Wabak Nipah di India: Bangkok, Jakarta dan Nepal perketat saringan lapangan terbang

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Wabak Nipah di India: Bangkok, Jakarta dan Nepal perketat saringan lapangan terbang

Jan 28, 2026 | 12:52 PM

Wabak Nipah di India: Bangkok, Jakarta dan Nepal perketat saringan lapangan terbang

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Gambar edaran yang dikeluarkan Lapangan Terbang Suvarnabhumi menunjukkan pegawai kesihatan Thailand memakai pelitup muka pelindung ketika memantau penumpang penerbangan antarabangsa yang tiba di Lapangan Terbang Suvarnabhumi, wilayah Samut Prakan, Thailand, pada 25 Januari 2026. Pusat kawalan penyakit antarabangsa Thailand di Lapangan Terbang Suvarnabhumi dan Don Mueang mula melaksanakan langkah saringan kesihatan terhadap penerbangan dari Bengal Barat, India, bagi memantau dan mencegah jangkitan virus Nipah. Langkah tersebut bermula pada 25 Januari 2026 susulan laporan wabak virus Nipah di kawasan berkenaan.
Gambar edaran yang dikeluarkan Lapangan Terbang Suvarnabhumi menunjukkan pegawai kesihatan Thailand memakai pelitup muka pelindung ketika memantau penumpang penerbangan antarabangsa yang tiba di Lapangan Terbang Suvarnabhumi, wilayah Samut Prakan, Thailand, pada 25 Januari 2026. Pusat kawalan penyakit antarabangsa Thailand di Lapangan Terbang Suvarnabhumi dan Don Mueang mula melaksanakan langkah saringan kesihatan terhadap penerbangan dari Bengal Barat, India, bagi memantau dan mencegah jangkitan virus Nipah. Langkah tersebut bermula pada 25 Januari 2026 susulan laporan wabak virus Nipah di kawasan berkenaan. - Foto EPA

JAKARTA/BANGKOK/NEW DELHI – Penularan virus Nipah yang membawa maut di negeri Bengal Barat, India, mencetuskan kebimbangan di beberapa negara Asia, mendorong pihak berkuasa kesihatan memperketat saringan di lapangan terbang serta pintu masuk sempadan bagi mengelakkan penularan rentas negara.

Thailand, Nepal dan Indonesia antara negara yang meningkatkan langkah pengawasan kesihatan susulan pengesahan dua kes jangkitan virus Nipah di Bengal Barat sejak Disember lalu, yang dilaporkan melibatkan petugas kesihatan. Walaupun setakat ini tiada kes dilaporkan di luar India, pihak berkuasa serantau menegaskan situasi itu tidak boleh dipandang ringan.

Di Indonesia, Pusat Kuarantin Kesihatan Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta (BBKK Soetta) di Tangerang telah mempertingkatkan pemantauan ke atas pelancong antarabangsa yang tiba, khususnya dari India.
“Sama ada terdapat virus atau tidak, kita sudah mempunyai sistem saringan sedia ada. Dalam sistem itu, terdapat pengisytiharan kesihatan,” kata Ketua BBKK Lapangan Terbang Soekarno-Hatta, Cik Naning Nugrahini, kepada media pada 27 Januari.

Menurutnya, semua pengembara antarabangsa diwajibkan mengisi maklumat status kesihatan sebelum tiba di Indonesia bagi menilai keadaan fizikal mereka. “Pengukuhan pengawasan dan saringan kesihatan ini akan disesuaikan secara dinamik mengikut perkembangan semasa,” katanya.

Cik Naning menjelaskan bahawa antara protokol utama yang sedang dilaksanakan termasuk keperluan kepada syarikat penerbangan untuk melakukan pemeriksaan kesihatan awal di lokasi berlepas, serta menilai status kesihatan setiap penumpang.

“Kami juga meneliti rekod perjalanan penumpang dalam tempoh 21 hari terakhir. Berdasarkan data pra-penerbangan ini, kami boleh membentuk profil kesihatan penumpang bagi setiap penerbangan yang tiba di Indonesia,” katanya.

Beliau menambah, pihak berkuasa kesihatan mempunyai profil penerbangan yang datang terus dari India ke Jakarta, sekali gus membolehkan pegawai mengenal pasti penumpang yang berpotensi menunjukkan gejala jangkitan. “Jika terdapat penumpang yang menunjukkan tanda-tanda jangkitan, pegawai akan naik ke pesawat untuk melakukan pemeriksaan lanjut,” katanya.

Cik Naning berkata pihak lapangan terbang turut menyediakan beberapa pos pemeriksaan khas yang dilengkapi pengimbas haba, selain pemeriksaan visual oleh pegawai kesihatan. Setakat ini, beliau mengesahkan tiada kes virus Nipah dikesan di Indonesia.

“Sehingga hari ini, daripada pemantauan kami, tiada individu yang menunjukkan tanda atau gejala jangkitan virus tersebut,” katanya, sambil menambah bahawa pihaknya juga bekerjasama dengan kuarantin haiwan memandangkan virus Nipah berpunca daripada haiwan seperti kelawar buah, monyet dan babi.

Di Thailand, Menteri Kesihatan Awam Encik Phatthana Phromphat berkata negara itu telah menyaring kira-kira 1,700 penumpang yang tiba dari India, khususnya dari Bengal Barat, tanpa mengesan sebarang jangkitan setakat ini.

“Kira-kira 700 penumpang tiba setiap hari dari negeri itu melalui tiga lapangan terbang utama Don Mueang, Suvarnabhumi dan Phuket. Sejak 24 Januari, seramai 1,700 penumpang telah disaring dan tiada jangkitan dikesan,” katanya selepas mesyuarat Kabinet mengenai langkah pencegahan virus Nipah.

Encik Phatthana menegaskan Thailand tidak pernah merekodkan sebarang kes virus Nipah, dan menjelaskan bahawa virus tersebut bukan penyakit baharu kerana ia pertama kali dikenal pasti pada 1998. Namun, beliau menegaskan pihak berkuasa tidak akan memandang ringan wabak yang berlaku di India.
Beliau turut menjelaskan perbezaan ketara antara penularan virus Nipah dan Covid-19.

“Virus Nipah tidak menular semasa tempoh inkubasi tanpa gejala, berbeza dengan Covid-19. Oleh itu, walaupun terdapat individu dijangkiti dalam penerbangan, risiko jangkitan kepada penumpang lain adalah rendah,” katanya.

Encik Phatthana menggesa orang ramai, khususnya mereka yang baru pulang dari Bengal Barat, supaya memantau kesihatan diri dan segera melaporkan sebarang gejala seperti demam atau selesema kepada pihak berkuasa.

Nepal pula telah memulakan saringan kesihatan ke atas penumpang yang tiba di Lapangan Terbang Kathmandu serta di pintu masuk darat dari India. Sementara itu, pihak berkuasa kesihatan Taiwan mencadangkan agar virus Nipah disenaraikan sebagai penyakit Kategori 5, iaitu jangkitan baharu atau jarang berlaku yang membawa risiko besar kepada kesihatan awam dan memerlukan pelaporan segera serta kawalan khas.

Menurut Kementerian Kesihatan India, dua kes virus Nipah yang disahkan di Bengal Barat melibatkan petugas kesihatan. Seramai 196 individu yang dikenal pasti sebagai kontak rapat telah dikesan, dipantau dan diuji, dengan semua keputusan menunjukkan mereka negatif dan tidak bergejala.

Virus Nipah boleh merebak daripada haiwan kepada manusia, dan juga melalui penularan antara manusia menerusi makanan tercemar. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyenaraikan Nipah sebagai antara 10 penyakit keutamaan global kerana potensinya mencetuskan wabak besar.

Tempoh inkubasi virus ini antara empat hingga 14 hari, dengan gejala awal termasuk demam, sakit kepala, sakit otot, muntah dan sakit tekak. Dalam kes yang lebih teruk, pesakit boleh mengalami radang otak atau ensefalitis, yang berpotensi membawa maut. Kadar kematian dilaporkan antara 40 hingga 75 peratus, dan setakat ini tiada vaksin atau rawatan khusus diluluskan.

Wabak Nipah pertama dikenal pasti pada 1998 dalam kalangan penternak babi di Malaysia, mengorbankan lebih 100 nyawa dan memaksa pelupusan kira-kira satu juta ekor babi, sekali gus menyebabkan kerugian ekonomi besar. Bangladesh dan India juga pernah merekodkan beberapa wabak sebelum ini, termasuk di Kerala yang menyaksikan kadar kematian tinggi.

Walaupun wabak semasa di Bengal Barat masih terhad, langkah berjaga-jaga yang diambil negara-negara Asia mencerminkan keprihatinan terhadap ancaman virus Nipah dan keperluan kesiapsiagaan awal bagi mengelakkan krisis kesihatan awam yang lebih besar. - Agensi berita

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg