin jarang ditemui di tengah-tengah perbandaran yang pesat dijalankan di negara ini.
Sejak kebelakangan ini, kawasan itu menjadi tarikan peminat alam semula jadi yang ingin melihat hidupan liar unik yang mendiami kawasan tersebut.
Pada Oktober, dua belia itu serta rakan mereka menjumpai ular jenis ‘Peters’ keelback’ (Hebius petersii) yang tidak kelihatan di Singapura sejak 64 tahun lalu.
Penemuan mereka diterbitkan dalam talian pada 29 November oleh Muzium Sejarah Semula Jadi Lee Kong Chian di Universiti Nasional Singapura (LKCNHM-NUS), lapor The Straits Times (ST).
Ular berwarna coklat kemerahan, panjangnya 50 sentimeter, dan dihiasi dengan tompok hitam itu segera menarik perhatian jurufoto hidupan liar, Encik Trin Chantong, yang tidak pernah melihat ular dengan ciri sebegitu.
Rakan jurugambar beliau, Encik Hamad Azam, yang pada mulanya ragu-ragu, turut teruja selepas ahli kumpulan mereka, Encik Wong Kwang Ik, dapat mengesahkan bahawa ular itu sememangnya jenis ‘keelback’.
Encik Wong berjaya mengenal pasti spesies itu selepas melihat persamaan dengan spesimen yang dipaparkan dalam sebuah artikel berkenaan kehilangan lebih 37 peratus biodiversiti di pulau ini.
Menurut Encik Wong, walaupun warna spesimen ular di dalam artikel itu telah luntur kerana diawet, beliau masih dapat melihat persamaannya dengan ular yang mereka temui daripada ciri tompok yang terdapat di belakang leher ular itu yang menjalar sepanjang badan.
“Pada saat itu, saya rasa seperti saya telah melihat hantu,” ujar Encik Wong.
Spesies ular itu akhirnya disahkan dengan yakin oleh perunding ekologi, Encik Law Ing Sind, Encik Law Ingg Thong, dan Encik Shivaram Rasu – yang membandingkan gambar yang diambil sekumpulan pemuda itu dengan spesimen di muzium tempatan dan luar negara.
Gambar ular itu “sangat mengujakan” dalam bidang sains kerana ia bukan sahaja menandakan penemuan semula spesies berkenaan di kawasan geografi asalnya, malah ia juga merupakan kali pertama ular itu berjaya dirakamkan melalui foto dalam keadaan hidup, kata ahli biologi dan pengarang bersama senarai semakan terkini amfibia dan reptilia Singapura, Dr Alex Figueroa.
Menurut Dr Figueroa, penemuan semula dan petikan gambar itu membantu penyelidikan saintifik kerana ia menunjukkan spesies yang jarang dan sudah lama tidak ditemui – tetap wujud di suatu kawasan, meskipun kawasan itu mungkin terjejas dengan kegiatan manusia.
Di Singapura, ‘Peters’ keelback’ pertama kali dirakam lebih 180 tahun lalu oleh kumpulan ekspedisi Amerika Syarikat pada 1842, namun ketika itu ia tersilap dikenal pasti sebagai spesies lain.
Setakat ini, hanya empat spesimen ular jenis itu telah dikumpulkan di Singapura, dan spesimen terakhir direkodkan pada 6 Ogos 1960 di tapak lama Kor Perkhidmatan Tentera Diraja di Sembawang, lokasi yang kini menempatkan Kem Nee Soon, dan berhampiran dengan kawasan penemuan ular itu baru-baru ini.
Penemuan adalah satu penambahan kepada puluhan penemuan semula hidupan liar di Hutan Paya Nee Soon, satu-satunya kawasan paya air tawar di Singapura yang menjadi tempat tinggal spesies jarang ditemui seperti kunang-kunang Singapura dan ular lumpur Selangor, yang ditemui semula selepas 106 tahun.
Kumpulan belia itu berharap penemuan semula mereka itu dapat menarik perhatian ramai terhadap hutan dan sungai yang kurang dikenali, sekali gus menjadikannya sebahagian daripada usaha pemuliharaan.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg