Subuh
5:36
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:24
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

PILIHAN RAYA UMUM MALAYSIA: ANALISIS BERITA

Undi minoriti boleh jadi penentu jika undi Melayu berpecah tiga

Nov 19, 2022 | 05:30 AM



DARI IPOH, PERAK: PENIAGA dan bapa tiga anak, Encik Jeevan Manikam, 53 tahun, berkata beliau bosan mendengar janji yang tidak dikota oleh tokoh politik, terutama bagi kaum minoriti sepertinya.



Encik Jeevan, seorang aktivis Pakatan Harapan (PH) berkata beliau mahukan kerajaan baru yang boleh mewakili kaum minoriti sepertinya dengan lebih adil.



"Kami mahu mobiliti sosial lebih baik dan kami tidak mahu diberi layanan yang berbeza berbanding kaum lain," kata beliau, yang berasal dari Ipoh, Perak.



Sebaliknya, seorang lagi penduduk di Ipoh, Cik Vijaya Lakshmi, seorang peniaga kecil-kecilan berkata beliau tidak mahu perubahan yang besar dan damba kerajaan stabil, membolehkannya memperbaiki ekonomi dan membantu rakyat secara lebih berkesan.



Hujah Cik Vijaya dan Encik Jeevan, itu sedikit-sebanyak mencerminkan sebahagian keprihatinan kaum minoriti di Malaysia yang paling terkesan dan merasakan diri mereka dipinggirkan akibat tindakan afirmatif di Malaysia yang bertujuan membantu Bumiputera merapat jurang ekonomi



Kaum India merangkumi kurang 7 peratus rakyat Malaysia, tetapi undi mereka, bersama kaum Cina, sekitar 23 peratus, boleh menjadi penentu dalam persaingan sengit merebut kerusi parlimen yang mencapai kemuncaknya hari ini.



UNDI MINORITI JANGAN DIREMEH



Peri penting undi minoriti ini tidak boleh diremehkan, kata pengamat politik Encik Adib Zalkapli.



"Undi kaum minoriti sememangnya sangat penting lebih-lebih lagi di kawasan-kawasan bandar seperti Kuala Lumpur, Selangor dan Pulau Pinang yang kebanyakan kerusi parlimennya sama ada didominasi oleh kaum Cina atau memiliki peratusan pengundi kaum minoriti yang tinggi. Mustahil untuk mana-mana parti politik menguasai kawasan-kawasan bandar tanpa sokongan kuat etnik minoriti," kata beliau, seorang pengarah di BowerGroupAsia.



Menjelang Hari Mengundi ini, sebahagian pengamat politik telah meramalkan pecahan undi dalam kalangan pengundi Melayu yang kini boleh memilih antara tiga gabungan parti - Barisan Nasional (BN); Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH).



Berbeza dengan keadaan sebelum ini, ketiga-tiga gabungan parti ini boleh dianggap sama kuat, kata Encik Adib.



"Perpecahan undi kaum Melayu ini tidak dapat dielak, inilah lumrah demokrasi, prosesnya memang hingar. Cuma ini kali pertama kita dapat melihat perpecahan tiga penjuru, kerana sebelum ini tidak pernah ada tiga gagasan politik yang sama berwibawa bersaing untuk undi Melayu.



"Dengan perpecahan tiga penjuru, ia sebenarnya peluang untuk parti-parti politik ini melihat kekuatan sokongan Melayu terutamanya di kerusi-kerusi sengit dan menjadikan pengajaran, membaiki kelemahan untuk kempen-kempen akan datang."



SOKONGAN MELAYU 'PECAH TIGA'



Pemerhati politik Dr Mustafa Izzuddin berkata kali ini, beliau menjangka undi Melayu akan pecah tiga antara tiga gabungan parti utama, dengan BN mendapat sebahagia besar undi Melayu.



Pecahan undi Melayu akan menjadi penentu penting bagi keputusan PRU15 di kebanyakan kerusi parlimen dan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), tambah beliau, seorang penganalisi ehwal antarabangsa kanan di Solari Strategies Singapore



"Sejauh mana undi Melayu menjadi faktor kritikal berlatar pecahan undi Melayu bergantung pada peratusan pengundi Melayu yang layak di sesebuah kawasan undi, jumlah pengundi yang keluar mengundi dalam kalangan Melayu kerana mengundi tidak diwajibkan di Malaysia, demografik Melayu di kawasan bandar dan luar bandar, serta usia pengundi Melayu," kata Dr Mustaffa, merujuk kepada bilangan pengundi lebih muda yang kini layak mengundi.



Lebih 21 juta rakyat Malaysia layak mengundi, termasuk sekitar tujuh juta pengundi baru, menyusuli pendaftaran automatik dan perubahan undang-undang yang membolehkan rakyat berusia 18 tahun dan ke atas mengundi.



BN KUASAI UNDI MELAYU?



Satu tinjauan yang diterbitkan oleh Merdeka Centre - sebuah pusat pemikir di Malaysia - pada 4 November, menunjukkan 32 peratus pengundi Melayu memilih BN, berbanding 20 peratus yang menyokong PN.



Lagi 13 peratus memilih PH, sementara 30 peratus lagi masih kurang pasti.



Pada masa yang sama, tinjauan itu juga menunjukkan 47 peratus pengundi Cina memilih PH, berbanding 5 peratus yang cenderung pada BN. Lagi 1 peratus Cina memilih PN.



Dalam kalangan pengundi India, 51 peratus menyokong PH, berbanding 32 peratus yang menyokong BN dan 1 peratus menyokong PN.



Menarik perhatian, 41 peratus Cina dan 8 peratus India berkata mereka belum membuat sebarang pilihaatau kurang pasti.



Hasil tinjauan dan ramalan pemerhati politik bak mencadangkan keadaan di mana 'parlimen tergantung' berlaku, apabila tiada parti atau gabungan parti mendapat majoriti mudah, iaitu 112 kerusi daripada 222 kerusi parlimen yang dipertandingkan.



Dr Oh Ei Sun, Felo Kanan di Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura berkata satu kerajaan gabungan boleh ditubuhkan jika tiada parti atau gabungan parti mendapat majoriti mudah selepas Hari Mengundi.



"BN atau PH besar kemungkinan akan memenangi jumlah kerusi yang paling banyak, sementara PN dijangka mendapat undi yang kurang," kata Dr Oh.



Menurut Dr Oh, BN atau PH boleh bergabung untuk menubuhkan kerajaan Malaysia atau menjalin hubungan dengan parti lain untuk membentuk gabungan parti baru.



Sejauh ini, beberapa gabungan parti alternatif telah ditimbulkan, termasuk gabungan BN-PH; dan BN-PN, walaupun Parti Islam SeMalaysia berkata ia tidak akan bergabung dengan BN.



Sebaliknya, buat masa ini, kebanyakan pemimpin parti masih belum menyatakan dengan khusus rancangannya jika parlimen 'tergantung'.



Yang pastinya, jika tiada parti mendapat majoriti mudah, kita boleh menjangka apa sahaja boleh berlaku.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >