Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kemunculan semula polio di Gaza cabaran kesihatan kian genting

Peringatan serius tentang betapa rapuh keadaan kesihatan di kawasan konflik
Sep 9, 2024 | 5:30 AM
Penduduk Palestin berkumpul untuk mendapatkan vaksinasi polio, di pusat penjagaan kesihatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Deir Al-Balah di tengah Jaluran Gaza, pada 1 September.
Penduduk Palestin berkumpul untuk mendapatkan vaksinasi polio, di pusat penjagaan kesihatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Deir Al-Balah di tengah Jaluran Gaza, pada 1 September. - Foto REUTERS

GAZA: Pada Ogos 2024, pihak berkuasa kesihatan di Jaluran Gaza mengesahkan kes pertama polio dalam kalangan penduduk Palestin setelah 25 tahun bebas daripada penyakit tersebut.

Ujian di Jordan mengesahkan penyakit itu pada kanak-kanak berusia 10 bulan yang tidak divaksin dari tengah Gaza, kata Kementerian Kesihatan di Ramallah.

Penemuan itu telah mencetuskan kebimbangan besar dalam kalangan masyarakat antarabangsa, memandangkan potensi penyebaran virus itu di kawasan yang telah lama bergolak dengan konflik bersenjata.

Sehubungan dengan itu, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dengan kerjasama pihak berkuasa kesihatan Palestin, telah melancarkan kempen vaksinasi besar-besaran melibatkan 640,000 kanak-kanak di Gaza.

Bagi memastikan kejayaan kempen tersebut, Israel dan Hamas bersetuju melaksanakan gencatan sementara dalam konflik yang telah berlarutan selama lebih 11 bulan.

Asal Usul Jangkitan

Sumber jangkitan polio yang ditemui di Gaza dipercayai berasal daripada virus polio yang terhasil daripada vaksin jenis 2 yang turut dikesan dalam contoh kumbahan di beberapa negara maju dalam tahun-tahun kebelakangan ini.

Pada Julai 2024, virus itu dikesan dalam enam contoh kumbahan yang diambil dari Khan Younis dan Deir al-Balah.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), asal usul sebenar virus itu belum jelas, genetik yang ditemukan itu menunjukkan ia serupa dengan varian di Mesir, yang mungkin telah diperkenalkan ke Gaza sejak September 2023.

Penurunan vaksinasi rutin di wilayah Palestin, termasuk Gaza, turut menyumbang kepada kemunculan semula penyakit ini.

Pada 2022, kadar liputan vaksinasi polio di Gaza dianggarkan mencapai 99 peratus.

Namun, ia turun kepada 89 peratus pada 2023.

Penyusutan itu dikaitkan dengan penutupan banyak hospital di Gaza, yang sering kali disebabkan oleh serangan udara Israel atau sekatan terhadap bekalan bahan bakar.

Israel pula menyalahkan Hamas dengan mendakwa bahawa mereka menggunakan hospital untuk tujuan ketenteraan.

Keadaan kebersihan yang teruk di Gaza, apabila pembentungan terbuka dan timbunan sampah menjadi perkara biasa, turut menyumbang kepada keadaan yang memudahkan penyebaran virus tersebut.

Pelaksanaan Program Vaksinasi

Israel dan Hamas bersetuju melaksanakan gencatan sementara selama tiga hari di zon yang berbeza bagi membolehkan pusingan pertama vaksinasi dijalankan.

Kempen itu dimulakan di Gaza tengah pada 1 September dengan tiga hari jeda pertempuran berturut-turut, sebelum beralih ke Gaza selatan dan Gaza utara.

Terdapat persetujuan untuk melanjutkan gencatan di setiap zon kepada hari keempat jika diperlukan.

Vaksin yang diperoleh daripada bekalan kecemasan sejagat telah tiba di Gaza dan diberikan kepada 640,000 kanak-kanak di bawah umur 10 tahun.

Vaksin itu diberikan melalui mulut oleh kira-kira 2,700 petugas kesihatan di pusat-pusat perubatan serta pasukan yang bergerak dalam kalangan ratusan ribu penduduk Gaza yang terpaksa berpindah akibat perang.

WHO menegaskan bahawa kejayaan kempen itu memerlukan sekurang-kurangnya 95 peratus liputan vaksinasi.

Unit kemanusiaan tentera Israel (Cogat) menyatakan bahawa kempen vaksinasi itu akan dijalankan dengan penyelarasan pihak tentera Israel “sebagai sebahagian daripada gencatan kemanusiaan rutin yang akan membolehkan penduduk mendapatkan vaksinasi di pusat perubatan”.

Pusingan kedua vaksinasi dirancang pada akhir September 2024, dengan harapan ia dapat meningkatkan kekebalan masyarakat terhadap virus yang berbahaya ini.

Risiko Penyebaran dan Implikasi Sejagat

Kes polio di Gaza dilihat sebagai satu kemunduran dalam usaha sejagat memerangi polio, yang telah berjaya mengurangkan kes penyakit itu lebih daripada 99 peraus sejak 1988 melalui kempen vaksinasi besar-besaran.

Walaupun polio kini hanya endemik di Pakistan dan Afghanistan, lebih 30 negara, termasuk jiran Gaza seperti Mesir dan Israel, masih disenaraikan oleh WHO sebagai negara yang berisiko menghadapi wabak.

WHO telah memberi amaran tentang meningkatnya risiko penyebaran polio di dalam Gaza dan juga ke negara jiran, memandangkan keadaan kesihatan dan kebersihan yang teruk di sana.

Poliomielitis, yang disebarkan terutama melalui najis-oral, merupakan virus yang amat mudah berjangkit dan boleh menyerang sistem saraf, menyebabkan kelumpuhan dan kematian.

Ini terutamanya dalam kalangan kanak-kanak yang berumur di bawah dua tahun.

Dalam hampir semua kes, penyakit itu tidak menunjukkan sebarang gejala, menjadikannya sukar untuk dikesan.

Cabaran Kesihatan Di Tengah Konflik

Kemunculan semula polio di Gaza merupakan satu peringatan yang serius tentang betapa rapuhnya keadaan kesihatan di kawasan konflik.

Kejayaan kempen vaksinasi yang sedang dijalankan itu sangat penting untuk mencegah penyebaran penyakit tersebut yang boleh membawa maut. Ia bukan sahaja melibatkan Gaza, malah di peringkat serantau dan sejagat.

Memandangkan keadaan kesihatan awam di Gaza yang semakin meruncing, usaha bersepadu dan sokongan antarabangsa yang berterusan adalah genting dalam mengatasi cabaran itu dan memastikan kesihatan generasi akan datang terjamin.

Pada setiap pusingan kempen, kementerian kesihatan di Gaza, bersama agensi PBB, akan memberikan dua titis vaksin polio oral jenis 2 (nOPV2) kepada lebih 640,000 kanak-kanak di bawah umur 10 tahun.

Lebih 1.6 juta dos nOPV2 dijangka transit melalui Lapangan Terbang Ben Gurion Israel. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg