BAITULMAKDIS: Sebuah rakaman video yang ditemui dalam telefon bimbit salah seorang paramedik yang ditemukan bersama 14 pekerja bantuan lain di sebuah kubur ramai di bandar Rafah, Gaza pada akhir Mac, menunjukkan bahawa ambulans dan trak bomba yang mereka naiki jelas bertanda dan lampu isyarat kecemasan masih menyala apabila tentera Israel melepaskan tembakan bertalu-talu kepada kenderaan itu.
Pegawai dari Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin berkata pada 4 April di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang dipengerusikan oleh Persekutuan Antarabangsa Persatuan Palang Merah dan Bulan Sabit Merah, bahawa mereka telah mengemukakan rakaman hampir tujuh minit kepada Majlis Keselamatan PBB.
Jurucakap tentera Israel, Encik Nadav Shoshani, berkata tentera Israel tidak “menyerang (ambulans itu) secara rawak”.
Tembakan itu dilepaskan terhadap beberapa kenderaan “mencurigakan” yang menuju ke arah tentera Israel tanpa isyarat kecemasan.
Israel belum memberikan komen mengenai video tersebut.
Lokasi dan masa dalam video disahkan dirakam di bandar selatan Rafah pada pagi 23 Mac.
Video yang dirakam dari kenderaan bergerak itu dilihat menunjukkan konvoi ambulans dan sebuah trak bomba bergerak ke arah selatan berhampiran Rafah. Lampu utama dan lampu kecemasan jelas menyala.
Konvoi itu berhenti untuk membantu sebuah ambulans yang telah diserang ketika sedang membantu orang awam yang cedera.
Pekerja penyelamat dilihat keluar dari kenderaan, dengan tembakan bertalu-talu diarahkan terhadap konvoi tersebut.
Video itu kemudian menjadi gelap, manakala tembakan terus kedengaran selama lima minit.
Suara latar dalam bahasa Ibrani dan Arab kedengaran, dengan seorang lelaki menyebut kehadiran tentera Israel, walaupun perbualan sebenar tidak jelas.
Jurucakap Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin, Cik Nebal Farsakh, berkata paramedik yang merakam video itu telah ditemui dengan peluru di kepalanya dalam kubur ramai.
Lima hari selepas kenderaan penyelamat diserang, PBB dan Bulan Sabit Merah berunding dengan Israel untuk laluan selamat mencari mangsa yang hilang.
Pada 30 Mac, pasukan penyelamat menemui 15 mayat, sebilangan besar dalam kubur ramai bersama ambulans yang musnah dan sebuah kenderaan bertanda PBB.
Gambar satelit kemudian menunjukkan kenderaan tersebut tertimbus, dengan jentolak Israel berhampiran.
Empat pekerja bantuan terbunuh akibat tembakan, dan seorang lagi masih hilang.
Serangan ini dianggap serangan paling tragik terhadap pekerja Palang Merah sejak 2017, dan telah mengundang desakan ramai pihak untuk siasatan bebas terhadap Israel mengenai kemungkinan berlakunya jenayah perang. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg