NEW YORK: Amerika Syarikat berkata bahawa Agensi Bantuan dan Kerja Menyelamat PBB (UNRWA) bagi pelarian Palestin perlu lakukan “perubahan asas” sebelum Washington menyambung semula pembiayaan yang dihentikan berikutan tuduhan Israel bahawa beberapa kakitangan agensi tersebut menyertai serangan Hamas pada 7 Oktober.
Duta Besar Amerika ke PBB, Cik Linda Thomas-Greenfield, mengalu-alukan siasatan PBB mengenai tuduhan terhadap kakitangan agensi tersebut dan pihaknya sedang mendapatkan butiran lanjut daripada Israel mengenai dakwaan itu.
Beliau berkata: “Kita perlu melihat bagaimana ia beroperasi di Gaza, bagaimana mereka menguruskan kakitangan mereka dan memastikan 12 individu terlibat, dipertanggungjawabkan supaya UNRWA dapat meneruskan kerja penting yang sedang dilakukannya.”
Tuduhan itu diketahui umum pada 26 Januari apabila UNRWA mengumumkan bahawa ia telah memecat beberapa kakitangan selepas Israel memberikan maklumat kepada agensi itu.
Satu dokumen risikan Israel yang dilihat oleh Reuters, mendakwa bahawa sekitar 190 pekerja UNRWA terlibat dalam kegiatan Hamas atau militan Jihad Islam. Ia mempunyai nama dan gambar 11 daripada mereka.
Dokumen itu berkata salah seorang daripada mereka adalah kaunselor sekolah yang membantu anaknya menculik seorang wanita semasa penyusupan Hamas di selatan Israel pada 7 Oktober yang membunuh 1,200 orang dan lebih 240 yang lain ditawan sebagai tebusan.
Seorang lagi, pekerja sosial UNRWA, dituduh terlibat secara tidak spesifik dalam pemindahan mayat tentera Israel ke Gaza serta menyelaraskan bekalan senjata dan pergerakan trak yang digunakan dalam serangan tersebut.
Warga Palestin ketiga dituduh mengambil bahagian dalam serangan di perkampungan Beeri, di sempadan Israel. Satu persepuluh daripada penduduknya terbunuh.
Yang keempat dituduh mengambil bahagian dalam serangan ke atas Reim, tapak pangkalan tentera yang diceroboh ketika berlangsung satu pesta. Seramai 360 maut di situ.
Setiausaha Agung PBB, Encik Antonio Guterres, berkata berkata Israel belum lagi berkongsi dokumen perisikan itu dengan PBB.
Amerika – penderma terbesar UNRWA – menghentikan sementara pembiayaannya, bersama-sama dengan beberapa negara lain. Washington menyediakan AS$300 juta hingga AS$400 juta ($535.9 juta) setahun kepada agensi itu. – Reuters.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg