Usaha cari 10 mangsa bot karam di Filipina yang masih hilang diteruskan

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Usaha cari 10 mangsa bot karam di Filipina yang masih hilang diteruskan

Jan 27, 2026 | 12:39 PM

Usaha cari 10 mangsa bot karam di Filipina yang masih hilang diteruskan

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
bot karam, Filipina, MV Trisha Kerstin 3
Para pegawai Pengawal Pantai Filipina membantu menenteramkan para penumpang selepas mereka diselamatkan daripada feri MV Trisha Kerstin 3 yang karam di selatan Filipina pada 26 Januari 2026. - Foto REUTERS

MANILA: Operasi mencari dan menyelamat 10 orang yang dilaporkan masih hilang diteruskan pada 27 Januari selepas sebuah feri karam di wilayah selatan Filipina, menyebabkan kematian seramai 18 orang, kata Pengawal Pantai Filipina (PCG).

Jurucakap PCG, Kapten Noemie Cayabyab, berkata jumlah penumpang yang menaiki feri itu telah disemak semula kepada 344, menurun daripada angka sebelumnya iaitu 359.

Ini selepas pihaknya mengesahkan bahawa 15 orang yang disenaraikan dalam jadual tidak menaiki feri yang malang itu.

Jumlah penumpang yang diselamatkan kekal kepada 316 orang, katanya kepada pemberita.

Kemalangan itu berlaku pada sekitar 1.50 pagi pada 26 Januari semasa kapal penumpang MV Trisha Kerstin 3 sedang dalam perjalanan ke Jolo di wilayah Sulu selepas berlepas dari Zamboanga.

Feri itu karam kira-kira lima kilometer di timur Pulau Baluk-Baluk, sebahagian daripada rangkaian pulau wilayah Basilan di luar semenanjung Zamboanga.

PCG berkata feri itu mempunyai kapasiti penumpang yang dibenarkan sebanyak 352 orang.

Mangsa yang terselamat dibawa ke stesen pengawal pantai di Bandar Zamboanga dan Isabela, tambahnya.

Beberapa penumpang yang terselamat menyatakan mereka bergegas ke sebelah kanan feri apabila ia menyenget untuk mengimbanginya semula.

Mangsa yang terselamat, Cik Aquino Sajili, menjangkakan feri itu akan karam dan terus menghubungi rakannya supaya segera memaklumkan PCG.

“Sepuluh minit kemudian, saya terdengar bunyi dentuman kuat secara tiba-tiba,” kata peguam berusia 53 tahun dari bandar Zamboanga.

“Kemudian kapal itu serta-merta terbalik,” katanya sambil menambah para penumpang begitu panik ketika cuba menyelamatkan diri.

“Wanita dan kanak-kanak menjerit meminta tolong dan menangis.

“Ramai mangsa adalah wanita tua... feri yang terbalik itu begitu besar jadi kita perlu kekuatan untuk menolak diri anda naik ke atas permukaan air,” ceritanya sambil melahirkan rasa lega selepas diselamatkan oleh pegawai kecemasan.

Menurut PCG, pihaknya belum bersedia untuk membuat kesimpulan mengapa feri itu karam atas alasan siasatan masih giat dijalankan.

Kemalangan laut adalah perkara biasa di Filipina, sebuah kepulauan yang mempunyai lebih daripada 7,000 pulau dengan rekod keselamatan maritim yang tidak menentu.

Ramai yang bergantung kepada bot, feri dan kapal yang murah dan tidak dikawal selia dengan baik untuk pengangkutan antara lebih 7,000 pulau di negara itu, walaupun kemalangan kerap berlaku.

Pada 2023, lebih daripada 30 orang terbunuh apabila kebakaran melanda sebuah feri di selatan Filipina. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg