Pasukan penstabil antarabangsa dijangka ditempat di Gaza awal April
Pasukan penstabil antarabangsa dijangka ditempat di Gaza awal April
KAHIRAH (Mesir): Kumpulan pertama anggota Pasukan Penstabil Antarabangsa (ISF) dijangka memasuki Jaluran Gaza seawal April sebagai sebahagian pelan keselamatan pasca gencatan senjata.
Demikian menurut pengantara Amerika Syarikat dalam rundingan dengan Hamas, Encik Bishara Bahbah.
Beliau berkata penempatan awal itu akan diikuti kemasukan kontinjen lebih besar pada bulan berikutnya.
“Setakat apa yang saya tahu kumpulan pasukan pertama akan memasuki Gaza awal April dan jumlah lebih besar akan dikerahkan pada bulan seterusnya,” kata beliau seperti yang dilaporkan oleh Sputnik/RIA Novosti.
Encik Bahbah berharap kehadiran pasukan antarabangsa itu dapat menghentikan pelanggaran gencatan senjata oleh Israel.
Pasukan tersebut dijangka terdiri daripada kira-kira 20,000 anggota tentera dan 12,000 pegawai polis dari negara peserta inisiatif Lembaga Keamanan Gaza. Bandar Rafah di selatan Gaza dijangka menjadi lokasi penempatan pertama.
Menurut Encik Bahbah, tentera Indonesia akan ditempatkan di kawasan selatan wilayah itu manakala unit negara lain mengawal kawasan lain.
Indonesia, Kazakhstan, Maghribi, Kosovo dan Albania telah menyatakan kesediaan menyertai misi tersebut.
Pada 16 Februari lalu, tentera Indonesia memaklumkan negara itu sedang menyediakan 1,000 anggota untuk kemungkinan dihantar ke Gaza menjelang awal April sebagai sebahagian pasukan pengaman pelbagai negara.
Jurucakap tentera Indonesia, Encik Donny Pramono, berkata keputusan akhir akan ditentukan Presiden Prabowo Subianto.
“Jadual penghantaran tertakluk sepenuhnya kepada keputusan politik negara serta mekanisme antarabangsa yang berkuat kuasa,” katanya.
Beliau menambah seramai 8,000 anggota tentera akan bersedia dikerahkan menjelang Jun.
Encik Bahbah berkata Jawatankuasa Pentadbiran Gaza yang baharu juga akan memasuki wilayah itu bersama pasukan keselamatan selepas mendapat jaminan perlindungan.
Jawatankuasa berkenaan ditubuhkan selepas gencatan senjata Oktober lalu yang diusahakan Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, namun masih beroperasi dari Kahirah kerana belum dibenarkan masuk oleh Israel.
“Jawatankuasa akan dapat beroperasi selepas pasukan penstabil tiba kerana ia akan menerima jaminan keselamatan,” katanya.
Pentadbiran itu dijangka mengambil alih urusan keselamatan dan pentadbiran awam daripada Hamas.
Encik Bahbah dalam wawancara dengan portal, Asharq Al-Awsat, turut menyediakan dokumen cadangan kepada Hamas yang menggariskan proses pelucutan senjata secara berperingkat.
Proses itu bermula dengan senjata berat diikuti komitmen tidak menghasilkan atau menyeludup senjata serta menangani rangkaian terowong.
Menurutnya, Hamas meminta untuk mengekalkan senjata peribadi bagi tujuan pertahanan diri.
“Proses bermula dengan senjata berat, diikuti komitmen tidak membangunkan atau menyeludup senjata, kemudian senjata peribadi yang diminta Hamas untuk pertahanan diri,” katanya.
Pelan gencatan senjata fasa kedua turut merangkumi pengunduran tentera Israel dari Gaza, namun Hamas enggan menyerahkan senjata selagi Israel masih menguasai sebahagian wilayah itu.
Pelan itu turut merangkumi penubuhan pasukan polis Palestin baharu dengan latihan disediakan Mesir dan Jordan.
Menurut Encik Bahbah, ribuan penduduk Gaza telah mendaftar secara sukarela. Beliau berkata anggota polis Hamas boleh diserap masuk tetapi perlu melalui proses saringan.
“Mereka mesti membuktikan kesetiaan hanya kepada pasukan, bukan kepada mana-mana pihak lain,” katanya.
Encik Bahbah turut menyuarakan kekesalan terhadap kelewatan pelaksanaan gencatan senjata dan menuduh Amerika Syarikat sebelum ini menutup mata terhadap pelanggaran Israel kerana mahu memusnahkan kemampuan ketenteraan Hamas.
Namun, beliau percaya keadaan akan berubah selepas pasukan antarabangsa dikerahkan.
“Sebarang serangan akan mengganggu operasi pasukan dan ini tidak akan dibenarkan oleh Amerika Syarikat,” katanya.
Menurutnya, kehadiran pasukan penstabil juga akan memastikan pasukan polis Palestin berada di bawah pentadbiran jawatankuasa disokong Washington, bukan Hamas.
Pengumuman penempatan pasukan antarabangsa dilihat sebagai langkah penting dalam usaha menstabilkan Gaza selepas konflik panjang yang memusnahkan prasarana dan sistem pentadbiran wilayah itu.
Pemerhati berpendapat kejayaan pelan itu bergantung kepada kerjasama semua pihak, terutama Israel dan Hamas, bagi memastikan pengunduran tentera serta pelucutan senjata berjalan lancar.
Jika dilaksanakan sepenuhnya, ia berpotensi menjadi permulaan struktur keselamatan baharu di Gaza dengan pemantauan antarabangsa dan pentadbiran awam yang berasingan daripada kumpulan bersenjata. – Agensi berita,

