Utusan AS temu Hamas, lintasan Rafah dibuka semula
KAHIRAH: Utusan daripada Lembaga Keamanan Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, telah bertemu wakil Hamas di Kahirah dalam usaha untuk melindungi gencatan senjata Gaza yang tertekan dek tekanan serius sejak Amerika dan Israel menyerang Iran.
Tiga sumber menyatakan mesyuarat hujung minggu itu merupakan yang pertama diumumkan secara terbuka sejak perang Iran pada 28 Februari.
Susulan pertemuan itu pada 15 Mac, Israel mengumumkan akan membuka semula satu-satunya lintasan untuk pejalan kaki antara Gaza dengan Mesir, yang ditutup sejak perang Iran bermula.
Salah satu sumber berkata beliau percaya pengumuman Israel itu adalah hasil langsung daripada pertemuan antara Hamas dengan lembaga tersebut.
Sebelum perang Iran, Gaza merupakan inisiatif utama Presiden Trump di Timur Tengah.
Sumber itu berkata wakil Hamas memberi amaran kepada lembaga bahawa mereka boleh menarik diri daripada janji-janji sebelumnya di bawah gencatan senjata Gaza jika Israel mengekalkan sekatan baru ke atas Gaza yang dikenakan semasa perang Iran.
Israel menutup sempadan Gaza selepas perang Iran meletus dengan alasan bahawa lintasan tidak dapat dikendalikan dengan selamat.
Ia kemudiannya menyambung semula aliran barangan dan bantuan yang terhad tetapi terus menutup satu-satunya lintasan untuk pejalan kaki ke Mesir menerusi Rafah di pinggir selatan Gaza.
Reuters sebelum ini melaporkan bahawa rundingan mengenai perlucutan senjata Hamas – yang bertujuan untuk menjadi tumpuan fasa seterusnya rancangan Trump – telah ditangguhkan sejak bermulanya perang Iran.
Mesyuarat selanjutnya dijangka diadakan pada minggu ini
Dalam rundingan itu, Lembaga Keamanan diwakili oleh Encik Aryeh Lightstone, seorang pembantu utusan khas Presiden Trump, Encik Steve Witkoff.
Seorang pegawai Amerika berkata bahawa Encik Lightstone telah menghadiri mesyuarat berkaitan Gaza di Kahirah sejak beberapa hari lalu, tanpa mengesahkan sama ada beliau telah bertemu dengan delegasi Hamas.
Perunding Amerika terus bertemu dengan rakan serantau untuk memenuhi pelan 20 perkara Presiden Trump untuk Gaza, tambah pegawai Amerika itu.
Israel tidak segera memberi respons kepada permintaan untuk memberi komen sama ada keputusannya untuk membuka semula lintasan Rafah adalah hasil daripada mesyuarat di Kahirah.
Hamas juga enggan mengulas.
Rancangan Presiden Trump untuk Gaza bermula dengan gencatan senjata pada Oktober yang menyaksikan Israel mengawal lebih separuh wilayah Palestin itu, dengan hampir lebih dua juta penduduknya hidup bersesak di sebidang tanah sempit di bawah kawalan Hamas. – Reuters.

