Topik diikuti
Pergi ke BHkuWanita Australia didakwa sertai ISIS selepas pulang dari kem Syria
Wanita Australia didakwa sertai ISIS selepas pulang dari kem Syria
Wanita Australia didakwa sertai ISIS selepas pulang dari kem Syria
MELBORNE: Seorang wanita Australia yang pulang dari kem pelarian Syria pada September 2025 didakwa atas tuduhan menyertai kumpulan ISIS serta memasuki dan tinggal di kawasan konflik yang diisytiharkan, menurut pihak berkuasa Australia pada 28 Mei.
Wanita berusia 34 tahun itu didakwa pergi ke Syria antara 2013 hingga 2014 bersama beberapa individu lain, termasuk seorang lelaki, bagi menyertai ISIS, menurut kenyataan Polis Persekutuan Australia (AFP).
AFP berkata lelaki terbabit dipercayai kini ditahan di sebuah penjara di Asia Barat.
Wanita itu dijadualkan hadir di mahkamah Melbourne pada 28 Mei bagi menghadapi pertuduhan berkenaan.
Kedua-dua kesalahan itu membawa hukuman maksimum sehingga 10 tahun penjara jika disabitkan kesalahan.
Menurut pihak berkuasa, wanita terbabit ditahan oleh pasukan Kurdi pada Mac 2019 sebelum ditempatkan bersama ahli keluarganya di kem pelarian Al-Hawl di Syria.
AFP berkata wanita itu kemudian pulang ke Australia dari Lebanon bersama seorang lagi wanita berusia 36 tahun.
Bagaimanapun, pihak polis memaklumkan siasatan terhadap kedua-dua wanita tersebut masih diteruskan.
Timbalan Pesuruhjaya Siasatan Keselamatan Negara AFP, Hilda Sirec, berkata tempoh lama tanpa pertuduhan tidak bermaksud siasatan dihentikan.
“Penting untuk difahami bahawa tempoh tanpa pertuduhan bukan petanda siasatan sudah tamat,” katanya.
“Siasatan masih diteruskan terhadap semua wanita dewasa yang baru pulang dari kem Syria,” tambah beliau.
Kes terbaru itu muncul hanya beberapa minggu selepas tiga lagi wanita Australia yang pulang dari Syria turut berdepan pertuduhan berkaitan keganasan dan perhambaan.
Awal Mei lalu, dua wanita didakwa atas kesalahan berkaitan perhambaan, manakala seorang lagi didakwa atas kesalahan keganasan termasuk dakwaan menyertai ISIS.
Dalam perkembangan lain, sekumpulan wanita dan kanak-kanak Australia yang turut dibawa pulang dari kem Syria tiba pada 26 Mei tanpa sebarang pertuduhan dikenakan ketika ketibaan mereka.
Kepulangan kumpulan terbabit bagaimanapun mencetuskan kritikan daripada pihak pembangkang Australia yang mendakwa kerajaan gagal menghalang mereka daripada kembali ke negara itu.
Pihak pembangkang turut mempersoalkan aspek keselamatan negara susulan kepulangan individu yang pernah berada di kawasan konflik dan mempunyai kaitan dengan kumpulan militan.
Namun, kerajaan Australia menegaskan pihaknya tidak membantu perjalanan pulang mereka dan mempunyai batas undang-undang yang ketat untuk menghalang rakyat Australia kembali ke negara sendiri.
Kerajaan turut menegaskan bahawa setiap individu yang pulang akan melalui proses siasatan keselamatan dan pemantauan oleh pihak berkuasa.
Antara 2012 hingga 2016, sejumlah wanita Australia dilaporkan pergi ke Syria untuk menyertai suami mereka yang dipercayai mempunyai hubungan dengan ISIS.
Ketika itu, ISIS menguasai kawasan luas di Syria dan Iraq serta mengisytiharkan penubuhan “khalifah” sebelum akhirnya tumbang pada 2019 selepas operasi ketenteraan antarabangsa.
Selepas kejatuhan kumpulan itu, ramai wanita dan kanak-kanak asing ditahan di kem pelarian dan pusat tahanan di Syria, termasuk di kem Al-Hawl yang menempatkan ribuan individu berkaitan ISIS dari pelbagai negara.
Kem Al-Hawl sebelum ini sering menjadi perhatian antarabangsa susulan keadaan kemanusiaan yang buruk, masalah keselamatan serta kebimbangan mengenai penyebaran fahaman radikal dalam kalangan penghuni kem.
Pihak berkuasa Australia kini terus memantau kesemua rakyat negara itu yang dibawa pulang dari Syria, khususnya wanita dewasa yang dipercayai pernah mempunyai hubungan dengan kumpulan militan terbabit.
Kes itu juga dijangka terus mencetuskan perdebatan politik di Australia mengenai isu keselamatan, kewarganegaraan dan tanggungjawab kerajaan terhadap rakyat yang pernah terlibat dalam konflik luar negara. - Agensi berita
