Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Unit tentera elit dakwa telah merampas kuasa di Madagascar

Oct 15, 2025 | 3:50 PM
Para anggota unit tentera elit menyambut gembira sambutan para penunjuk perasaan dalam protes menuntut peletakan jawatan Presiden Andry Rajoelina di Antananarivo, pada 14 October 2025.
Para anggota unit tentera elit menyambut gembira sambutan para penunjuk perasaan dalam protes menuntut peletakan jawatan Presiden Andry Rajoelina di Antananarivo, pada 14 October 2025. - Foto: AFP

ANTANANARIVO, Madagascar: Unit tentera elit berkata ia telah mengambil alih kuasa di Madagascar pada 14 Oktober, selepas parlimen negara itu memecat Presiden Andry Rajoelina selepas protes antipemerintah selama berminggu-minggu.

Encik Rajoelina, yang berkata pada 13 Oktober dalam video Facebook Live bahawa beliau telah bersembunyi selepas cubaan membunuhnya, telah menolak tuntutan untuk berundur, tetapi para penunjuk perasaan mendapat sokongan unit tentera elit, Pasukan Pengurusan Peribadi dan Teknikal serta Perkhidmatan Pentadbiran (Capsat) yang berpengaruh di negara itu.

Pada 14 Oktober, pejabat Presiden menyiarkan satu kenyataan yang menyatakan telah berlaku “cubaan rampasan kuasa”.

Kenyataan itu selanjutnya berkata: “Presiden Republik itu kekal memegang jawatan sepenuhnya dan memastikan pengekalan ketertiban perlembagaan dan kestabilan negara.”

Namun, Encik Rajoelina tidak dilihat di khalayak ramai di Madagascar selama beberapa hari. Beliau dilaporkan telah melarikan diri dari pulau di Lautan Hindi itu dengan pesawat tentera Perancis pada malam 12 Oktober, selepas Capsat berkata bahawa ia tidak akan menembak penunjuk perasaan.

Walaupun tiada arahan untuk tentera menembak orang awam telah dikeluarkan, namun Gendarmerie, pasukan polis yang dikawal oleh Kementerian Pertahanan, membunuh penunjuk perasaan semasa awal protes yang diketuai oleh belia yang bermula pada 25 September.

Perarakan bermula sebagai protes terhadap gangguan bekalan air dan elektrik tetapi dengan cepat merebak kepada seruan pembaharuan politik radikal dan peletakan jawatan presiden.

Ketua Capsat, Kolonel (Kol) Michael Randrianirina, memberitahu pemberita pada 14 Oktober bahawa tentera akan membentuk sebuah majlis pegawai yang terdiri daripada tentera, polis, anggota pasukan gendarmerie, manakala seorang perdana menteri akan dilantik untuk “segera” membentuk pemerintah awam.

Kolonel Randrianirina berkata: “Mungkin majlis akan memasukkan penasihat awam kanan. Jawatankuasa inilah yang akan menjalankan kerja jawatan presiden. Pada masa yang sama, selepas beberapa hari, kami akan menubuhkan pemerintah awam.”

“Kami telah mengambil alih kuasa,” kata Kol Randrianirina.

Beberapa minit sebelum itu, Dewan Rendah Parlimen telah mengundi untuk memecat Encik Rajoelina kerana gagal menjalankan tugas.

Rampasan kuasa Capsat menandakan kejatuhan dramatik bagi Encik Rajoelina, bekas DJ berusia 51 tahun, yang berkuasa hasil sokongan rejimen tentera, sebuah unit yang mengawal logistik ketenteraan, pada 2009, selepas protes jalanan terhadap kos sara hidup yang tinggi dan pemecatan Encik Rajoelina sebagai datuk bandar Antananarivo oleh Presiden terdahulu, Encik Marc Ravalomanana. - AFP

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg