Video bomoh Kemboja lakukan ritual kematian Jeneral Thai tular di media sosial

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Video bomoh Kemboja lakukan ritual kematian Jeneral Thai tular di media sosial

Jul 31, 2025 | 1:45 PM

Video bomoh Kemboja lakukan ritual kematian Jeneral Thai tular di media sosial

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Paparan daripada video yang menunjukkan bomoh Kemboja menjalankan ritual maut sambil mendoakan kematian awal Komander Tentera Wilayah Kedua Thailand.
Paparan daripada video yang menunjukkan bomoh Kemboja menjalankan ritual maut sambil mendoakan kematian awal Komander Tentera Wilayah Kedua Thailand. - Foto Prasit Tangprasert

NAKHON RATCHASIMA, Thailand: Sebuah video memaparkan sekumpulan bomoh dari Kemboja melakukan ritual sihir terhadap Komander Tentera Wilayah Kedua Thailand, Leftenan Jeneral Boonsin Padklang, telah tular di pelbagai platform media sosial dan mencetuskan kebimbangan serta kecaman di kedua-dua negara.

Video tersebut, yang dimuat naik oleh  pewasitah (spiritualist) Kemboja, menunjukkan satu upacara keagamaan penuh simbolisme yang mensasarkan imej Jeneral Boonsin. Antara elemen yang dipaparkan ialah bacaan mantera, tarian tradisional, serta aksi simbolik kekerasan terhadap gambar pegawai kanan tentera Thailand itu.

Menurut laporan Bangkok Post pada 30 Julai, mantera yang dibacakan dalam video tersebut menyeru agar “kematian awal” menimpa Jeneral Boonsin. Upacara itu dimulakan dengan muzik tradisional dan tarian oleh sekumpulan peserta, sebelum seorang lelaki berjubah putih dipercayai ketua ritual melaksanakan upacara di hadapan gambar besar Jeneral Boonsin.

Lelaki itu kemudiannya dilihat memegang trisula - sebatang serampang yang hujungnya bercabang tiga dan melakukan gerakan menikam ke arah gambar berkenaan. Beberapa individu lain turut mengambil bahagian dalam ritual itu, memegang objek tajam sambil menari secara berirama sebelum melakukan perbuatan simbolik menikam imej tersebut.

Dalam fasa terakhir ritual, seorang bomoh berjubah merah mengambil cakera berbilah mirip senjata chakram - senjata tradisional berbentuk cincin logam bulat  dan menghiris gambar berkenaan beberapa kali sebelum ia dibakar secara terbuka, menandakan kemuncak kepada upacara tersebut.

Leftenan Jeneral Boonsin tampil menafikan khabar angin palsu yang tersebar selepas penyiaran video berkenaan, termasuk dakwaan bahawa beliau telah terbunuh. “Saya masih hidup, sihat, dan berada di barisan hadapan,” katanya dalam satu kenyataan ringkas kepada media Thailand.

Beliau turut memberi jaminan kepada orang ramai agar tidak mempercayai penyebaran maklumat palsu yang bertujuan menimbulkan panik atau mengganggu kestabilan operasi tentera.

Rakaman video itu mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan pengguna media sosial di Thailand. Ramai yang mengutuk tindakan itu sebagai tidak berperikemanusiaan, malah ada yang menyifatkannya sebagai percubaan menimbulkan ketegangan antara dua negara jiran yang sedang berusaha memulihkan keamanan di sempadan.

Seorang pegguna media sosial memberikan komen: “Walaupun ia kelihatan sebagai ritual peribadi, tindakan mensasarkan pemimpin tentera secara terbuka seperti ini boleh dianggap sebagai provokasi dan mencemar semangat gencatan senjata.”

Sementara itu, tiada kenyataan rasmi dikeluarkan oleh kerajaan Kemboja setakat ini berhubung insiden tersebut. Namun beberapa pengulas politik tempatan menyuarakan keprihatinan bahawa ritual seperti ini, walaupun bersifat budaya atau kepercayaan tradisional, boleh memburukkan lagi ketegangan sempadan jika tidak ditangani secara berhati-hati.

Ketika Thailand dan Kemboja sedang dalam proses memulihkan kepercayaan bersama susulan pertempuran berdarah di sempadan baru-baru ini, insiden video ritual ini menambahkan satu lagi dimensi yang merumitkan. Dalam budaya serantau, bomoh atau pengamal spiritual sering kali memainkan peranan dalam kehidupan masyarakat luar bandar, namun penggunaannya dalam konflik geopolitik jarang dilihat secara terbuka seperti ini.

Klip video berdurasi beberapa minit itu kini telah ditonton ratusan ribu kali, dan terus menjadi perbincangan hangat dalam kalangan rakyat Thailand dan Kemboja, sekaligus membuktikan bagaimana unsur kebudayaan dan mistik boleh menimbulkan impak besar dalam konflik moden. - Agensi berita

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg