Subuh
5:35
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:25
Maghrib
7:07
Isyak
8:20
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

COVID-19 DI SERATA DUNIA

Victoria catat kes harian tertinggi sedang Melbourne hadapi bantahan antisekatan

Perintah sekatan pergerakan bakal ditamat setelah 70 peratus penduduk negeri itu lengkap dos vaksin
Sep 25, 2021 | 05:30 AM



MELBOURNE: Salah sebuah negeri di Australia, Victoria, terus mencatatkan kes harian Covid-19 tertinggi, sedang kota terbesar negara itu, Sydney, yang terletak di negeri New South Wales mula melonggarkan beberapa sekatan meskipun ia masih merekodkan kes berterusan.



Semalam Victoria telah mencatatkan 733 kes tempatan baru Covid-19 dan satu lagi kematian ketika wabak Delta di negeri ini semakin buruk.



Ini menjadikan, jangkitan harian melebihi 500 kes untuk tempoh tujuh hari.



Ketika pihak berkuasa menghadapi lebih banyak tunjuk perasaan, Victoria melaporkan kes baru Covid-19 membabitkan jangkitan tempatan, mendahului paras tertinggi pandemik sebelumnya dengan 725 kes pada 5 Ogos tahun lalu.



Perintah sekatan pergerakan ketat di Victoria bakal ditamatkan selepas 70 peratus populasi negeri itu lengkap divaksin yang dijangka dicapai pada 26 Oktober depan.



Ini selain pihak berkuasa menyasarkan mencapai liputan 80 peratus vaksinasi sebelum penganjuran Melbourne Cup pada 2 November, iaitu lokasi popular bagi perlumbaan kuda di Australia.



Australia sedang memerangi gelombang ketiga membabitkan varian Delta di dua bandar terbesarnya, Sydney dan Melbourne dan ibu kota, Canberra, memaksa hampir separuh daripada 25.7 juta penduduk negara itu terbabit dalam sekatan ketat di rumah.



Pihak berkuasa berjanji untuk melonggarkan peraturan sekatan apabila 70 peratus individu dewasa lengkap dos vaksin yang dijangka bulan depan. Kira-kira 55 peratus individu berusia 16 tahun ke atas menerima dos vaksin lengkap di New South Wales dan sekitar 45 peratus di Victoria.



Dalam masa yang sama, polis di bandar Melbourne bersiap sedia untuk menghadapi tunjuk perasan antisekatan Covid-19 selepas lebih 200 orang ditahan pada hari sebelumnya ketika kes jangkitan di Victoria semakin meningkat.



Beratus-ratus penunjuk perasaan turun ke jalan di kota yang mempunyai kira-kira lima juta penduduk, sejak pihak berkuasa memerintahkan penutupan tapak bangunan selama dua minggu dengan suntikan vaksin diwajibkan ke atas pekerja binaan bagi mengekang penularan virus itu.



Polis menggunakan semburan lada dan baton kelmarin untuk menyuraikan penunjuk perasaan yang berkumpul di sebuah tugu peringatan perang.



"Ia (tunjuk perasaan) tidak menghormati rakyat Australia yang sebelum ini berkorban untuk negara dan semua mereka yang terbabit harus malu dengan tingkah laku mereka," kata Perdana Menteri, Encik Scott Morrison kepada wartawan di Washington DC kelmarin.



Hampir separuh daripada 25 juta populasi Australia terpaksa menjalani perintah sekatan pergerakan selepas varian Delta merebak dengan pantas di Sydney dan Melbourne, memaksa Victoria dan New South Wales melupakan sasaran sifar Covid-19 dan beralih kepada mempercepatkan program vaksinasi bagi mengekang penularan.



Australia yang sebahagian besarnya berada dalam zon sifar Covid-19 sejak sekian lama, mencatatkan 1,163 kematian dan 86,000 kes.



Kira-kira 55,000 kes dilaporkan sejak pertengahan Jun ketika jangkitan varian Delta dikesan kali pertama di Sydney.



Berikutan program vaksinasi berjalan dengan pantas, beberapa sekatan untuk perjumpaan ramai dilonggarkan hari ini di pinggir bandar Sydney yang paling terjejas teruk dengan Covid-19.



Had masa untuk aktiviti riadah luar ditarik balik, manakala individu yang lengkap vaksin dibenarkan berkumpul di luar dalam kumpulan lima orang.



Kira-kira 82 peratus populasi dewasa di New South Wales sudah memperoleh dos pertama, berbanding 72 peratus di Victoria, dengan purata keseluruhan kadar vaksinasi kebangsaan 71 peratus.



Kira-kira 47 peratus penduduk negara itu sudah lengkap divaksinasi.



Beberapa negeri yang bebas Covid-19 seperti Queensland dan Australia Barat menutup sempadan negerinya kepada penduduk Sydney dan Melbourne, sambil menyatakan mungkin menunda pelan pembukaan semula mereka berikutan peningkatan kes di Victoria dan New South Wales. - Agensi berita.




"Ia (tunjuk perasaan) tidak menghormati rakyat Australia yang sebelum ini berkorban untuk negara dan semua mereka yang terbabit harus malu dengan tingkah laku mereka."
- Perdana Menteri Australia, Encik Scott Morrison.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >