Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Usaha cari mangsa tanah runtuh Sulawesi dipergiat

Jul 10, 2024 | 4:12 PM
Pasukan penyelamat membawa keluar mangsa lombong runtuh di Kampung Tulabolo, Bone Bolango, Wilayah Gorontalo, Sulawesi pada 10 Julai.
Pasukan penyelamat membawa keluar mangsa lombong runtuh di Kampung Tulabolo, Bone Bolango, Wilayah Gorontalo, Sulawesi pada 10 Julai. - Foto EPA-EFE

PALU: Usaha mencari mangsa tertimbus dalam tanah runtuh di Sulawesi dipergiat pada 10 Julai, dengan lebih ramai anggota pasukan penyelamat dikerah ke kawasan lombong emas tanpa kebenaran itu.

Sejauh ini, 23 kematian dilaporkan dan 33 orang hilang.

Jabatan Mencari dan Menyelamat wilayah berkata 81 penduduk kampung berjaya menyelamatkan diri daripada tanah runtuh itu. Sebahagian daripada mereka ditarik keluar oleh penyelamat, termasuk 18 yang cedera.

Korban termasuk seorang budak lelaki berusia empat tahun.

Lebih 1,000 anggota, termasuk tentera, dikerahkan untuk meningkatkan usaha mencari, kata Encik Edy Prakoso, pengarah operasi jabatan itu.

Tentera Udara Indonesia menghantar sebuah helikopter kerana ia satu-satunya cara mempercepatkan operasi menyelamat yang tergendala oleh hujan lebat, keadaan tanah tidak stabil dan bentuk muka bumi lasak.

Lebih 100 penduduk kampung sedang mencari bijih emas pada 7 Julai di sebuah perkampungan terpencil dan berbukit di Bone Bolango di wilayah Gorontalo, apabila bertan-tan lumpur melungsur ke bawah bukit dan menimbus kem sementara mereka.

Operasi perlombongan tidak rasmi adalah perkara biasa di Indonesia.

Ia menyediakan mata pencarian kepada beribu-ribu yang bekerja dalam keadaan yang menimbulkan risiko tinggi kecederaan serius atau kematian.

Tanah runtuh, banjir dan runtuhan terowong sebahagian daripada bahaya yang dihadapi pelombong.

Kebanyakan pemprosesan bijih emas melibatkan merkuri yang sangat toksik, dengan pekerja kerap menggunakan sedikit atau tiada perlindungan.

Kemalangan terakhir berkaitan perlombongan besar di negara itu berlaku pada April 2022, apabila tanah runtuh menimpa lombong emas haram di daerah Mandailing Natal, Sumatera Utara, membunuh 12 wanita yang sedang mencari emas. – Agensi berita.

Kegiatan alam sekitar berkempen bertahun-tahun untuk menutup operasi sedemikian di seluruh negara, terutamanya di Sulawesi, tempat amalan itu berkembang sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Tanah runtuh pada 7 Julai menyemarakkan lagi bantahan mereka.

“Penguasa tempatan yang membenarkan kegiatan perlombongan emas haram di kawasan ini berterusan menyumbang kepada bencana maut,” kata Encik Muhammad Jamil, yang mengetuai bahagian undang-undang Rangkaian Advokasi Perlombongan, sebuah badan pemerhati alam sekitar yang dikenali sebagai Jatam.

Beliau berkata perlombongan emas melibatkan ramai pihak yang dipersalahkan, daripada mereka yang bekerja di lapangan hingga kepada pegawai di majlis tempatan dan juga polis.

“Rangkaian mafia ini nampaknya telah membantu melindungi pelombong daripada penguatkuasaan undang-undang, walaupun mereka merobek hutan yang dilindungi.

“Apabila sumber semula jadi seperti sungai, hutan, daratan dan laut rosak, ia akan menjadi kerugian besar kepada ekonomi negara,” kata Encik Jamil.

Encik Ferdy Hasiman, penyelidik perlombongan dan tenaga daripada Alpha Research and Datacenter, berkata percambahan lombong pit telah lama dipersalahkan kerana kerosakan alam sekitar di kawasan hulu, yang seterusnya memburukkan lagi banjir dan tanah runtuh di hilir.

“Banjir kilat dan tanah runtuh akan berterusan jika perlombongan haram dan penebangan hutan berterusan. Kami menyeru pemerintah tempatan dan pemerintah pusat supaya meluaskan usaha mereka untuk menutup perlombongan emas haram di seluruh negara,” ujar Encik Ferdy. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg