Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Unicef lancar suntik vaksin di Gaza, bermula dengan 2,400 kanak-kanak

Nov 12, 2025 | 4:00 PM
Kanak-kanak menjalani pemeriksaan dan diberikan suntikan vaksin yang bertujuan melindungi mereka  yang terlepas vaksin rutin semasa dua tahun perang Israel dengan Hamas.
Kanak-kanak menjalani pemeriksaan dan diberikan suntikan vaksin yang bertujuan melindungi mereka yang terlepas vaksin rutin semasa dua tahun perang Israel dengan Hamas. - Foto: UNICEF

JALURAN GAZA/GENEVA: Tabung Bantuan Darurat Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unicef) berkata 2,400 kanak-kanak di Gaza telah pun diberikan suntikan pelbagai vaksin pada hari pertama kempen imunisasi, pemakanan dan kesihatan dilancarkan di wilayah Palwstin.

Agensi tersebut berkata pada 11 November bahawa kempen yang sedang dijalankan itu bertujuan melindungi kanak-kanak yang terlepas vaksin rutin semasa dua tahun perang Israel dengan Hamas.

Kempen yang dijalankan bersama Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan rakan kongsi, menyasarkan lebih 40,000 kanak-kanak di bawah umur tiga tahun dan akan dijalankan dalam tiga pusingan.

Pusingan pertama berlangsung dari 9 hingga 18 November dan pusingan selanjutnya pada Disember dan Januari.

“Kami telah mendapatkan satu juta vaksin dan menghantarnya ke Gaza untuk melindungi kanak-kanak daripada penyakit yang boleh dicegah seperti polio, campak dan pneumonia,” kata jurucakap Unicef, Encik Ricardo Pires, kepada wartawan di Geneva.

Kempen ini juga merangkumi pemeriksaan pemakanan dan rawatan untuk kanak-kanak yang kekurangan zat makanan dan beroperasi melalui 149 kemudahan kesihatan dan 10 unit bergerak, disokong oleh lebih 450 petugas kesihatan yang terlatih.

Encik Pires menekankan bahawa Gaza pernah mempunyai 98 peratus jangkauan vaksinasi dan 55 tapak imunisasi, tetapi “jangkauan telah jatuh di bawah 70 peratus dengan 31 kemudahan vaksinasi musnah atau rosak.” akibat perang.

Beliau menyifatkan usaha semasa sebagai “langkah pertama ke arah memulihkan tahap vaksinasi prakonflik dan membina semula sistem kesihatan Gaza yang musnah” tetapi tersebut memerlukan sokongan segera penderma.

Setakat ini, tiada insiden keselamatan dilaporkan yang menjejaskan kempen tersebut, yang disifatkan Encik Oires sebagai “berita baik”.

Namun, beliau menyatakan kejayaannya bergantung kepada “gencatan senjata yang berterusan dan perlindungan pekerja kemanusiaan dan keluarga.”

Menurutnya, meskipun terdapat peningkatan aliran bantuan baru-baru ini, namun Unicef terus menghadapi sekatan besar.

“Kami telah membawa 1.6 juta alat suntik tetapi sebahagian besarnya masih di luar Gaza,” katanya, sambil menambah bahawa alat suntik automatik dan peti sejuk berkuasa solar masih disekat atau menunggu pelepasan, kerana ia dianggap dwiguna oleh pihak berkuasa Israel.

Mengenai respons Unicef untuk musim sejuk, beliau berkata ia sedang dijalankan dengan 38,000 kit pakaian musim sejuk dan 160,000 selimut telah diedarkan.

Namun, barangan penting seperti kit bersalin dan hampir satu juta botol susu formula bayi masih ditahan, kata Encik Pires. - Agensi berita

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg