Penyelamat berlumba dengan masa untuk sampai ke tempat tujuh orang yang dilaporkan terperangkap dalam sebuah gua di tengah Laos sejak minggu lalu.

Kejadian itu berlaku apabila sekumpulan penduduk kampung di wilayah Xaisomboun masuk ke dalam gua untuk mencari emas pada 19 Mei, tetapi hujan lebat menyebabkan banjir kilat yang menyekat jalan keluar, menurut pasukan penyelamat Laos dan Thailand yang terlibat dalam operasi tersebut.

Encik Bounkham Luanglath, yang mengetuai Sukarelawan Penyelamat untuk Rakyat Laos, menyatakan bahawa salah seorang daripada kumpulan itu melarikan diri sebelum jalan keluar tersekat dan memaklumkan pihak berkuasa.

Status tujuh orang yang terperangkap masih tidak diketahui.

Beliau berkata gua itu merupakan ruang sempit yang sering dikunjungi oleh penduduk kampung yang mencari mendapan emas.

Menurutnya, pihak berkuasa telah berulang kali memberi amaran kepada orang ramai agar tidak memasuki gua itu atas sebab keselamatan.

Radio Kebangsaan Laos yang dikendalikan oleh pemerintah melaporkan bahawa penyelamat Thailand tiba di lokasi pada 24 Mei untuk memberi bantuan.

Penyelam telah mula meneroka bahagian gua yang banjir ke arah kawasan di mana mereka percaya kumpulan itu mungkin terperangkap.

Rakaman yang dikeluarkan oleh kumpulan penyelamat Thailand itu menunjukkan anggota mereka merangkak dan memanjat melalui laluan yang gelap dan sempit, yang sebahagiannya hampir ditenggelami air berlumpur.

Penyelamat berkata terowong yang menuju ke dalam gua itu hanya setinggi 60 sentimeter.

Usaha di luar gua itu tertumpu kepada mengepam air keluar daripada laluan tersebut, manakala mereka yang berada di dalamnya memasang tali untuk penyelamat mengikutinya, kata Kengkard Bongkawong, ketua operasi kumpulan penyelamat Thailand itu.

“Laluan itu tidak rumit tetapi masalahnya ialah ruangnya. Ia sangat sempit sehingga kami terpaksa merangkak untuk melaluinya; batu-batunya juga sangat tajam,” kata Encik Kengkard.

Beliau berkata penyelamat tidak mengesan sebarang tanda kehidupan tetapi beliau percaya kesemua lelaki yang terperangkap itu masih hidup.

Ini berdasarkan maklumat seorang mangsa yang berjaya melarikan diri mengenai lokasi yang lebih dalam di dalam gua yang berada di atas paras air.

“Saya yakin mereka masih hidup kerana masih ada udara di dalam gua itu,” kata Encik Kengkard, yang merupakan anggota pasukan menyelam dalam operasi menyelamat 12 pemain bola sepak dan jurulatih mereka yang terperangkap selama dua minggu dalam gua Tham Luang, di Chiang Rai, Thailand, pada Julai 2024 - Agensi berita