Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Usaha gencatan senjata ekoran 68 maut dalam pertempuran Sunni, Syiah di Pakistan

Nov 25, 2024 | 2:02 PM
Pergaduhan bermula selepas lelaki bersenjata menyerang konvoi kenderaan awam pada 21 November, membunuh sekurang-kurangnya 40, kebanyakannya penganut Syiah.
Pergaduhan bermula selepas lelaki bersenjata menyerang konvoi kenderaan awam pada 21 November, membunuh sekurang-kurangnya 40, kebanyakannya penganut Syiah. - Foto AFP

PESHAWAR (Pakistan): Pegawai pemerintah Pakistan bertemu ketua kumpulan penganut Syiah dan Sunni di barat laut negara itu pada 24 November untuk cuba menjadi perantara gencatan senjata ekoran pertempuran yang telah mengorbankan sekurang-kurangnya 68 orang dan mencederakan puluhan yang lain.

Pertempuran bermula selepas sekumpulan lelaki bersenjata menyerang konvoi kenderaan awam pada 21 November, membunuh sekurang-kurangnya 40 orang, kebanyakannya penganut Syiah.

Ini menyebabkan serangan balas terhadap penduduk Sunni, dan telah berlaku pertempuran sengit antara kumpulan bersenjata daripada kedua-dua pihak.

Penganut Syiah dan Sunni bersenjata telah terlibat dalam pertempuran suku dan mazhab selama beberapa dekad berkaitan pertikaian tanah di daerah Kurram berhampiran sempadan Afghanistan.

Satu delegasi pemerintah telah berkunjung ke Parachinar – bandar utama Kurram – pada 23 November untuk bertemu pemimpin kedua-dua pihak, kata Encik Muhammad Ali Saif, Menteri Penerangan wilayah Khyber Pakhtunkhwa.

Kurram terletak dalam wilayah tersebut.

Delegasi itu bertemu pemimpin Syiah dan bermalam untuk bertemu pula pemimpin Sunni pada 24 November untuk cuba menjadi perantara perjanjian gencatan senjata dan kemudian berusaha menyelesaikan masalah itu, katanya dalam satu kenyataan.

“Terdapat perkembangan positif dalam penglibatan dengan pihak terbabit,” tambahnya.

Dua sumber pemerintah yang enggan dikenali kerana kepekaan perkara itu, berkata angka kematian akibat keganasan balas dendam sejak serangan terhadap kenderaan awam pada 21 November telah meningkat kepada sekurang-kurangnya 28 orang.

Mereka bimbang jumlah kematian akan meningkat kerana perhubungan di kawasan itu terputus dan maklumat baru mengenai mangsa yang terkorban sukar diperoleh.

Pihak berkuasa Pakistan menyatakan helikopter yang membawa delegasi pemerintah itu turut ditembak, tetapi berjaya mendarat dengan selamat pada 23 November.

Presiden Pakistan, Encik Asif Ali Zardari, dalam satu kenyataan mengutuk sekeras-kerasnya serangan terhadap kenderaan penumpang.

Kumpulan bersenjata telah menyerang penempatan yang dihuni oleh penganut saingan. Ramai penduduk telah diarahkan berpindah, manakala pasar dan sekolah masih ditutup.

Beberapa stesen minyak pula telah dibakar, kata pegawai itu. – Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg