Kumpulan pengganas ISIS guna AI rekrut belia, kanak-kanak
Kumpulan pengganas ISIS guna AI rekrut belia, kanak-kanak
NEW YORK: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran kumpulan pengganas ISIS kini semakin agresif menggunakan kecerdasan buatan (AI) dan teknologi baru bagi tujuan propaganda, radikalisasi serta perekrutan anggota baru.
Ia khususnya melibatkan golongan belia dan kanak-kanak, meskipun usaha pembanterasan pengganasan antarabangsa terus dipertingkatkan.
Amaran itu disampaikan oleh Pemangku Setiausaha Agung Rendah Pejabat PBB bagi Pembanterasan Pengganasan, Encik Alexandre Zouev, ketika membentangkan laporan terkini kepada Majlis Keselamatan PBB pada 4 Februari.
“Ancaman yang ditimbulkan ISIS terus meningkat secara bertahap, sejak laporan terdahulu dan kekal bersifat pelbagai dimensi serta semakin kompleks.
“Kumpulan ini dan rangkaiannya terus menyesuaikan diri, menunjukkan daya tahan yang tinggi dan mengekalkan keupayaan operasi mereka,” kata Encik Zouev.
Menurut beliau, ISIS masih aktif merekrut pengganas asing, selain mengeksploitasi teknologi baru termasuk AI, aset maya, mata wang kripto dan dron, bagi menyokong kegiatan ekstremisme mereka.
“AI kini semakin digunakan oleh kumpulan pengganas, khususnya untuk proses radikalisasi dan perekrutan, dengan tumpuan jelas terhadap golongan muda dan kanak-kanak,” katanya.
Encik Zouev menjelaskan, walaupun tekanan antarabangsa terhadap ISIS berterusan, kumpulan itu kekal berdaya tahan dan terus menyesuaikan taktik bagi memastikan kelangsungan pengaruhnya.
Selain teknologi, ISIS juga masih bergantung kepada sumber kewangan haram seperti pengumpulan dana secara tidak sah, pemerasan dan penculikan untuk wang tebusan.
Dalam perkembangan serantau, beliau berkata pengaruh ISIS semakin ketara di Afrika Barat dan wilayah Sahel, sambil mengekalkan keupayaan untuk melancarkan serangan di Iraq dan Syria.
“Di Afghanistan, ISIS cawangan Khorasan terus menjadi antara ancaman paling serius kepada kestabilan rantau ini dan juga keselamatan sejagat,” katanya.
Encik Zouev turut merujuk beberapa serangan terkini yang dikaitkan dengan ideologi ISIS, termasuk kejadian tembakan di sebuah festival Yahudi di pantai Australia pada Disember 2025, yang mengorbankan 15 nyawa, serta serangan ke atas lapangan terbang utama di Niger pada Januari lalu.
Beberapa hari sebelum itu, kumpulan tersebut turut mengaku bertanggungjawab atas serangan di sebuah restoran China di Kabul yang meragut tujuh nyawa.
Di Syria pula, pengunduran pasukan Kurdi dari kawasan yang sebelum ini menempatkan penjara dan kem tahanan melibatkan ribuan militan ISIS, serta anggota keluarga mereka, telah mencetuskan kebimbangan keselamatan baru.
Keadaan itu mendorong Amerika Syarikat memindahkan sebahagian tahanan ke Iraq bagi mengelakkan kemungkinan pelarian beramai-ramai.
“Walaupun berdepan tekanan pembanterasan keganasan yang berterusan, kumpulan ini dan sekutunya terus menyesuaikan diri dan menunjukkan ketahanan,” kata Encik Zouev.
Sementara itu, Pengarah Eksekutif Direktorat Eksekutif Jawatankuasa Pembanterasan Pengganasan PBB, Cik Natalia Gherman, menegaskan ISIS kini menggunakan strategi propaganda dan pengumpulan dana yang semakin canggih.
“ISIS dan kumpulan pengganas lain telah memperluaskan penggunaan aset maya, termasuk mata wang kripto, di samping alat siber, sistem pesawat tanpa pemandu dan aplikasi AI yang lebih maju,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa keganasan yang dilakukan pengganas kini semakin meningkat di beberapa rantau secara serentak, menjadikan cabaran keselamatan sejagat lebih rumit.
“Dalam menghadapi perubahan besar dalam sistem PBB, kita tidak boleh melupakan matlamat bersama untuk mengekalkan keamanan dan keselamatan antarabangsa,” kata Cik Gherman, sambil menyeru kerjasama lebih kukuh antara negara anggota serta penyediaan sumber yang mencukupi.
Selain ancaman keselamatan, Cik Gherman dan Encik Zouev turut menekankan keperluan menangani dimensi kemanusiaan, khususnya melibatkan wanita dan kanak-kanak yang terperangkap dalam kem atau penjara berkaitan ISIS.
“Semua negara anggota mesti meningkatkan usaha untuk memudahkan penghantaran pulang individu ini secara selamat, sukarela dan bermaruah, selaras dengan undang-undang antarabangsa serta kepentingan terbaik wanita dan kanak-kanak,” kata Encik Zouev.
PBB menegaskan bahawa tanpa pendekatan menyeluruh yang merangkumi keselamatan, teknologi, kemanusiaan dan kerjasama antarabangsa, ancaman ISIS berisiko terus berkembang dalam bentuk yang lebih sukar dikesan dan ditangani. – Agensi berita.

