Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Gencatan senjata berkuat kuasa, sempadan Thai-Kemboja tenang

Sempadan terkawal selepas perbalahan kecil
Jul 29, 2025 | 2:28 PM
Penduduk yang melarikan diri dari kawasan sempadan Kemboja-Thailand kembali ke kediaman mereka di wilayah Oddar Meanchey pada 29 Julai 2025. Tentera Thailand pada hari yang sama menuduh Kemboja melanggar perjanjian gencatan senjata yang baru sahaja dimeterai, dengan menyatakan pertempuran masih berterusan walaupun kedua-dua pihak bersetuju menamatkan konflik berdarah di kawasan sempadan hutan mereka.
Penduduk yang melarikan diri dari kawasan sempadan Kemboja-Thailand kembali ke kediaman mereka di wilayah Oddar Meanchey pada 29 Julai 2025. Tentera Thailand pada hari yang sama menuduh Kemboja melanggar perjanjian gencatan senjata yang baru sahaja dimeterai, dengan menyatakan pertempuran masih berterusan walaupun kedua-dua pihak bersetuju menamatkan konflik berdarah di kawasan sempadan hutan mereka. - Foto AFP

BANGKOK: Perjanjian gencatan senjata antara Thailand dengan Kemboja mula berkuat kuasa seawal tengah malam 28 Julai, selepas lima hari pertempuran sengit yang mengorbankan sekurang-kurangnya 38 nyawa dan menyebabkan lebih 300,000 orang dipindahkan.

Bagaimanapun, ketegangan masih dirasai apabila tentera Thailand mendakwa Kemboja melanggar perjanjian beberapa jam selepas ia dikuatkuasakan.

Pemangku Perdana Menteri Thailand, Encik Phumtham Wechayachai, mengesahkan keadaan di sepanjang sempadan kini terkawal.

“Keadaan sekarang tenang. Tiada peningkatan ketegangan,” kata Encik Phumtham kepada wartawan, sambil menegaskan beliau telah berbincang terlebih dahulu dengan Menteri Pertahanan Kemboja sebelum mesyuarat antara komander tentera dijadual berlangsung.

Mesyuarat tersebut yang sepatutnya bermula 10 pagi ditangguhkan pada saat akhir tanpa tarikh baru ditetapkan, ujar jurucakap tentera Thailand, Mejar Jeneral Winthai Suvaree.

Namun, pegawai tentera dari kedua-dua negara telah mengadakan pertemuan di beberapa kawasan, walaupun komander di bahagian sempadan yang paling terjejas masih belum bertemu secara rasmi.

Terdahulu, tentera Thailand dalam satu kenyataan berkata, Kemboja telah melancarkan serangan di sekurang-kurangnya lima lokasi yang dianggap sebagai pelanggaran terhadap perjanjian gencatan senjata.

Pihak tentera Thailand bertindak balas secara “berkadar dan bertujuan mempertahankan diri”.

Jurucakap Kementerian Pertahanan Kemboja, Cik Maly Socheata, menafikan dakwaan tersebut dan berkata: “Tiada pertempuran bersenjata berlaku di mana-mana kawasan.”

Menteri Pertahanan Kemboja, Encik Tea Seiha, dalam hantaran di Facebook berkata, tenteranya “mematuhi sepenuhnya perjanjian gencatan senjata”.

Beliau turut memaklumkan bahawa pemimpin kementerian akan membawa diplomat dan atase tentera asing melawat kawasan sempadan sebagai bukti.

Menurutnya, satu lagi mesyuarat antara pemimpin tentera kedua-dua negara dijadual berlangsung pada 4 Ogos di Phnom Penh.

Di daerah Kantharalak, wilayah Sisaket, Thailand, suasana kembali normal apabila kenderaan dan motosikal mula memenuhi jalanan yang sebelum ini lengang sejak pertempuran bermula pada 24 Julai.

Tentera masih kelihatan berkawal, namun kegiatan harian penduduk mula pulih.

“Saya sangat gembira apabila mendengar tentang gencatan senjata,” kata Encik Chaiya Phumjaroen, 51 tahun, yang membuka semula kedainya pada pagi 29 Julai.

“Kalau mereka terus berperang, kami tiada peluang untuk mencari rezeki.”

Di pihak Kemboja pula, ramai pelarian yang masih berlindung di kem sementara berhampiran bandar sempadan Samraong menunggu isyarat untuk kembali ke kampung halaman.

“Kalau pemerintah kata kampung saya sudah selamat, saya mahu pulang segera dan bersama keluarga semula. Hidup di sini tak semudah di rumah sendiri,” kata Cik Meun Saray, 45 tahun, sambil mendukung anak kecil di bawah pelindung plastik di kawasan berlumpur.

Perjanjian gencatan senjata dicapai hasil rundingan damai pada 28 Julai di Malaysia yang dipengerusikan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan disokong Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump.

Kedua-dua negara jiran Asia Tenggara itu bersetuju menghentikan pertempuran yang tertumpu di kawasan kuil purba sepanjang 800 kilometer sempadan yang masih dipertikaikan.

Encik Trump sebelum ini memberi amaran bahawa rundingan perdagangan antara Amerika dengan kedua-dua negara tidak akan diteruskan jika pertempuran berlarutan.

Thailand dan Kemboja berdepan kemungkinan dikenakan tarif sehingga 36 peratus ke atas barangan eksport mereka ke pasaran Amerika, pasaran eksport terbesar bagi kedua-dua negara.

Selepas perjanjian dimeterai, Encik Trump mengumumkan beliau mengarahkan pasukan perdagangannya supaya menyambung semula rundingan tarif.

Menteri Kewangan Thailand, Encik Pichai Chunhavajira, berkata pada 29 Julai rundingan dijangka selesai sebelum 1 Ogos dan kadar tarif yang dikenakan ke atas Thailand tidak akan mencecah 36 peratus.

Konflik selama lima hari di sempadan yang menyaksikan pertempuran artileri dan pemindahan besar-besaran penduduk awam melihat satu campur tangan yang tuntas dan berkesan, sesuatu yang jarang dapat disaksikan dalam sejarah diplomasi Asia Tenggara.

Peranan Datuk Anwar sebagai orang tengah menerima pujian meluas bukan sahaja kerana berjaya meredakan ketegangan, bahkan juga kerana menghidupkan semula kewibawaan Asean dalam menangani pertikaian antara negara anggota. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg