Topik diikuti
Pergi ke BHkuVivian: S’pura, Pakistan kekal kerap komunikasi, kerjasama berkesan
Vivian: S’pura, Pakistan kekal kerap komunikasi, kerjasama berkesan
ISLAMABAD — Peningkatan perdagangan dua hala, aliran pelaburan dan peningkatan kemahiran teknologi merupakan antara topik utama yang dibincangkan semasa lawatan rasmi Menteri Ehwal Luar, Dr Vivian Balakrishnan, ke Islamabad, Pakistan, pada 30 Oktober.
Dr Balakrishnan berada di Pakistan atas undangan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Ehwal Luar negara itu, Encik Mohammad Ishaq Dar, sempena memperingati ulang tahun ke-60 hubungan diplomatik antara Singapura dengan Pakistan.
Semasa sidang media bersama Encik Dar di Islamabad, beliau menarik perhatian mengenai lawatan langsung peringkat tinggi yang amat jarang berlaku antara pemimpin kedua-dua negara.
“Selama ini, terdapat pertukaran di peringkat kepimpinan peringkat tinggi, ada kalanya di serata dunia; namun tidak cukup kerap diadakan di negara halaman kita sendiri,” kata Dr Balakrishnan.
“Saya menyemak rekod lalu. Mantan Perdana Menteri kita, Encik Goh Chok Tong, berkunjung ke sini pada 2004. Maka kunjungan ini agak terlewat, tetapi lebih baik lambat daripada tiada langsung,” tambahnya.
Dr Balakrishnan menegaskan bahawa kedua-dua pemerintah terus mengekalkan komunikasi secara berterusan “jauh lebih kerap daripada yang disedari ramai”, di samping mempunyai “perkongsian yang sangat berkesan”.
Menurut beliau, keutamaan pertama dalam hubungan Singapura dan Pakistan adalah berusaha meningkatkan perdagangan, kerjasama ekonomi serta bidang seperti pasaran karbon.
“Hubungan perdagangan kita – berdasarkan angka dan data – sewajarnya jauh lebih tinggi,” ujar Dr Balakrishnan.
Beliau menambah, sektor perniagaan, khususnya syarikat kecil dan sederhana (SME), perlu berinteraksi secara terus bagi memahami peluang komersial serta risiko di Asia Tenggara dan Asia Selatan.
Pemerintah kedua-dua negara, tambah beliau, perlu mempermudah interaksi berkenaan serta mengenal pasti wadah baharu bagi kerjasama yang saling memberi manfaat.
Nilai hubungan perdagangan antara Singapura dengan Pakistan kini dianggarkan sekitar AS$1.19 bilion ($1.5 bilion).
Sebagai perbandingan, nilai perdagangan Singapura dengan India mencecah sekitar AS$35 bilion manakala dengan Bangladesh mencatat sekitar AS$3 bilion.
Dr Balakrishnan berkata bidang kerjasama kedua antara kedua-dua negara melibatkan kesiapsiagaan dan respons terhadap bencana.
Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) dan Penguasa Pengurusan Bencana Negara Pakistan bertukar-tukar memorandum persefahaman (MOU) semasa lawatan tersebut.
“Pakistan malangnya mempunyai pengalaman luas dalam menangani bencana alam berskala besar, termasuk banjir dan kejadian cuaca ekstrem lain.
Justeru, banyak yang boleh Singapura pelajari daripada Pakistan tentang cara menangani dan menjadi lebih berdaya tahan bagi masa hadapan,” kata beliau.
“Melalui MOU itu, kedua-dua pihak berharap dapat meneroka kerjasama dalam bidang termasuk sistem amaran awal, perkongsian amalan terbaik, pengukuhan keupayaan mencari dan menyelamat, serta pelaksanaan latihan bersama.
“Wajar diingat bahawa bencana tidak mengenal sempadan, tidak mempunyai pasport, dan lebih banyak kita dapat bekerjasama, lebih baik,” jelas beliau.
Dr Balakrishnan turut merakamkan penghargaan atas “peranan unik, namun sangat membina dan berharga” yang dimainkan Pakistan dalam krisis semasa di rantau Teluk.
Beliau juga menegaskan semula komitmen kedua-dua negara terhadap undang-undang antarabangsa dan Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Undang-Undang Laut 1982, yang menetapkan hak laluan transit di selat yang digunakan untuk pelayaran antarabangsa.
Memandangkan Singapura bakal mempengerusikan Asean pada 2027 dan Pakistan menerajui Pertubuhan Kerjasama Shanghai, Dr Balakrishnan berkata keadaan itu membuka peluang kepada kedua-dua blok serantau tersebut untuk memperhebat kerjasama.
Beliau turut menarik perhatian bahawa Pakistan sudah pun menjadi rakan dialog sektoral Asean.
“Dalam sekitaran sejagat yang semakin tidak menentu, termasuk dari sudut perniagaan, menjadi lebih penting bagi kedua-dua negara kita untuk kekal terbuka, terhubung dan saling berinteraksi secara membina antara satu sama lain,” kata Dr Vivian Balakrishnan.