Topik diikuti
Pergi ke BHkuVenezuela berdepan krisis makanan, perlindungan ketika korban gempa cecah 2,000
Venezuela berdepan krisis makanan, perlindungan ketika korban gempa cecah 2,000
Kanak-kanak tiga tahun ditemui hidup selepas enam hari tertimbus
Venezuela berdepan krisis makanan, perlindungan ketika korban gempa cecah 2,000
CARACAS: Seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun berjaya ditemukan hidup selepas enam hari tertimbus di bawah runtuhan akibat gempa bumi dahsyat di Venezuela, dalam satu detik yang disifatkan sebagai simbol harapan ketika angka korban terus meningkat menghampiri 2,000 orang.
Rakaman video yang tular menunjukkan anggota penyelamat bersorak kegembiraan ketika kanak-kanak itu, dikenali sebagai Klieber Moran, dikeluarkan dari runtuhan bangunan di negeri La Guaira.
Pasukan pertahanan awam Jordan yang terbabit dalam operasi mencari dan menyelamat berkata Klieber diberikan rawatan kecemasan sebelum dihantar ke hospital di Caracas dan berada dalam keadaan stabil.
Presiden Dewan Negara Venezuela, Encik Jorge Rodríguez, berkata penemuan kanak-kanak itu membuktikan masih ada harapan untuk menemukan mangsa lain yang masih hidup di bawah runtuhan.
“Ini memberi semangat baharu kepada semua pasukan penyelamat yang masih bekerja siang dan malam mencari mangsa,” katanya.
Pemangku Presiden Venezuela, Cik Delcy Rodríguez, pula menyifatkan kejayaan menyelamatkan Klieber sebagai “detik harapan di tengah-tengah tragedi besar.”
Gempa bumi berkembar berukuran 7.2 dan 7.5 magnitud yang melanda Venezuela minggu lalu setakat ini mengorbankan 1,943 orang, mencederakan lebih 10,500 mangsa dan menyebabkan puluhan ribu lagi masih hilang.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkata kira-kira 50,000 orang masih disenaraikan sebagai hilang, menjadikan tragedi itu antara bencana gempa bumi terburuk pernah melanda Amerika Latin.
Data awal satelit Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Amerika Syarikat (Nasa) menunjukkan hampir 58,870 bangunan berkemungkinan rosak atau musnah akibat gegaran kuat itu.
La Guaira, kawasan pelabuhan di utara Caracas, dikenal pasti sebagai antara lokasi paling teruk terjejas dengan banyak bangunan kediaman runtuh sepenuhnya.
Penduduk tempatan dilihat menggunakan tangan dan peralatan asas untuk mencari ahli keluarga masing-masing di celah runtuhan konkrit dan besi.
Agensi Pelarian PBB (UNHCR) memberi amaran bahawa puluhan ribu penduduk kini sangat memerlukan makanan, perlindungan sementara dan bantuan perubatan segera.
“Bekalan makanan semakin berkurangan, perkhidmatan asas lumpuh dan rangkaian komunikasi terputus di kebanyakan kawasan,” menurut kenyataan UNHCR.
Jurucakap UNHCR, Cik Carlotta Wolf, berkata ketegangan dalam komuniti semakin meningkat kerana bantuan sukar disalurkan kepada mangsa.
“Keadaan menjadi semakin tegang apabila akses kepada bantuan masih terbatas,” katanya.
Seorang penjual berusia 18 tahun di La Guaira, Encik Daniela Armas, berkata penduduk kini berebut makanan dan bekalan asas.
“Mereka ada mengagihkan bantuan, tetapi kadang-kadang orang hampir berbunuhan hanya untuk mendapatkan makanan... keadaannya seperti sabung ayam,” katanya kepada AFP.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pula memberi amaran mengenai risiko penularan wabak penyakit ketika ramai mangsa kini tidur di jalanan dan pusat perlindungan sementara.
Jurucakap WHO, Encik Christian Lindmeier, berkata sistem kesihatan Venezuela kini berada di bawah “tekanan melampau”.
“Terdapat peningkatan risiko wabak penyakit yang boleh dicegah melalui vaksin seperti campak dan difteria kerana kadar vaksinasi sebelum gempa sudah rendah,” katanya.
PBB menganggarkan sekitar tujuh juta penduduk Venezuela akan terkesan akibat bencana itu, manakala kerugian ekonomi dijangka mencecah AS$6.7 bilion ($8.5 bilion), bersamaan kira-kira 6 peratus keluaran dalam negara kasar negara berkenaan.
Bagi membantu operasi kemanusiaan, PBB berkata penghantaran bantuan seberat 47 tan sudah tiba di Venezuela pada 30 Jun.
Bekalan itu termasuk kit kesihatan kecemasan, peralatan rawatan kelahiran selamat, penjagaan bayi dan peralatan pencegahan penyakit.
UNHCR berkata pihaknya memerlukan sekurang-kurangnya AS$15 juta untuk memperluaskan bantuan perlindungan, penempatan sementara dan bantuan asas kepada 30,000 mangsa gempa selama enam bulan akan datang.
Sementara itu, operasi mencari dan menyelamat terus dijalankan oleh pasukan antarabangsa dari Amerika Syarikat, Mexico dan puluhan negara lain dengan bantuan anjing pengesan serta jentera berat.
Menurut PBB, sebanyak 27 negara menggerakkan hampir 40 pasukan mencari dan menyelamat melibatkan lebih 2,000 anggota serta lebih 160 anjing pengesan.
Walaupun tempoh kritikal 72 jam untuk menemukan mangsa hidup sudah berlalu sejak 27 Jun lalu pasukan penyelamat masih meneruskan operasi.
Di pelabuhan La Guaira, wartawan AFP melihat deretan beg mayat hitam ditempatkan berhampiran bilik mayat sementara.
Ramai keluarga masih menunggu untuk mengenal pasti mayat ahli keluarga mereka yang dipercayai terkorban.
Encik Wilker Molalla berkata beliau kehilangan hampir seluruh keluarganya dalam tragedi itu.
“Dalam rumah kami ada 11 orang. Hanya dua yang terselamat kerana kami berada di tempat kerja ketika gempa berlaku,” katanya sambil menunggu untuk mengenal pasti mayat kakak serta anak-anak saudaranya.
Seorang lagi mangsa, Encik Darvin Silva, menceritakan bagaimana beliau cuba mengeluarkan mayat ibunya yang tertimbus di bawah tiang bangunan runtuh.
“Dengan tangan kosong, tukul besi dan beliung... saya berusaha mengeluarkan ibu saya. Sukar untuk digambarkan,” katanya.
“Saya hanya berharap dapat memberikan beliau tempat persemadian yang layak,” tambahnya. – Agensi berita.
